Pada minggu lepas, aku mengerjakan solat jumaat di Masjid As-Salam, Pengkalan Chepa, Kelantan. Hari ini, aku mengerjakan solat jumaat di Masjid Sultan Iskandar (MSI), Bandar Dato Onn, Johor.
Suasana di kedua-dua masjid tersebut berbeza. Apa yang berbeza? Pertama, ramai jamaah di Masjid As-Salam tidak memakai ‘mask’. Mungkin hanya 50% yang memakainya. Manakala di MSI mungkin 99% memakai ‘mask’.
Kedua, ramai di kalangan jamaah di Masjid As-Salam tidak datang dengan sejadah. Tetapi sejadah disediakan di pintu masuk bagi sesiapa yang ingin menggunakannya. Rasanya lebih separuh dari jamaah tidak menggunakan sejadah dan mereka merapatkan saf.
Jamaah di MSI pula, ramai yang datang dengan membawa sejadah. Hanya segelintar yang tidak membawanya. Walau bagaimanapun, ramai yang melipatkan sejadah supaya ia tidak memakan ruang yang luas. Ada yang melipat setengah sejadah supaya jarak antara jamaah tidak terlalu renggang.
Kenapa ia berbeza? Ini adalah kerana ketua agama negeri masing-masing yang memberi arahan kepada majlis agama negeri masing-masing. Kalau di Terengganu lagi nampak kelainannya. Saya mengerjakan solat di masjid negeri dan hanya saya yang membawa sejadah. Mereka melarang menggunakan sejadah kerana jarak antara makmum akan lebih lebar dengan menggunakan sejadah masing-masing.
Kita dalam satu negarapun susah untuk mencapai kesepakatan, apatah lagi diantara negara-negara Islam yang lain…