بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Alhamdulillah, marilah sama-sama kita merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kasih dan kurnia-Nya jua, kita diberi peluang dan kesempatan untuk bertemu dengan penghulu segala bulan, Ramadhan Al- Mubarak.
Di kesempatan ini, saya ingin mengingatkan diri saya dan seluruh warga UTM khususnya yang beragama Islam untuk sama-sama merebut dan memanfaatkan peluang terbaik yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita. Dengan semangat mengubah dan membina, marilah sama-sama kita bermuhasabah diri dengan dan merenung kembali segala perbuatan dan tindakan yang telah kita lakukan sama ada sengaja atau tidak sebelum ini. Rebutlah peluang di bulan yang penuh dengan keberkatan ini untuk kita saling berlumba-lumba merebut peluang untuk meningkatkan dan menambah tabungan amal kebajikan kita. Sama-sama kita kukuhkan ikatan persaudaraan untuk berdiri teguh dan bergerak pantas ke hadapan dalam melaksanakan segala tanggungjawab dan tuntutan kerja yang diamanahkan dengan sebaiknya.
Ambillah peluang di bulan yang mulia dan barakah ini untuk kita memperbaiki diri, menyempurnakan semua amalan fardu dan membanyakkan amalan sunat. Semoga mujahadah kita menahan diri dari makan, minum, mengekang nafsu dan segala perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa, mampu mendidik diri kita untuk menjadi insan yang bertaqwa. Akhir kalam marilah bersama-sama kita mengimarahkan sebulan Ramadhan 1439H, dengan azam yang tinggi dan menanamkan niat agar amalan ramadhan tahun ini yang terbaik buat diri kita. Selamat Menjalani Ibadah Puasa. Salam Ramadhan al-Mubarak.
كل عام وانتم بخير
وبالله التوفيق والهداية والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Wahid Omar
Sya’ban 1439 30