Happy 58th Birthday To Me….

Alhamdulillah seperti biasa aku mengerjakan solat Subuh pagi semalam (01/09/1964) di Surau Pusat Komuniti Perjiranan 11, Bandar Dato Onn. Seusai solat subuh, sedang aku berzikir, tiba-tiba telefon berdering.

“Abah, jangan pergi ngeteh pagi ni, selesai di Surau terus balik rumah”, ingat isteriku.

Selalu juga kami ‘breakfast’ bersama-sama dimana-mana selepas solat Subuh sesama AJK Surau. Ini yang merapatkan hubungan sesama kami.

Rupa-rupanya Kak Long dan adik-adiknya telah ‘get ready’ dengan sebuah kek untuk ku potong.

Selesai di rumah, aku ke fakulti kerana hari ini kami AJK PSM terpaksa ‘go through’ tajuk-tajuk tesis atau Projek Sarjana Muda (PSM) yang akan dibuat oleh pelajar-pelajar pada semester yang akan datang. Ada 50 lebih orang pelajar. Kita meneliti tajuk ‘proposal’ yang telah dihantar oleh mereka.

Biasalah, ada yang diterima dan ada yang ditolak. Yang ditolak perlu menghantar ‘proposal’ semula. Yang ditolak adalah tajuk-tajuk yang pernah orang lain buat sebelum ini, tajuk yang ingin dikaji tidak atau bukan berkaitan dengan bidang Pentadtabiran dan Pembangunan Tanah dan ada juga tajuk-tajuk yang kurang jelas apa yang hendak dibuat kajian.

Kita juga membahagikan bilangan pelajar sama rata sesama pensyarah supaya ia tidak hanya membebankan sesetengah pihak. Ada juga sesetengah pelajar yang menyatakan siapakah penyelia yang diingini untuk menyelia kajiannya. Dalam kes sebegini, kita kebiasaannya akan memberi keutamaan kepada pensyarah yang dicadangkan tersebut. Mungkin pelajar lebih selesa dengan pensyarah yang dicadangkan, atau mungkin juga pelajar telah membuat perbincangan awalan dengan pensyarah yang diminatinya itu. Walau bagaimanapun, bilangan pelajar per pensyarah tetap diberi sama rata.

Dalam kita sibuk berbincang, tiba-tiba 2 orang pelajar yang bekerja dengan PM Dr Rubiah Suratman dan Dr Salfarina Samsudin membawa masuk sebiji kek untuk ku. Alhamdulillah dan terima kasih semua.

Terima kasih juga Dr. Shahril, Dr. Aminah, Dr. Nur, Dr. Zafirah dan Dr. Maryanti. Dr Maryanti (Mary panggilanku kepadanya sejak belajar dulu) baharu saja melapur diri pada hari ini sebagai Pensyarah Kanan.

Semoga Allah SWT membalas jasa baik kalian semua.

Rasanya kali pertama, aku diraikan sebegini oleh rakan-rakan staf.

Aku telah Allah berikan kehidupan ini selama 58 tahun. Dan aku tak pasti samaada aku telah berjaya memenuhi kriteria Allah iaitu, ‘Tidak Aku jadikan jin dan manusia hanyalah supaya mereka beribadat kepadaKu’.

“Dialah yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya” (al-Mulk; 2).

Ya Allah, jadikan daku seorang insan yang menyembahMu dan menyayangi Rasulullah SAW dengan sebaik-baiknya.