MUHAMMAD FATHI BIN YUSOF (UTM)

BERITA HARIAN: 27 OKTOBER 2020 (HALAMAN 5)

Ketetapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah berkaitan cadangan pengisytiharan darurat di bawah Perkara 150 disambut baik oleh semua pihak.  Baginda berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk mengisytiharkan darurat. Asas yang disebut oleh baginda ialah kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan.

Sebelum itu pada mesyuarat kabinet khas telah diusulkan cadangan untuk pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman wabak COVID-19.

Cadangan ini muncul dalam keadaan negara berada disaat getir menghadapi wabak Covid-19. Dalam masa yang sama, bahang politik negara agak panas susulan tindakan Dato Seri Anwar Ibrahim yang mengadap Baginda selepas mendakwa mempunyai cukup sokongan bagi mengambil alih tampuk pemerintahan. Walau bagaimana pun beliau tidak memberi butiran yang jelas berkaitan sokongan besar yang didakwa itu. Selain itu, dalam kerajaan Perikatan Nasional sendiri wujud beberapa senario yang menimbulkan persoalan terhadap keutuhan kerajaan.

Di pihak rakyat pula wujud kerisauan jika pergeseran politik yang berlaku itu boleh membawa kepada Pilihan Raya Umum ke-15 dalam tempoh wabak sedang merebak. Wujud risiko Perdana Menteri sekarang hilang sokongan dan pencabar terdekat beliau iaitu Dato Seri Anwar pula belum cukup bilangan.

Mungkin juga ada pihak-pihak tertentu yang memang ingin PRU-15 diadakan segera, lantas mengambil sikap berkecuali dan tidak memberikan sokongan kepada mana-mana pihak. Jika demikian maka berlakulah ‘hung parliament’ atau Parlimen tergantung yang menyebabkan Parlimen terpaksa dibubar dan pilihan raya terpaksa diadakan dalam masa 60 hari selepas itu.

Dalam situasi demikian, mungkin ada yang mencadangkan agar diwujudkan ‘minority government’ atau kerajaan minoriti yang kekal memerintah tanpa sokongan majoriti. Pilihan ini boleh diterima dengan syarat kerajaan minoriti itu mampu memastikan Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di Parlimen mendapat kelulusan dan dapat dikuatkuasakan.

Bersandarkan senario inilah maka Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah memberikan tiga ingatan penting, iaitu:

Pertama, agar ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politicking yang boleh menggangu kestabilan pemerintahan negara.

Kedua, agar ahli-ahli Parlimen tidak perlu meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan Kerajaan sedia ada.

Ketiga, Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen adalah amat penting kepada rakyat di dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Keempat, seluruh rakyat, tanpa mengira latar belakang dan khususnya fahaman politik perlu mengenepikan segala perbezaan dan perbalahan untuk bersatu padu dan bersatu hati memainkan peranan masing-masing dalam membantu Kerajaan dan pihak-pihak berkuasa membendung wabak COVID-19.

Semua pihak perlu akur dan memberikan perhatian serius tentang perkara berkenaan. Penegasan Baginda menggambarkan bahawa Baginda benar-benar menyelami kerisauan hari rakyat dan memahami masalah sebenar yang sedang membelenggu negara. Dalam masa yang sama Baginda memilih untuk tidak mengisytiharkan darurat buat masa ini bagi memberi peluang khususnya kepada pemimpin politik untuk mencari jalan penyelesaian yang lebih baik bagi merungkaikan kemelut yang berlaku.

Sebenarnya inilah peluang terbaik buat semua pihak sama ada kerajaan atau pembangkang untuk merintis jalan bagi membina budaya politik yang lebih matang dan damai bagi mengurangkan pergeseran yang merimaskan rakyat. Ahli-ahli politik yang berbeza fahaman sepatutnya mampu berjiwa besar untuk duduk semeja menyelesaikan masalah negara. Kebolehan dan kehebatan yang ada pada diri masing-masing perlu dimanfaatkan secara sinergi bagi mengeluarkan negara dari belenggu wabak bukannya untuk saling berbalah.

Kita mengharapkan sidang Parlimen akan datang menjadi bukti kepada seluruh rakyat bahawa ahli politik kita mampu memberikan fokus kepada masalah utama negara, bukannya kepentingan dan kuasa masing-masing. Kita berharap agar rundingan yang baik dibuat bagi memastikan Belanjawan 2021 dapat diluluskan sekaligus dapat mengelakkan rakyat terdedah kepada risiko yang tidak diingini. Tanpa kelulusan Belanjawan, kerajaan tidak ada peruntukan untuk berbelanja pada tahun hadapan. Segala jentera kerajaan termasuk pendidikan, kesihatan, keselamatan tidak dapat berfungsi. Senario ini sesuatu yang tidak boleh berlaku.

Keputusan Yang di-Pertuan Agong ini adalah satu ruang dan peluang yang perlu dimanfaatkan untuk kebaikan rakyat. Aspek yang turut diambilkira ialah dari sudut peranan institusi Istana untuk melaksanakan peranan ‘semak dan imbang’. Langkah Yang di-Pertuan Agong mendapatkan pandangan Majlis Raja-raja menggambarkan kesungguhan dan keprihatinan Baginda untuk membuat penilaian terbaik sebelum melaksanakan peranan Baginda.

Dari sudut Perlembagaan, penolakan atau penangguhan ini satu persoalan yang menarik untuk dibahaskan. Ia membuka satu perspektif baru kepada Institusi Beraja dalam negara kita. Kita mengharapkan apa yang berlaku ini adalah salah satu episod penting dalam perjalanan negara menuju keunggulan dalam pemerintahan yang berteraskan keadilan dan kesejahteraan rakyat dengan acuan yang unik dan tersendiri menuju keredhaan Ilahi.

Muhammad Fathi Yusof

26 Oktober 2020