Terlelap Sekejap

Orang kata malang tidak berbau…

Pagi tadi setelah membeli daging sebanyak 7kg di Bukit Mutiara, akupun membawanya pulang ke rumah. 3kg untuk kegunaan keluargaku manakala 4kg untuk kegunaan Surau Komuniti Perjiranan 11 untuk membuat bubur assyura.

Setelah semuanya selesai diagihkan, akupun bergerak ke UTM.

Ingatkan nak pergi ‘punch’ kedatangan di UTM dan kembali semula ke Surau untuk membaca PhD proposal yang mana aku menjadi panel pada 14 Ogos nanti. Disamping itu bolehlah aku membantu sedikit sebanyak Surau P11 yang membuat bubur assyuranya pada hari ini. Takkan Pengerusi Surau tidak nampak batang hidungnya.

Setibanya aku dekat tasik UTM, aku terlelap dan merempuh simen curb yang menyorong masuk ke kawasan tasik. Apa lagi, berbunyi agak kuat juga dan kemudiannya berlebeh berlebeh berlebeh, bunyi tayar ketiadaan angin.

Akupun memanggil saudara Hezul Hassan untuk membantu aku membuka dan memasang tayar ‘spare’.

Seterusnya aku ke kedai tayar untuk menukar tayar yang koyak rabak itu. Sebenarnya, sebulan yang lepas sebelum aku pergi mengajar di SUK Kelantan, aku telah menukar keempat-empat tayar baru dengan harga RM1,600.

Apa nak buat, nasib badan… Mungkin juga kafarah diatas dosa-dosaku.

Ya Allah, Engkau ampunilah dosa-dosaku.