Menyelia Pelajar Latihan Industri

Semalam (12 Jun 2022), bertolak dari Bandar Dato Onn (BDO) lebih kurang jam 8.10am. Saya memilih untuk melalui jalan Mersing, Pekan, Kuantan, Kemaman, Dungun, Marang. Kira jalan pantai tanpa melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

Saya menginap di Hotel OYO di Marang (Cuba jimat duit UTM, RM79 satu malam). Pagi ni menyelia pelajar yang pertama di Majlis Daerah Marang (MDM) pada pukul 9 nanti.

Subuh tadi pergi solat di Masjid Nur Zahirah (rasa betul namanya). Hanya sepelaung dari Hotel OYO yang aku tinggal.

Marang ni adalah sebuah bandar nostalgia bagi aku. Aku sudah berada di sini sejak tahun 1970an lagi. Sekali sekala menziarahi abang di sini.

Arwah abangku Wan Ibrahim bekerja di Pejabat Daerah dan Tanah Marang dulu dan tinggal di Sungai Kerak, lebih kurang 3-4 km dari bandar Marang. Selepas itu, arwah pernah berkhidmat di Pejabat Tanah Setiu, Pejabat Tanah Kuala Berang, Pejabat Perhutanan dan lain-lain lagi.

Abang yang meninggal dunia pada tahun ini menetap di Kuala Berang (Allahummagh firlahu warhamhu wa’afihi wa’fuanhu)…

Di persimpangan 4, traffic light, bandar Marang, aku masih teringat adanya taman permainan di bersebelahan masjid. Ada jongkang jongkit, ada buaian, ada gelongsor dan sebagainya. Kini ia dipenuhi dengan barisan kedai.

Masjid Marang inipun dulunya hanya setingkat tetapi sekarang sudah menjadi besar. Mungkin model masjid di Terengganu sebegini, solat di tingkat atas. Masjid di Kuala Berangpun macam ini juga.

Selepas solat subuh tadi, saja aku bertanya kepada seorang kariah yang hadir. Kalau orang OKU macam mana hendak datang solat di sini ya?

Mungkin kita perlu menyediakan perkhidmatan lif…

Jangan kita menafikan pula, hak-hak OKU untuk bertaqarrub kepada Rabbul Jalil insyaAllah.