Bubur Assyura Johor

Buat julung-julung kali, Surau Komuniti Perjiranan 11 mengacau bubur assyura pada hari ini.

Ya lah, bubur assyura terbahagi kepada beberapa versi. Ada versi Johor, ada versi Kedah dan, ada versi Kelantan dan Terengganu. Kali ini kita buat versi Johor.

Kita membuat 2 periuk besar. Setiap satu periuk memuatkan 10kg beras, ‘carrot’, kacang peas, 2kg daging batang pinang dan lain-lain lagi. Program ini diketuai oleh Pengerusi Helwa iaitu Pn. Hajjah Azizah dan dibantu oleh rakan-rakan helwa serta AJK Surau.

Suasana seumpama ini yang saya idam-idamkan sejak memegang jawatan sebagai Pengerusi Surau P11. Surau kita bukan sahaja dipenuhi dengan program-program agama tetapi banyak juga program-program yang lain seperti kelas mengaji, ceramah agama, kelas masakan dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, tempoh jawatan Pengerusi Surau akan tamat pada bulan Disember ini dan bagi melancarkan proses peralihan jawatan yang baik kebiasaannya Pengerusi baru akan dilantik pada bulan September.

Saya telah memaklumkan untuk tidak dicalonkan lagi dan mengharapkan pengerusi baru nanti akan berperanan lebih baik dan lebih cekap lagi.

Teringat kata-kata sahabat saya dulu, Rumah Allah, ‘of course’ Allah akan menjagainya dengan baik. Kita tidak perlu risau siapa akan menggantikan kita.