Semalam (08/06/2022) engkau pergi dariku. Bukan kerana aku membencimu tetapi aku redha pemergianmu kepada tuan yang lebih baik yang boleh menjagamu.
Aku terlampau sibuk, sering alpa dan tidak mampu untuk menjagaimu seperti dulu. Dulu aku hanya ada 2 kenderaan. Aku mempunyai mu dan Spectron (JGB6400). Sungguh mudah disantuni.
Tetapi sekarang aku ada uncle Camry, abang SAGA dan mu. Isteriku pula ada aunty Alza. Kak Long pula ada abang X50 dan kakak AZIA.
Terlampau banyak untuk ditangani sehingga aku merasakan biarlah engkau pergi ke tangan yang lebih sempurna membelaimu.

Engkau bersamaku sejak April 2003!
Aku hampir pasti suatu hari nanti engkau akan menjadi adik ‘classic’ yang akan menjadi buruan ramai orang.
Jasamu cukup banyak! Antara yang masih aku ingat ialah setelah pakcik Spectron yang dipandu isteriku ‘accident’ di depan Balai Polis Skudai, engkaulah menjadi sumber pengangkutan utama untuk membawa isteri dan anak-anak ke Sekolah Hidayah. Cuba bayangkan penumpang sebuah van hendak dibawa dalam sebuah Kancil!

Kancilmu bukan sebarang Kancil! Tetapi Kancil yang penuh dengan ketaatan dan kewibawaan. Aku memandumu dengan penuh kasih sayang, menghantar dan membawa mereka pulang dari sekolah. Masa itu isteriku masih mengajar di Sekolah Rendah Islam Hidayah.
Ada juga mata yang melihat akan kepayahanmu wahai si Kancil yang membawa ramai penumpang ke sana sini. Lantas Prof Jai (Dr Aizaini) meminjamkan keretanya kepada kami, kalau tak silap aku kereta Proton Aeroback atau Iswara.
Maka bebanmu telah berkurangan. Tidak lagi terkincit-kincit membawa kami yang agak ramai bilangannya ke sekolah dan pulang darinya.

Tetapi mungkin pada masa itu, anak-anakku baru 7 orang termasuk aku dan isteri berjumlah 9 orang menumpangmu wahai si Kancil. Dan anak-anak pula pada masa itu masih lagi kecil-kecil semuanya.
Sungguh… jasamu cukup besar wahai sayangku si Kancil!
Sayonara. Selamat tinggal sayangku.