Motivasi Diri

Aku balik pejabat pukul 5 petang dan sampai di rumah lebih kurang pukul 5.30 petang.
 
Isteri menghidangkan makanan dan aku mengerjakan solat Asar. Selesai solat aku turun ke bawah.
Nasi kerabu semalam yang isteriku buat masih menjadi pilihan berbanding nasi puteh biasa. Cuma semalam ada daging bakar dan hari ini hanya ada daging goreng.
 
Selepas makan, aku naik ke atas semula untuk menonton TV sambil berehat.
 
Tiba-tiba aku tersedar sekitar jam 7.10 petang kerana isteri mengajak aku untuk ke Masjid Sultan Iskandar, BDO. Aku memaklumkan kepadanya bahawa aku penat…
 
Pun begitu, fikiranku menerawang jauh cuba untuk membuat justifikasi betul ke aku penat?
 
Semasa di pejabat tadi, aku hanya menghadiri mesyuarat, ‘marking’ beberapa tugasan dan melihat e-mail serta WhatsApp fakulti. Maklumat HRMIS diisi dengan bantuan Dr. Amy dan Din serta Amin, pelajar-pelajarku. Apa yang memenatkannya?
 
Fikiran aku terus memikirkan tentang saranan Rasulullah SAW supaya semua orang lelaki seboleh-bolehnya bersolat berjamaah di masjid dan surau. Sehingga Rasulullah ingin membakar rumah mereka yang tidak mengerjakan solat berjamaah di Masjid dan surau.
 
Apa maksudnya sekiranya Rasulullah sendiri sanggup berbuat demikian?
 
Aku cepat-cepat bangun, mandi dan bersedia untuk ke masjid. Aku tidak ada alasan untuk tidak ke masjid.
 
Ya Allah, banyaknya dosa-dosaku. Usia sudah semakin tua. Dekatkan diri dan hati ini kepada Mu, Ya Allah!
Ampunilah daku ya Allah. Tiada siapa yang boleh membantuku tanpa bantuan dariMu, Ya Rabb.