Alhamdulillah seawal 6.30 pagi semalam, Syakir bergerak ke UIA untuk mendaftar sebagai seorang mahasiswa di Kampus Gambang. Syakir dihantar oleh Kak Ngah, Achik dan Sakinah. Kak Ngah adalah alumni UIA juga tetapi asasinya dulu di UIA Nilai. Sakinah pula pernah berasasi di Gambang dan sekarang menuntut di UIA Gombak. Achik (Acik ejaan yang digemarinya) adalah alumni PASUM di UM, kemudian mendapat Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer di UM, Ijazah Sarjana Sains Komputer di UTM dan insyaAllah akan melapur diri sebagai pelajar PhD di USM pada bulan depan.
Itulah kebanggaan seorang ayah dengan kejayaan anak-anaknya tetapi kebanggaan yang hakiki adalah apabila anak-anak menjadi anak-anak yang soleh dan solehah yang beroleh Syurga Allah kelak. Aamiin, aamiin, aamiin ya Rabbal ‘Alamiin. Suatu impian yang didambakan oleh setiap ibubapa…
Walaupun Syakir hanya mendapat asasi ‘Human Sciences’ dan tidak AED iaitu arkitek seperti yang diinginkan tetapi pada saya adalah lebih baik daripada Diploma Pengurusan Percetakan dari UiTM. Lagipun kita tidak tahu adakah anak kita betul-betul berminat dengan arkitek seperti yang dimaklumkan. Takut juga jika kita tala ke Diploma Arkitek di UTM Space kerana impiannya, tengok-tengok dia tak berminat pula di pertengahan jalan. Semuanya berisiko tetapi kita pilihlah risiko yang kurang.
![](https://people.utm.my/wanibrisam/files/2022/08/64746390_10219286270050480_4105572587004755968_n.jpg)
Apapun saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Prof Madya Dr. Rustam Khairi Zahari dari UIAM yang turut membantu kami dalam membuat rayuan ini. Dr. Rustam adalah kawan sepengajian saya semasa kami sama-sama belajar Bahasa Inggeris di Language Center of the Pacific di Azusa, California dulu.
Itulah beruntungnya kita ada kawan. Ada juga kawan lain yang bergelar Dato’ yang kita minta tolong tetapi whatsapp kita tidak berbalas. Sebenarnya, kita hanya perlu dia menjawab, “Saya akan cuba”. Kalau dia tidak berbuat apa-apapun selepas itu, kita sudah merasa lega. Tetapi kita husnudzan aje… mungkin dia terlalu sibuk untuk ‘reply’ mesej kita.
So, selamat belajar betul-betul Syakir. Bila kita mendapat Cumulative Grade Point Average (CGPA) yang tinggi, banyaklah pilihan kita untuk memilih jurusan apa.
Belajar di peringkat universiti ini berbeza dengan di peringkat sekolah. Di sekolah, cikgu banyak membantu. Di universit pula, kita kena bantu diri sendiri disamping belajar bersama dengan kawan-kawan.
Yang paling penting, solat jangan tinggal! Itu yang utama. Bila Allah sayang kita, banyak urusan dipermudahkan insyaAllah.
All the best to you!
Abah dan Ummi sayang Syakir.