Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Semoga semua warga UTM sentiasa berada dalam kesejahteraan dan keceriaan.
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada tahun ini menjadi tuan rumah Majlis Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam (UA) kali ke-38. Majlis yang berlangsung pada hari Sabtu, 3 Ogos 2019 ini akan melibatkan seramai lebih 1500 orang kadet yang terdiri daripada mahasiswa daripada seluruh UA. Sebagaimana Majlis Konvokesyen, Istiadat Pentauliahan Diraja ini merupakan hari cukup istimewa kepada mereka kerana kejayaan menamatkan latihan dan seterusnya ditauliahkan sebagai pegawai dalam Regimen Askar Wataniah.
Istiadat kali ini merupakan kali ke-4 UTM terpilih sebagai lokasi penganjuran. Istiadat ini akan melibatkan para tetamu luar yang terdiri daripada para ibubapa, orang awam termasuk dif-dif kehormat daripada pelbagai agensi khususnya daripada Angkatan Tentera Malaysia. DYAM Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor telah berkenan berangkat ke majlis istiadat ini mewakili DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.
Sehubungan dengan itu, marilah kita sama-sama meraikan kegembiraan para kadet PALAPES dan ahli keluarga mereka yang berkunjung ke UTM. Berikan layanan terbaik kepada sekalian tetamu sebagaimana yang seringkali disebut, ‘seluruh ekosistem kampus’ adalah terlibat dalam mendidik pelajar. Semoga budaya mesra warga UTM dirasai oleh mereka.
Kepada para pegawai kadet, tahniah dan syabas diucapkan atas kejayaan ini. Sesungguhnya kehadiran lebih 1500 pegawai kadet bersama jurulatih dan pegawai yang bersemangat kental, dan kesungguhan yang dipamerkan sepanjang menjalani latihan di UTM ini amat dirasai oleh seluruh warga kampus. Diharapkan segala latihan yang dilalui dapat membakar semangat untuk terus berbakti dan berkorban demi agama, keluarga, masyarakat dan juga negara.
Akhir kata, saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat secara langsung mahu pun tidak langsung dalam menjayakan majlis istiadat pentauliahan ini. Segala pengorbanan yang dicurahkan amat dihargai dan tidak ternilai. Hanya Allah s.w.t sahaja yang mampu membalasnya.
Sekian, terima kasih.
Wahid Omar
Naib Canselor.