Bicara Hati 4: Ubat dukacita
Dukacita ialah penyakit yang timbul kerana terlalu terikat dengan dunia. Dukacita juga disebabkan terlalu cinta kepada keperluan jasmani dan syahwat sehingga percaya bahawa ia tidak boleh dipisahkan dengan perkara yang dicintainya. Contohnya dukacita kerana takut kehilangan orang yang disayang, hilang harta, hilang pangkat dan kedudukan. Dukacita boleh terjadi akibat memikirkan perkara yang telah berlalu, perkara sekarang dan perkara yang akan datang.
Memikirkan perkara yang telah berlalu
Jika kita memikirkan insan tersayang, pangkat, harta yang telah pun hilang daripada kita, maka keadaan itu adalah tidak berguna sama sekali. Hal yang telah berlalu jika diratap dengan air mata darah sekalipun tidak akan dapat mengembalikan kehilangan tersebut. Kesedihan yang berpanjangan hanya akan merosakkan hati, pemikiran dan tubuh badan. Wajib diyakini bahawa alam yang dijadikan Allah adalah bersifat baharu. Asalnya tiada kemudian ada dan akhirnya tiada. Begitu juga dengan apa yang kita ada, juga asalnya tiada kemudian ada dan akhirnya tiada. Itu adalah sunnah Allah untuk kita sebagai hambanya dan ianya sebagai satu ujian kehidupan.
Oleh itu apa yang kita masih ada sekarang hendaklah disyukuri dan menghargai pemberian Allah tersebut dengan menyempurnakan haknya.
Memikirkan perkara sekarang
Berdukacita memikirkan perkara sekarang adalah mungkin disebabkan orang lain mendapat nikmat sedangkan kita tidak. Atau hidup yang masih melarat, atau cita-cita yang masih tidak tercapai atau adanya pengurangan harta, atau jawatan yang masih ditakuk lama berbanding rakan-rakan yang lain.
Perlu disedari bahawa hakikat dunia adalah negeri yang penuh muslihat dan tipu daya. Jika hari ini kita tersenyum esok mungkin kita akan menangis. Jangan hanya diingat ketika Micheal Jackson berada dipuncak sebagai penghibur nombor satu dunia tetapi ingatkan juga bagaimana pengakhiran hayatnya yang tragis dan masih dipertikaikan.
Untuk mengubat hati yang duka, perhatikan orang yang berada dibawah dan lebih melarat hidupnya. Sabda Rasullullah SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari:
“Lihatlah orang-orang yang lebih rendah dari anda dan jangan memandang kepada orang-orang yang berada di atas anda kerana itu lebih diingini oleh anda agar anda tidak memandang rendah akan nikmat Allah yang diberikan kepada anda”
Untuk mengubat rasa dukacita, kita disarankan untuk berziarah orang sakit, melawat penjara, hospital, kubur dan tempat orang miskin yang melarat agar kita merasai kita masih ada nikmat yang lebih baik. Maka pastinya kita akan bersyukur.
Dukacita memikirkan perkara yang akan datang
Ada dua situasi bagi perkara yang akan datang iaitu perkara yang pasti datang dan perkara yang berkemungkinan akan datang. Perkara yang pasti datang ialah tua dan kematian. Perkara ini merupakan juga sunah Allah yang tidak dapat kita mengelaknya sekalipun kita berlindung di tempat yang kebal atau kita dikelilingi oleh pakar perubatan. Tua dan mati adalah sunah yang wajib kepada kita. Oleh itu hal ini tidak perlu disedihkan kerana setiap yang muda akan tua dan setiap yang hidup akan mati.
Jika dukacita itu berkemungkinan akan datang kepada kita maka pada masa sekarang, maka perlulah berusaha untuk menghindar atau menolaknya. Allah telah berikan kekuatan diri, ilmu dan akal yang boleh dimanfaatkan untuk menolak kemungkinan yang buruk akan berlaku. Jika takut gagal maka berusahalah sebaik mungkin. Jika takut miskin maka berhemahlah ketika berbelanja dan bersedekahlah supaya Allah tambahkan rezeki. Jika takut sakit maka berusahalah menjaga kesihatan diri. Jika takut hilang jawatan maka buatkan kerja dengan dedikasi dan berintegriti. Selain daripada itu serahkan kepada Allah dan bertawakkal. Firman Allah dalam Al-Quran yang bermaksud:
“Tidak menimpa sesuatu musibah di bumi ini, atau di dalam diri kamu sendiri, melainkan semuanya telah tertulis di dalam Kitab, sebelum ia terjadi dahulunya. Semuanya itu bagi Allah mudah sahaja. Supaya janganlah kamu sekelian berdukacita mengingat barang yang telah hilang dan jangan pula terlalu bergembira atas perkara yang datang kepadamu, dan Allah tidak suka kepada orang yang sombong dan membangga diri.”
(Al-Hadid: 22-23)
Kesimpulan
Diceritakan ketika Raja Zulkarnain akan menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika usia yang masih muda baginda berpesan:
“Ketika aku mangkat, letakkan mayatku dalam peti dan bawa ke segenap negeri dibawah taklukku dan dari dalam peti hendaklah kamu hulurkan kedua tanganku yang kosong keluar daripada peti supaya orang tahu Raja Zulkarnain yang berkuasa ini kembali ke akhirat hanya dengan tangan kosong jua. Jika ibu dan ahli rumahku meratap sedih atas kemangkatanku maka janganlah dilarang sebaliknya suruh mereka mencari dua orang iaitu orang yang tidak mati selama-lamaya dan orang yang tidak pernah ada kematian dalam hidupnya. Kalau berjumpa maka bolehlah mereka meratapi kematian ku.”
Adaptasi Karya Prof HAMKA dalam TASAUF MODEN