Bengkel ini berlangsung selama 2 hari di Capri by Fraser Hotel, Johor Bahru, di aras 41.
Hari ini menyambung semula bengkel yang bermula hari semalam.
Alhamdulillah, berhempas pulas memikirkan bagaimana program 4 tahun untuk dijadikan program 3 tahun atau 3 1/2 tahun.
Ada sampai ke peringkat kita ingin menjumudkan Projek Sarjana Muda I dan PSM II.
Disamping berbincang tentang silibus, rakan-rakan pensyarah mengambil peluang bertanya padaku tentang cabaran memelihara dan mendidik anak.
Ya lah aku yang paling tua diantara kami dan aku juga yang mempunyai bilangan anak yang agak ramai.
Jawapanku kepada mereka adalah cabaran ini agak berbeza mengikut peringkat usia anak-anak.
Pada usia muda adalah masa yang paling seronok. Kita boleh bergurau dan menyayangi mereka setulus hati. Anak-anak juga akur dengan arahan kita. Kak Long dan Kak Ngah selalu aku bawa dari rumah di KSDS ke MSI di UTM untuk bersolat Subuh di waktu mereka masih belum bersekolah lagi.
Bila mereka meningkat remaja, cabaran dan tanggungjawab kita juga meningkat. Kita perlu melihat tentang agihan masa dan sebagainya yang boleh menjadikan mereka dengan kita ‘bonded with each other’.
Seterusnya apabila kita meningkat tua, kita mula sensitif dan mudah terasa.
Kita ingin menyayangi anak-anak kita tetapi mereka sudah tidak mahu kita menyayangi mereka. Maksud saya di sini ialah ‘kiss’ mereka. Bahkan mereka malu kerana mereka sudah besar.
Itulah sekiranya kita mempunyai cucu maka cuculah menjadi tempat kita melepaskan kasih dan sayang.
Apabila kita ingin melakukan sesuatu seperti mengajak anak-anak untuk menunaikan solat di Masjid atau kemana saja, kita mengajak dengan penuh pengharapan supaya mereka ikut tetapi jawapan mereka adalah mereka ingin berjalan kaki sambil beriadah dan tidak ingin menaiki kereta bersama kita.
Kalau mereka berfikir sedikit sebenarnya itu bukan ajakan tetapi itu adalah arahan supaya diikuti. Kita di kala ini hanya mengharapkan ada kesudian anak-anak dan memohon kepada Allah supaya hajat kita dipenuhi…
Tetapi apakan daya, mereka tidak memahami hasrat orang tua…
Itulah yang dapat aku kongsikan sedikit pengalaman berkaitan dengan ‘the arts and sciences of how to raise the children’.
Di penghujung bengkel, mereka meminta aku untuk berdoa yang mana kebiasaannya kita hanya menutupi mesyuarat atau bengkel dengan surah al-Asr dan tasbih kafarah.
Aku menutupi bengkel dengan bacaan doa Rabitah dan mereka bersalam salaman sambil berpeluk-pelukan selepas itu. Biarkanlah, mereka melakukannya sesama perempuan. Suatu perkara yang jarang berlaku!
Apapun alhamdulillah semoga hubungan sesama kami akan lebih erat dan mantap insyaAllah.