Assalamu’alaikum, Salam Sejahtera Warga UTM,
Semoga seluruh warga UTM, ahli keluarga kita, sahabat handai dan seluruh warga Malaysia dan lain-lain negara yang menghadapi ancaman COVID19 terpelihara dari musibah. Hari ini bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan UTM sedang melaksanakan perintah ini.
- Mohon kita semua sama-sama mematuhi perintah ini dan sentiasa berdisiplin mengamalkan segala nasihat dan panduan Kementerian Kesihatan. UTM juga ada SOP yang perlu kita patuhi. Pematuhan ini bukan sahaja ketika di pejabat atau bertugas, tetapi dalam seluruh aktiviti seharian kita di mana sahaja dan juga ahli keluarga dan rakan-rakan.
- Team PKU dan semua team sokongan sedang bekerja keras sejak kali pertama COVID19 ini timbul, mengendalikan segala risiko agar UTM dan seluruh warganya terpelihara sepenuhnya. Alhamdulillah sehingga ini keadaan sangat terkawal. Setiap kes yang ada simptom di periksa dan kita bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Kulai dan Hospital Permai. Dan kita mematuhi segala SOP KKM, dalam mengendalikan pelajar dari negara berisiko, staf/pelajar yang pulang dari luar negara dan mereka yang ada contact dengan Person Under Investigation (PUI).
- UTM telah mengeluarkan Panduan Perlaksanaan PKP dan Panduan Bekerja dari Rumah (PBDR). Mohon semua warga UTM meneliti kedua-dua dokumen ini.
- Dalam penyediaan dokumen ini, kita pastikan segala Panduan Majlis Keselamatan Negara, Kementerian/Jabatan Pengajian Tinggi, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) diambil kira sewajarnya. Kita juga mengambil kira pandangan warga UTM iaitu staf dan pelajar. Kita menjemput wakil pelajar hadir ketika mesyuarat Task Force COVID UTM semalam.
- Kita sangat prihatin terhadap kebajikan seluruh warga UTM, dan juga sangat prihatin agar segala tanggungjawab kita di UTM dilaksanakan sebaiknya dalam waktu yang sangat mencabar ini.
- Adalah jelas PKP menghadkan pergerakan dan juga menangguhkan banyak operasi UTM kecuali yang benar-benar perlu (essential)
- Dalam masa yang sama Arahan Bekerja Dari Rumah dari KPPA jelas meminta kita sebagai penjawat Awam melaksanakan tanggungjawab dan PKP bukan bermaksud staf bercuti dirumah.
- UTM berharap semua jelas, operasi UTM boleh terus berjalan dan kita laksanakan amanah ini dari rumah, kecuali jika ada keperluan kritikal dan tiada risiko jangkitan. Ketua PTJ dibenarkan untuk membuat perancangan dan mengatur jadual mengikut kesesuaian dan mempastikan tiada risiko, sekiranya staf diminta ke pejabat.
- Tentunya ada cabaran tersendiri dan kita menerima hakikat pasti tidak semuanya lancar. Apapun kita harus laksanakan tanggungjawab sebaik mungkin. Ketua PTJ boleh juga menentukan kaedah terbaik dan merancang sumber, komunikasi dan lain-lain keperluan dengan baik.
- Kami di peringkat Pengurusan akan sentiasa memantau agar tiada kesulitan yang timbul. Kita sentiasa mengalu-alukan sebarang maklumbalas, pandangan dari warga UTM.
- Jika ada kekeliruan atau tidak jelas atas sebarang perkara/arahan boleh hubungi kami. Kita tidak mau keadaan lebih kusut dan bercelaru dalam kita hadapi cabaran yang kritikal ini. Kita mempunyai amanah besar untuk dilaksanakan.
- Sekali lagi, saya ucapkan setinggi terimakasih kepada seluruh warga UTM atas segala kerja keras dan kerjasama yang diberikan.
- Sama-sama kita doakan semoga keadaaan akan segera pulih dan semua kita terpelihara.
Sekian, terima kasih
Saya yang menjalankan amanah.
Wahid Omar
36, TSPP
(work from home)