Assalamu’alaikum dan Salam Sejahtera Warga UTM,
 
Semoga warga UTM seluruhnya sentiasa dalam kesejahteraan. Kepada yang muslim, selamat menjalani ibadat di bulan Ramadhan.
Agak lama saya tidak menulis e-mel ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan work from home (WFH) ini. Ketika ini, para pelajar telah mula pulang ke kampung secara berperingkat. Terima kasih kepada semua team UTM yang diketuai oleh TNCHEP, melibatkan team JPU pelbagai jabatan yang telah bekerja keras mempastikan kelancaran perjalanan pelajar kita ke destinasi masing-masing. Syabas kepada team MPP UTM yang terlibat secara langsung dalam menguruskan pergerakan pelajar. Terima kasih juga kepada pelbagai agensi kerajaan seperti PDRM, Bomba dan Penyelamat, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan lain-lain.
 
Hari ini saya menulis ringkas memberi fokus khas kepada Sambutan Hari Pekerja 2020. Tema tahun ini ‘Pekerja Tunjang Kelestarian Negara’. Majikan hakiki kita adalah rakyat Malaysia. Saban tahun, ratusan juta peruntukan disalurkan oleh Kerajaan untuk UTM menjalankan fungsi kita. Khusus bagi UTM, Visi dan Misi kita adalah jelas iaitu ringkasnya membina kesejahteraan dan kemakmuran sejagat. Kita membawa amanah iaitu menjadi institusi Pendidikan Tinggi yang berupaya memberi pendidikan tinggi terbaik kepada rakyat Malaysia dan membina kekayaan negara melalui penghasilan manusia berilmu dan berpegang kepada nilai-nilai yang luhur, dan meneroka ilmu dan penghasilan produk inovatif.
 
Saya adalah pekerja dan seluruh warga kerja UTM adalah pekerja. Kita mempunyai peranan berbeza, tetapi amanah dan pertanggungjawaban adalah sama. Kita harus sedar, rakyat akan menuntut pertanggungjawaban ini. Kita bersyukur kerana sebagai pasukan UTM, kita memahami tanggungjawab ini. Kita membina pasukan bersinergi yang cukup berintegriti dan berusaha ke arah kecemerlangan, dan mempunyai minda dan menghayati budaya lestari. Empat nilai ini iaitu Integiti, Sinergi, Cemerlang dan Lestari adalah Nilai Teras UTM yang perlu kita perkasakan penghayatannya, tanpa mengenepikan banyak lagi nilai-nilai baik yang perlu dihayati.
 
Kita di UTM juga sentiasa memperingatkan dalam kerangka amanah dan pertanggungjawaban ini, kita berpegang kepada tanggungjawab holistik kita sebagai manusia yang perlu diintegrasikan dan berusaha mencapai keseimbangan sebaiknya. Kita mempunyai tanggungjawab dan amanah kepada diri, keluarga dan masyarakat disamping sebagai warga UTM, satu institusi yang menjadi sumber rezeki untuk menyara kehidupan kita dan keluarga.
 
Adalah diharapkan sebagai warga UTM, kita semua adalah satu barisan mantap UTM membawa amanah besar ini. Kita tidak membezakan sesama kita. Saudara/i dan saya adalah pekerja dan semuanya ke arah satu visi dan misi yang murni demi Kesejahteraan Sejagat.
 
Semoga Allah merahmati kita semua.
 
Stay at home, stay safe, stay productive.
 
Saya Yang Menjalankan Amanah
Wahid Omar
1 Mei 2020
8 Ramadhan 1441H