2 Down, Four More To Go…

Alhamdulillah selesai menyelia 2 orang pelajar hari ini (13 Jun 2022). Pagi tadi seorang di Majlis Daerah Marang (MDM) manakala di sebelah petangnya pula seorang lagi di Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu (PDTKT).

Semasa aku di Majlis Daerah Marang tadi, aku sempat bertanya Nurul Syazwani (pelajar yang diselia), berapa umur ayah awak? Dia menjawab, 51 tahun. Ayahnya juga berkhidmat di MDM.

Dulu semasa aku menyelia pelajar-pelajar yang membuat Latihan Industri (LI), rata-ratanya aku lebih muda berbanding ayah-ayah pelajar. Sekarang sudah terbalik!

Aku menjelaskan kepada Syazwani dan Mursyidah (pelajar yang diselia di PDTKT) bahawa aku menegur ‘presentation’ mereka secara ‘direct’, tiada berlapik-lapik, umpama teguran si ayah kepada si anak. Aku berharap mereka dapat menerimanya.

Pendekatan aku sebegini adalah kerana pelajar-pelajar sekarang tidak faham kita berkias-kias. Ia perlu ‘straight forward or straight to the point’. Lagipun aku sendiri tidak pandai menggunakan bahasa yang berlapik-lapik.

Pakar yang pandai menggunakan bahasa yang halus adalah sifu aku, Profesor DIBO. Aku cukup ‘respect’ penggunaan bahasa beliau. Ibarat kata seperti menarik rambut dalam tepung. Rambut tak putus dan tepung tidak berselerak…

Semasa menyelia Mursyidah tadi, aku cukup terharu dengan penyelianya. Walaupun ‘Chief Clerk’ (CC) nya sudah mengambil cuti yakni menghabiskan baki cuti yang ada sebelum berpencen pada bulan depan, beliau masih sanggup datang untuk mendengar sendiri pembentangan Mursyidah.

Sepatutnya ia menjadi contoh kepada penyelia-penyelia yang akan datang.

Aku doakan semoga CC diberikan kesihatan yang berpanjangan dan dimuliakan kehidupan, baik di dunia mahupun di akhirat insyaAllah.

Pagi esok aku ada seorang lagi pelajar iaitu Noraqmal Muqriz yang menjalankan LI di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu. Kemudian aku akan bergerak ke Kelantan untuk menyelia pelajar-pelajar yang membuat LI di sana pula.

Ya Allah, permudahkan segala urusanku dan sempurnakanlah Latihan Industri pelajar-pelajarku. Aamiin aamiin ya Rabbal ‘Alamiin!