Semalam saya balik dari Kota Bharu ke Johor Bahru dengan menaiki ‘flight’.
Untuk mengelakkan rasa bosan saya berborak dengan ‘Tuan’ sebelah saya. Setelah bertanya khabar maka tahulah saya bahawa beliau seorang yang berpangkat besar juga dalam pasukan polis. Beliau mempunyai ‘master’s degree’ dari UKM. Muda setahun dari saya dan tinggal secara PJJ dengan keluarga di Kelantan.
Banyak isu juga yang kita borakkan. Antaranya pasal PRN yang akan berlangsung pada minggu depan. Menurut beliau PN akan menang besar di Kelantan! Itu pandangannya. Pada saya, ia akan menjadi suatu saingan sengit kerana gabungan BN dan PH. Pengundi luar yang menyampah dengan sesetengah pemimpin PAS tidak akan balik mengundi seperti biasa. Dengan kata lain, PN hanya berharap dengan pengundi-pengundi baru dan mereka yang sedia ada di Kelantan. Gerombolan pengundi luar dari Kelantan ada juga yang balik mengundi cuma bilangannya tidak seramai dulu.
Isu lain yang dibincangkan ialah mengenai kepayahan mendapat kerja. Anaknya yang mendapat ‘straight A’s semasa bersekolah di Yayasan Saad lagi kemudian menyambung dalam bidang mekanikal di UTHM juga tiada pekerjaan tetap.
Setelah mendengar ngomelannya yang pernah bersekolah di Maahad Muhammadi dulu, saya merasa tertarik untuk memberi pendapat.
Saya dulu selepas SPM, saya berjaya belajar di USA dalam bidang Perancang Bandar dan Wilayah. Setelah tamat Ijazah Sarjana Muda pada tahun 1986, saya balik ke Malaysia dan melapor diri kepada JPA. JPA kata, tak ada kerja. Saya bertanya, boleh tak saya pergi membuat master? JPA kata boleh..
Saya berpindah ke Kansas State University dan membuat master degree di sana. Apabila tamat pengajian, sekali lagi saya berjumpa dengan JPA tetapi jawapannya sama iaitu tak ada kerja dan saya akan lepaskan awak dari ikatan perjanjian. Ini berlaku pada tahun 1988.
Pada saya ada kerja dan tak ada kerja berlaku sejak dahulu kala. Cuma kalau rezeki kita ada maka dapatlah kerja dimana-mana sebagai pemberian dari Allah! Itu yang sepatutnya kita terima rezeki itu dari Allah dan dia memberi kepada sesiapa yang dia kehendaki, baik cepat mahupun lambat.