Project – KEJORA 2015-2017

TAJUK PROJEK :
Kreativiti Dan Inovasi Melalui Pengaturcaraan Liga Robotik iCare UTM-Kejora : Kemahiran Penyelesaian Masalah

TEMPOH PROJEK :
1 Jun 2015 – 31 Mei 2017 (2 Tahun)

PENAJA :
Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA)
Melalui Bahagian Pembangunan Sosial dan Pemajuan Desa dengan kerjasama kumpulan penyelidik iCARE

PENGENALAN :

Penggunaan teknologi dalam pembelajaran boleh memberi inspirasi kepada pelajar-pelajar untuk berfikir secara kritikal dalam penyelesaian masalah dan menggalakkan kreativiti untuk menghasilkan penyelesaian masalah yang inovatif. Robotik merupakan teknologi yang boleh menarik minat pelajar untuk mengambil bahagian secara aktif dalam pengajaran. Pendedahan teknologi ICT pada peringkat awal di sekolah atau pra-universiti membolehkan pelajar untuk mengaitkan hubungan di antara teori dan penggunaannya secara praktikal dalam penyelesaian masalah. Oleh itu, robotik merupakan alat pengajaran yang sesuai untuk topik penyelesaian masalah secara kreatif dan pemikiran kritikal. Selain itu, kemahiran insaniah juga turut diterapkan dalam kalangan pelajar melalui kerjasama antara kumpulan dalam menyelesaikan masalah.

Pembangunan sistem robotik dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah dan universiti telah meningkat, oleh kerana teknologi ini memenuhi keperluan pendidikan, terutamanya untuk menyelesaikan masalah. Di Malaysia Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC) adalah salah satu daripada aktiviti ko-kurikulum di bawah Kementerian Pendidikan yang menggunakan robot LEGO. Tujuan pertandingan adalah untuk menyediakan platform pembelajaran yang membolehkan pelajar-pelajar sekolah belajar empat kemahiran generik, iaitu penyelesaian masalah, pemikiran kreatif, komunikasi interpersonal dan kerja berpasukan. Pertandingan seperti ini berjaya melahirkan suasana dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang menyeronokkan di samping meningkatkan keyakinan dalam komunikasi di kalangan pelajar sekolah.

Menyedari akan faedah teknologi robotik dalam pengajaran maka robot kecil mudah alih yang dipanggil RoboKar, telah dibangunkan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk tujuan pengajaran topik penyelesaian masalah menerusi pengaturcaraan perisian komputer. Robot yang sama telah digunakan untuk pengajaran kursus-kursus di UTM dan di sekolah. Robot ini menyediakan platform praktikal untuk mengajar konsep pengaturcaraan masa nyata untuk sains komputer dan kejuruteraan perisian pelajar di UTM. Ia adalah murah dan robot mudah alih ini berskala kecil, dan ia adalah mudah untuk digunakan oleh pengaturcara tanpa latar belakang perkakasan untuk program perisian robot.

Selain daripada pendedahan teknologi kepada pelajar sekolah, penerapan kemahiran insaniah juga dititik beratkan. Hal ini bertujuan untuk memastikan pelajar – pelajar sekolah mempunyai ilmu pengetahuan serta kepakaran tinggi bagi penyediaan guna tenaga dalam pelbagai jenis pekerjaan. Sebagai contoh, kemahiran komunikasi yang berkesan mampu memberi keyakinan yang tinggi kepada pelajar apabila memasuki ke alam pekerjaan kelak selain berkebolehan menggunakan teknologi komunikasi maklumat (ICT) dengan baik, pelajar juga berupaya berfikir secara kreatif dan kritis serta mampu bertindak secara rasional. Komunikasi antara ahli kumpulan sangat penting untuk menyelesaikan sesuatu masalah, perkara ini secara tidak langsung mampu melahirkan nilai semangat kerja berpasukan dalam kalangan pelajar sekolah serta berupaya memupuk sifat kepimpinan samada di sekolah, dalam keluarga mahupun masyarakat.

PENGALAMAN MELAKSANAKAN PROGRAM

Peserta program yang disasarkan ialah para pelajar pada peringkat menengah atas dan guru-guru yang terlibat dengan pengajaran subjek penyelesaian masalah terutama pengaturcaraan. Berdasarkan pengalaman awal UTM mengajar pelajar sekolah dengan menggunakan robokar, hasil kajian kami menunjukkan pelajar amat bersetuju cara pengajaran penyelesaiaan masalah dengan menggunakan Robokar boleh meningkatkan kemahiran penyelesaian masalah mereka.

Setakat ini UTM hanya menjalankan pengajaran penyelesaian masalah melalui robot hanya secara runcit atau atas permintaan sahaja. Kami berpendapat jika modul dan bahan pengajaran yang telah kami sediakan ini boleh diintegrasikan dengan subjek dan aktiviti yang sediada di sekolah, ia boleh melibatkan pelajar yang lebih ramai.

Program ini bertujuan untuk memupuk kreativiti dan inovasi di kalangan pelajar sekolah menengah yang sejajar dengan peranan iCARE dalam pendidikan ke arah kelestarian pembangunan pendidikan luar bandar melalui pengenalan bidang teknologi komputer. Di samping itu, program ini juga memperkembangkan penggunaan alat mudah alih (mini iPad) dalam mencari bahan- bahan tambahan untuk pelajaran. Program iCARE ini juga, membantu pelajar menghasilkan penulisan dan penyediaan laporan bagi persediaan memasuki institusi pengajian tinggi.

OBJEKTIF

(i) Mengenal-pasti subjek dan aktiviti di sekolah yang boleh menggalakkan pembangunan kemahiran penyelesaian masalah yang kreatif dan inovasi.
(ii) Menyediakan platform pembelajaran (robot dan bahan pengajaran dan pembelajaran) yang membolehkan pelajar-pelajar sekolah belajar empat kemahiran generik, iaitu penyelesaian masalah, pemikiran kreatif, komunikasi interpersonal dan kerja berpasukan.
(iii) Memberi latihan kepada guru yang terlibat berkenaan bahan pengajaran dan teknologi robot yang akan digunakan.
(iv) Mengadakan liga-Robotik untuk sekolah-sekolah menengah di Wilayah Johor Tenggara di bawah KEJORA

MuatTurun (Download) : Pelaksanaan Modul di Sekolah