Beberapa hari yang lalu ada sebuah ‘parcel’ untuk aku.
Isteriku bertanya adakah aku membeli bantal. “Tak”, jawabku. Seingat aku tiada apa yang aku ‘order’ dalam masa yang terdekat ini…
Barangan yang dihantar ke rumahku memang ada setiap hari. Ada makanan atau keperluan kucing, ada ikan laga, ada almari pasang sendiri, ada bermacam-macam lagi. Malah makanan untuk dimakanpun selalu dipesan melalui Grab.
Ini yang aku nampak salah satu pekerjaan yang ‘tercipta’ akibat dari COVID-19 dan PKP. Malah kerjaya penghantaran barangan masih utuh hingga kini. Untuk makan roti canai dan pisang gorengpun, anak-anak aku menggunakan perkhidmatan Grab.
Sepatutnya ia wujud lebih awal tetapi PKP telah merancakkan lagi aktiviti penghantaran ini.
Pada aku, untuk tidak merosakkan peluang pekerjaan ini semua pemandu Grab seharusnya bertanggungjawab menjaga pesanan pelanggan dengan baik dan jangan menyalahi etika pekerjaan seperti memakan pesanan pelanggan dan sebagainya.
Ok, berbalik kepada bungkusan yang berbentuk bantal yang dikirim kepada aku tadi… Bila aku buka ia adalah sebuah cadar bersama sarung bantal.
Sepanjang ingatan aku, tiada yang aku pesan. Besar kemungkinan, ia adalah pemberian dari salah seorang pelajar ‘master’ku. Tiada apa-apa nota yang disertakan cuma sekadar alamat pengirim.
Aku hanya mampu berdoa kepadaMu ya Allah untuk membalas pemberian yang tidak diketahui dari sesiapapun itu dengan sebaik-baik doa insyaAllah.
Pada hari kelmarin, aku mendapat whatsapp dari anak penakanku yang mengatakan bahawa kiriman cadar dan sarung bantal itu adalah darinya kepada Kak Long yang baru mendirikan rumah tangga.
Terima kasih Yah!