Bismillahirahmanirrahim
Assalamualaikum.wrmt.wbkth,
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar.
Pertamanya, marilah kita sama-sama menzahirkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah S.W.T di atas segala rahmat dan kasihNya, kita bakal menyambut Hari Raya Idil Fitri pada tahun ini. Sama-sama kita doakan agar kita dapat menghayati 1 Syawal 1438H, hari kemenangan ini dengan penuh rasa keimanan, ketaqwaan dan kesyukuran dengan lafaz kalimah takbir, tahmid dan tasbih memuji Allah Yang Maha Esa atas segala kurniaanNya.
Justeru, sempena ketibaan Hari Lebaran ini, sebagai warga UTM, marilah kita menjadikannya sebagai satu wadah untuk kita saling mengeratkan silaturrahim, bersatu hati dan berganding bahu dalam menempuh segala cabaran bagi membawa UTM terus maju ke hadapan dan mencapai aspirasi kita ke arah kesejahteraan dan kemakmuran sejagat.
Alhamdulillah di sebalik pelbagai cabaran dan rintangan, UTM telah meraih beberapa kejayaan yang membanggakan termasuklah peningkatan dalam kedudukan QS World Ranking 2017/18 yang diumumkan baru-baru ini. Saya percaya ia adalah berkat keikhlasan, kesepakatan, kesungguhan dan pengorbanan seluruh warga UTM.
Kepada warga UTM yang akan pulang ke kampung, sentiasalah berwaspada, beretika dan mematuhi undang-undang semasa memandu di jalan raya. Jagalah keselamatan diri dan keluarga di sepanjang perayaan ini dan kembali semula ke kampus dengan selamat dengan semangat baharu untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik demi meneruskan perjuangan ke arah kecemerlangan UTM. Tidak ketinggalan juga kepada semua kakitangan UTM yang akan bertugas sepanjang Hari Raya ini antaranya staf dari Bahagian Keselamatan, Pejabat Harta Bina, Pusat Kesihatan, Masjid Sultan Ismail dan lain-lain, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada anda semua atas komitmen dan pengorbanan anda untuk bertugas ketika orang lain sedang merayakan Idilfitri!
Semoga ibadah dan tarbiyah di sepanjang bulan Ramadhan Al-Mubarak yang telah kita lalui berjaya membentuk peribadi yang kukuh dan menjadikan kita insan yang lebih baik dan positif. Semoga bulan Ramadhan dapat membentuk kehidupan kita untuk terus istiqamah dan beribadah kepada Allah S.W.T. Bagi meraikan Idil Fitri ini, Nabi S.A.W pernah bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang menghidupkan malam raya Idil Fitri dan Idil Adha dengan mengharapkan keredhaan Allah, nescaya tidak akan mati hatinya pada hari matinya semua hati” (H.R. Muslim & Ibnu Abbas).
Akhir kata, saya dan keluarga dengan penuh keikhlasan menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf kepada semua staf, mahasiswa dan warga UTM atas apa jua kesalahan dan kesilapan yang dilakukan selama ini.
1 Syawal hari kemenangan
Disambut dengan penuh kesyukuran
Salam Idil Fitri saya ucapkan
Mohon dimaafi segala kesalahan
Ketupat dianyam di tepian laman
Lemang dibakar warisan tradisi
Berhati-hati di sepanjang perjalanan
Semoga selamat sampai ke destinasi
Selamat Hari Raya Idil Fitri, maaf zahir dan batin.
“Taqobbalallahu minna wa minkum”
Wahid bin Omar
Naib Canselor