Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera kepada seluruh warga Universiti Tekonologi Malaysia (UTM).

Alhamdulillah, antara sedar dengan tidak, semester baharu 2019/2020 telah pun bermula. Mahasiswa antarabangsa pada minggu lalu sudah mula mendaftarkan diri di UTM dan pastinya kesibukan ini akan menambahkan ceria di kampus UTM sama ada di Johor Bahru mahupun di Kuala Lumpur.

Pendaftaran rasmi bagi pelajar antarabangsa adalah pada 26 Ogos hingga 28 Ogos 2019. Pelajar tempatan pula mendaftar pada 3 September 2019. Dijangkakan, seramai lebih 3000 pelajar prasiswazah akan mendaftar dan 550 orang daripadanya pelajar antarabangsa. Manakala bagi pelajar pascasiswazah, lebih 2000 pelajar akan mendaftar yang mana lebih 450 daripadanya adalah pelajar antarabangsa.

Kepada Mahasiawa baharu (mahasiswa tempatan mahupun luar negara) yang baru mendaftar di UTM, Selamat Datang ke UTM! Pastinya UTM akan menjadi ‘rumah’ kedua saudara/i selepas ini. Terokai bidang pengajian yang anda pilih di UTM ini seluasnya untuk menggapai kejayaan sehingga penghujungnya walaupun kita tahu, tiada nokhtah bagi jalan menuntut ilmu.

Ambillah segala peluang untuk membangunkan segala potensi anda di UTM kerana inilah langkah pertama anda membina dan melakar kecemerlangan pada masa hadapan. Apa yang paling utama dalam menuntut ilmu ini adalah kesungguhan, membuka minda seluas-luasnya, menanamkan keikhlasan dan tabah. UTM adalah kampus yang terdiri daripada pelbagai bangsa, ambillah kesempatan ini untuk memahami, mempelajari dan menghormati kepelbagaian ini. Pada pandangan saya, kepelbagaian adalah kekuatan yang perlu digembeling untuk membina kesejahteraan sejagat.

Kepada seluruh warga UTM, marilah kita raikan dan layanlah tetamu UTM sebaiknya. Jadikan pengalaman pertama mereka di kampus UTM sebagai kenangan yang tidak dapat dilupakan. Pamerkan kepada mereka ekosistem yang keseluruhannya dibina melalui pengalaman pembelajaran di kampus yang holistik.

Akhir kata, marilah kita perbetulkan niat dan berikan perkhidmatan yang terbaik kepada tetamu kerana setiap kita adalah duta yang membawa nama UTM.

Kerana Tuhan untuk manusia.

Wahid Omar,
Naib Canselor.