Menjelang jam 5 petang, 29 Disember 2022 (Khamis) merupakan tarikh tamat kita mengisi borang untuk dinilai oleh orang atasan kita. Alhamdulillah, nampak ramai juga yang berjaya ‘submit’ pada masa dan tarikh yang telah ditetapkan.
Begitulah saban tahun ia berlaku… Kita perlu mengisi borang menyatakan apakah yang telah kita sumbang kepada majikan kita? Ia merangkumi semua, sumbangan di peringkat lokaliti, daerah, negeri, kebangsaan malah internasional.
Untuk mempastikan tiada yang tidak submit borang tersebut maka pihak PSM akan remind dalam whatsapp supaya menekan dahulu butang submit dan sekiranya ada maklumat tambahan maka butang submit itu boleh ditekan lagi dan lagi.
Pada skala yang sama, cuba kita tengok para malaikat yang mencatit amalan kita, amal baik dan amal jahat. Bermula dari bangun tidur sehingga kita kembali tidur. Catatannya tepat dan jitu ‘without failed’ untuk setahun ke setahun!
Saya cukup takut terhadap catitan malaikat kerana kita tidak berupaya untuk memanipulasi data yang ada.
Adapun catitan kita, kita boleh membuat ia nampak banyak dan gempak walhal impak kepada manusia sejagat tidak sebesar yang digahkan.
Manakala sebaliknya, mungkin sumbangan kita nampak kecil dan sedikit di mata penilai manusia tetapi ia gah di mata Allah SWT!
Saya berharap situasi kedua ini menjadi kriteria utama saya kerana kita sudah menghampiri garisan penamat, baik dalam perkhidmatan mahupun di ambang kehidupan.
Didoakan semoga Allah menjadikan kehidupan kita baik di dunia mahupun di akhirat dalam naungan dan limpah rahmatNya. Aamiin ya Rabbal ‘Alamin.
Selamat Menjalani Kehidupan di tahun baru, 2023!