Tanggal 25 Oktober 2020 menyaksikan keputusan bijaksana Kepimpinan Institusi Raja Berperlembagaan dalam menangani kemelut politik di negara ini. Rakyat Malaysia diberi peluang untuk menyelesaikan masalah sebenar iaitu penularan COVID-19 dan kesan besar ke atas kehidupan rakyat daripada aspek sosial, ekonomi, pendidikan dan politik. Seluruh tenaga dan sumber seharusnya difokuskan kepada usaha-usaha membendung penularan COVID-19.

Keupayaan mekanisme pelbagai agensi kerajaan tidak perlu dipersoalkan lagi. Telah terbukti tahap keupayaan dan profesionalisme mampu menyelesaikan banyak permasalahan negara. Yang diperlukan ialah kepercayaan penuh oleh Kepimpinan Politik, tanpa ‘campur tangan’ yang tidak produktif, dan hanya memberikan ‘pulangan politik’ semata-mata. Masing-masing ada peranan dalam menyumbang kepada pembangunan negara.Suatu pengajaran terbaik kepada kita ialah Institusi Raja memberi kepercayaan besar kepada mekanisme sedia ada, termasuk agensi kerajaan dalam menyelesaikan isu COVID-19.

Kepimpinan politik pula diminta mewujudkan keharmonian politik yang matang. Parlimen pula perlu terus berfungsi sebagai tempat permesyuaratan bagi mencari penyelesaian terbaik kepada agenda negara yang memberi impak besar kepada kehidupan rakyat. Parlimen bukan tempat ahli-ahliya bertukar tempat duduk mengikut sesuka hati. Kerusi YB adalah amanah rakyat – Yang Berkhidmat. Para YB mempunyai masa yang cukup untuk membuktikan keupayaan dan keikhlasan untuk berkhidmat kepada rakyat, sebelum PRU-15. InsyaAllah. Telah terbukti juga rakyat Malaysia cukup matang berdepan dengan cabaran ini. Jadi hormatilah kematangan rakyat.

Sekali sekala memberi pandangan – jika ada manfaat untuk diambil.

Wahid Omar
26 Okt. 2020