Bu Kembali Ke Rumah Setelah Lebih Seminggu Berada Di Rumahku…

Hari ini Bu pulang ke rumahnya setelah berada di rumahku lebih kurang seminggu. Bu, Amin, Su dan Fitri datang pada 24 November, sehari sebelum majlis pernikahan Kak Long.
 
Alhamdulillah, Bu kotakan janjinya untuk bertandang ke rumahku.
 
Sebelum ini, puas aku pujuk untuk tinggal bersama kami atau sekurang-kurangnya datang menziarahi kami. “Bu pergilah kalu ada sesiapa kahwin”, ujarnya.
 
Pagi tadi, aku dan Ma membawa Bu makan di Al Kauzar. Kami hanya makan roti canai telur saja. Itupun agak susah kerana Bu selalu makan pada jam 9 lebih. Pagi tadi pukul 7 lebih sudah bersarapan.
 
Ma dan Kak Ngah akan menemani Bu ke Pengkalan Chepa. Flight mereka pada pukul 2 lebih hari ni. Aku tak dapat menghantar mereka ke airport kerana hari ini kita meraikan AJK Badan Kebajikan Fakulti Alam Bina dan Ukur (AKRAB) makan tengahari setelah mereka berkhidmat selama 2 tahun di FABU.
 
Selesai sarapan pagi, aku menghantar mereka pulang dan aku terus ke pejabat.
 
Bu akan kembali tinggal berseorangan di rumahnya setelah Ma dan Kak Ngah pulang ke sini pada hari khamis ini.
 
Sebelum aku bergerak ke pejabat, Bu menanyakan samaada aku sempat mengiringinya ke airport. Aku memaklumkan bahawa aku tidak sempat. Kelihatan Bu agak sedih…
 
Aku perasan juga, Bu agak seronok berada di rumahku. Ada anaknya (Ma) dan cucu-cucunya yang melayan Bu bersembang.
 
Aku menyarankan supaya Bu selalu datang ke mari… Akupun merindui Bu.
 
Ayah dan Ibuku sendiri sudah lama pergi. Doa buat mereka.
 
Allahummagh firlahum warhamhum wa’afihim wa’fuanhum…