PERUTUSAN NAIB CANSELOR
UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA
SEMPENA AIDIL ADHA 1437H (12 SEPTEMBER 2016)
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
اللهُ أكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أكْبَرُ، وَللهِ الْحَمْد
Alhamdulillah, marilah sama-sama kita merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Ta’ala kerana dengan limpah rahmat dan kasihNya, kita sekali lagi dikurniakan peluang bagi meraikan Hari Raya Aidil Adha pada 10 Zulhijjah 1437 H ini. Justeru, marilah kita sama-sama memaknai intisari utama dalam perayaan kedua umat Islam ini dengan menghayati dan mengambil ibrah daripada Ibadah Haji dan Ibadah Korban, dan diaplikasikan dalam kehidupan dan tanggungjawab kita seharian. Sebagai warga UTM, marilah kita mengambil semangat dan roh perjuangan Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Ismail A.S sebagai satu teras dalam menyempurnakan segala amanah dalam memacu kecemerlangan UTM bagi menjayakan Pelan Global UTM, merekayasa inovasi untuk kemakmuran sejagat dan menjayakan wawasan kementerian pendidikan tinggi menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi).
Marilah kita penuhi Aidil Adha ini dengan memperbanyakkan lafaz takbir, tahmid, tasbih, tahlil, mendirikan solat sunat hari raya dan melaksanakan atau bersama membantu pelaksanaan ibadah Qurban. Buat ahli keluarga, rakan-rakan dan warga UTM yang telah terpilih sebagai Dyufurrahman di Bumi Suci Makkah Al Mukarramah, kami di tanah air mendoakan kesihatan dan kesejahteraan saudara dan saudari semua, dapat melaksanakan segala ibadah dengan sempurna dan dikurniakan haji yang mabrur serta pulang ke Malaysia dengan sebaiknya.
Akhir kata, Saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Adha bagi tahun 1437H kepada seluruh warga UTM yang beragama Islam.
Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar
Naib Canselor