Siri mesej integriti kali ini ingin berkongsi berkenaan contoh perkara – perkara licik yang sering berlaku di sekitar ruang pekerjaan kita, yang mana hal seperti ini hanya dilakukan oleh mereka yang mempunyai niat-niat tertentu, terutamanya apabila ia dilakukan dengan niat untuk kepentingan dan penghormatan peribadi.

Secara dasarnya, sifat licik seperti ini kadang – kala menimbulkan perasaan kurang senang orang sekeliling mereka yang mengetahui perkara sebenar, namun mereka ini terbatas dari segi kuasa dalam memulakan  apa-apa tindakan. Contoh mudah, A, seorang pekerja di jabatan B, seringkali diperhatikan tidak ada di tempat kerjanya, namun rekod kehadiran beliau ke pejabat setiap hari tampak beliau bersih, lantaran wujud staf lain yang baik hati, sanggup mengetik perakam waktu khas untuk beliau. Pengurusan berat mengambil tindakan terhadap A kerana khuatir akan terjadi perkara yang tidak diingini, mengambil kira sifat A yang licik dan panas baran.


Situasi kedua, B, seorang staf akademik kanan di jabatan C, seringkali dijemput dan diundang sebagai jurucakap untuk program dan kolokium, apabila diminta pengesahan dari aspek kelulusan pengajian, beliau dengan sengaja mempamerkan kelulusan yang pada dasarnya tidak dimiliki oleh beliau, lantaran untuk memberikan gambaran baik terhadap penganjur. Persoalannya, dalam kedua – dua situasi terbabit, adakah staf – staf seperti ini wajar dibiarkan menjalankan perbuatan – perbuatan ini, sedangkan, secara tidak langsung ia akan memberikan impak kepada keberkesanan penyampaian perkhidmatan.

Cuma akan timbul persoalan, apakah perkaitannya keberkesanan penyampaian perkhidmatan dengan situasi – situasi staf A dan B ini. Analoginya mudah, jika suatu hari berlaku semakan daripada mana – mana jabatan kerajaan luar, yang ingin membuat semakan berkenaan kelulusan staf B untuk dijemput dalam wacana ilmu khas anjuran Kerajaan, kita sendiri akan tertanya – tanya, adakah B cukup kompeten dalam memberi penerangan perkara yang beliau sendiri tidak mempunyai kelulusan, apatah lagi pengetahuan. Perkara ini secara kasar tampak seperti tidak besar, namun, ia masih memberi impak, kerana B yang dijemput membawa nama institusi sekali, seperti Universiti Teknologi Malaysia, justeru yang akan terpalit, siapa?

Bagi hal A pula, jika keadaan seperti ini dibiarkan berterusan, dan A dibiarkan menerima gaji bulanan tanpa perlu berada di meja kerjanya, adakah ini adil buat mereka di jabatan B yang perlu menanggung tugas A tetapi masih menerima amaun gaji yang sama? Kadang – kala perkara licik seperti ini dibiarkan kerana ada ketua jabatan rasa gusar ingin memulakan tindakan, takut – takut akan memberikan kesan secara peribadi, dan ingin menjaga kepentingan diri daripada sebarang ancaman. Namun begitu, suka untuk dinyatakan disini bahawa, perkara – perkara seperti ini tidak wajar dibiarkan berlaku. Contohnya, A sendiri tidak berasa beliau penting untuk berada di tempat kerjanya, apatah lagi kita yang pada dasarnya tidak perlu menjaga hati A, yang mana beliau seharusnya boleh segera dikeluarkan dari sistem Universiti.
Fikir – fikirkan…..

Mari kita sama – sama hayati peribahasa sepandai – pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga ini. Dari satu dahan ke dahan, tupai terus melompat tanpa rasa gusar akan jatuh ke tanah.Namun, pada suatu hari, dahan yang biasa menjadi titian lompatan tupai, rapuh, kemudian jatuhlah tupai ini ke lantai. Sama juga seperti A dan B, seringkali selesa berada di dalam situasi mereka sekarang, tiada teguran dari pegawai atasan, tiada surat mohon penjelasan yang perlu dijawab dan rasionalisasi diri sendiri menyatakan perbuatan mereka adalah betul, jadi keadaan – keadaan yang membenarkan ini akan menyebabkan individu – individu seperti ini hanyut di dalam pilihan mereka ini.

Kesimpulannya, jika wujud keadaan seperti ini, minta dijauhkan terutamanya daripada berlaku di Universiti Teknologi Malaysia yang tercinta. Maka ketua – ketua disaran memainkan peranan yang sewajarnya. Pilihan berdiam diri dan tidak endah akan menyebabkan perkara ini subur seterusnya menjadi barah yang akan merosakkan keberkesanan perkhidmatan di Universiti. Semoga UTM akan terhindar daripada perkara – perkara seperti ini.

Sekian, diharapkan mesej ini bermanfaat dan Salam Integriti.

MORAL : Bagai menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak.

 

Oleh:

Pn. RAIHAN BINTI ABD KARIM
Pegawai Integriti Bertauliah /Certified Integrity Officer (CeIO)