NASIONAL

BERITA HARIAN, 21 MAC 2021 (PAGE 13)

SOALAN: Sejauh mana Dr melihat kewujudan ordinan baharu berkaitan berita palsu?

Ordinan baharu ini ialah Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No. 2) 2021 yang berkuatkuasa pada 12 Mac 2021. Secara kasarnya kandungan ordinan ini hampir serupa dengan Akta Anti Berita Tidak Benar (Akta 803) diluluskan pada 3 April 2018. Akta ini dimansuhkan pada 19 Disember 2019.

Tetapi dari sudut fungsi dan tujuannya tidak sama. Ordinan ini bersifat sementara, tidak seperti akta. Ordinan darurat hanya berfungsi waktu darurat. Bila tamat darurat, ordinan ini akan ditamatkan fungsinya selepas enam bulan, melainkan jika ia dibentangkan di Parlimen dan diluluskan sebagai akta.

Satu lagi dari sudut skopnya. Ordinan ini hanya meliputi perkara-perkara yang dalam ruang lingkup Proklamasi Darurat. Darurat dilaksanakan untuk menangani pandemik Covid-19, jadi skop ordinan juga perlu dihadkan kepada skop berkenaan.

Darurat bukan memberi kebebasan mutlak kepada kerajaan untuk buat undang-undang sesuka hati. Jika kerajaan ingin membuat undang-undang dalam tempoh darurat, dalam bentuk ordinan, ia perlu dibuat dalam ruang lingkup Proklamasi Darurat itu. Perkara ini ramai yang terkeliru.

Berbalik kepada ordinan baharu ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) ada sebut bahawa jika Yang di-Pertuan Agong memanggil sidang Parlimen, maka ordinan ini boleh dibatalkan melalui usul yang mendapat sokongan majoriti.

Sekarang kita ada Jawatankuasa Khas Bebas di bawah Proklamasi Darurat yang boleh memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menamatkan darurat lebih awal. Jadi ada kemungkinan ordinan ini tamat kuatkuasanya lebih awal dari yang dijangkakan.

  • Dalam konteks lensa pengamal undang-undang, perlukah ordinan ini diwujudkan dan apakah ancaman berita palsu ketika era pandemik ini cukup kuat untuk menjadi sebab ordinan berkaitan palsu ini dikuatkuasakan?

Berita palsu ini wujud sejak zaman berzaman. Penipu dan pembohong sentiasa wujud atas dunia ini sejak dahulu kala lagi. Ia adalah persoalan etika, moral dan akhlak. Pada asalnya ia dikawal melalui kesedaran moral, dan juga melalui sistem sosial. Kesedaran moral maksudnya kawalan diri sendiri untuk tidak berbohong.

Sistem sosial pula ialah tindakbalas masyarakat bagi mereka yang berbohong. Kali pertama mungkin orang percaya, tapi bila kerap berbohong orang tidak lagi percaya dan pembohong akhirnya tidak dipercayai oleh masyarakat dan dipulaukan. Selagi dia tidak menjejaskan hak orang lain, biasanya ia tidak dhukum oleh undang-undang.

Dalam masyarakat terdapat juga mekanisme semakan terhadap sesuatu berita. Islam misalnya menekankan konsep ‘tabayyun’. Konsep ini bermaksud penerima berita ada tanggungjawab untuk membuat penelitian terhadap berita yang diterima, sebelum bertindak berdasarkan berita itu, atau sebelum menyebarkannya kepada orang lain. Ini semua adalah mekanisme kawalan sosial ke atas berita palsu.

Bila wujud mesin cetak, radio dan kemudiannya televisyen, wujud pula fenomena sebaran berita melalui media massa. Maka di sini bermulanya kawalan terhadap penyampaian berita. Media massa dikawal oleh kerajaan agar tidak menyebarkan berita palsu atau berita yang boleh mendatangkan kesan negatif.

Pengawalan begini perlu kerana berita yang disebarkan itu sampai kepada sasaran yang luas, tidak seperti sebaran berita secara berdepan seperti sebelumnya. Kawalan wujud sama ada melalui mekanisme penguatkuasaan oleh kerajaan atau melalui tindakan sivil oleh mangsa kepada berita palsu itu. Malaysia dan hampir semua negara di dunia ada kawalan begini.

Tetapi bila muncul internet serta media sosial, keadaan sekali lagi berubah. Kini semua orang boleh menyampaikan apa sahaja kepada seluruh dunia menggunakan pelbagai bentuk cara penyampaian. Sebelum ini media adalah hak eksklusif pemilik akhbar, stesen radio atau televisyen, tetapi kini semua orang boleh memiliki hak yang serupa.

Dari sinilah timbul perbahasan tentang keperluan undang-undang untuk mengawal berita palsu. Hal ini bukan isu di Malaysia sahaja, bahkan juga di seluruh dunia. Kaedah untuk mengawalnya pelbagai bergantung kepada sistem perundangan masing-masing.

Jadi, bila kita bercakap soal berita palsu ini, ia bukan masalah pada saat pandemik sahaja, ia adalah masalah global masakini yang berlaku sejak penggunaan internet dan media sosial menjadi popular.

  • Ada pandangan supaya berita palsu diperangi melalui fakta, bukan akta (fight fake news with fact, not act). Apa komen Dr?

Ini satu persoalan yang amat menarik untuk kita amati. Kata-kata ini memang sedap untuk dijadikan slogan, tetapi kita perlu berpijak di alam realiti.

Sebelum itu, perlu juga disebutkan bahawa masalah berita palsu ini juga melibatkan soal pendidikan dan pembudayaan. Seperti yang dinyatakan tadi, penyampaian atau penyebaran berita palsu adalah soal etika, moral dan akhlak. Oleh itu pendidikan adalah cara yang terbaik.

Namun, realiti semasa membuka ruang yang terlalu luas, bahkan tanpa sempadan—kepada semua orang untuk menjadi penyampai dan penyebar berita. Dalam hal ini, kebiasaanya terdapat segelintir masyarakat yang menjadi duri dalam daging dengan menyalahgunakan ruang yang ada untuk menyebarkan berita palsu. Jumlah peratusannya mungkin kecil, tetapi akibat kejahilan dan keterujaan kelompok lain yang lebih besar, berita palsu itu tersebar dengan meluas dan cepat.

Dalam banyak situasi, proses untuk penjernihan dan penjelasan amat sukar. Kadang-kala penjelasan tentang berita palsu lebih lambat disebarkan berbanding berita palsu itu sendiri. Penyebarannya pun mungkin tidak meluas. Akibatnya ramai yang terus terpedaya dengan berita palsu. Sebab itu perlu ada kawalan perundangan.

Bahkan terdapat juga pihak tertentu yang menjadi ‘kilang’ kepada menghasilan berita palsu melalui pengolahan poster, video atau rencana yang kelihatan seperti benar sehingga ia mudah tersebar dalam masyarakat. Pihak ini perlu dididik, diberi amaran, dan jika terus berdegil perlu dikenakan tindakan undang-undang.

Masyarakat biasanya cepat teruja dengan berita sensasi, kontroversi dan panas. Ramai juga yang sukar mengaku tersilap bila terkhilaf menyebarkan berita palsu. Proses pendidikan perlu berterusan dan dilipatgandakan, tetapi mekanisme perundangan tetap penting.

Sekarang pun sudah ada usaha di pihak kerajaan untuk melawan berita ‘auta’ dengan fakta. Laman sesawang sebenarnya.my yang disediakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah pun berperanan untuk menghadapi berita palsu dengan fakta.  Tapi, realitinya ia belum mampu memadamkan kepalsuan yang tersebar, apa lagi untuk membentuk budaya penggunaan media sosial yang benar-benar bertanggungjawab dan jujur. Sebab itu saluran undang-undang samada melalui tindakan sivil atau penguatkuasaan kerajaan adalah diperlukan. Undang-undang bukan sahaja untuk menghukum, ia juga berperanan untuk mencegah dan menjadi sebahagian daripada proses pendidikan.

  • Apakah akta sedia ada seperti Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia dsb belum cukup taring atau masih longgar sehingga perlunya diwujudkan ordinan baharu ini.

Berdasarkan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan kita dapat faham bahawa ordinan ini diharapkan dapat memberikan ruang kepada kerajaan untuk bertindak dengan lebih tegas dan berkesan.

Berbalik kepada fungsi Proklamasi Darurat yang bertujuan untuk menghadapai wabak Covid-19, maka ordinan ini diharapkan menjadi benteng bagi menghadapi cubaan mana-mana pihak yang ingin menggagalkan gagasan kerajaan untuk memberikan tumpuan kepada masalah ini.

Memang kita sudah ada akta-akta lain, namun masing-masing dengan skop tersendiri. Akta Hasutan misalnya lebih menjurus kepada isu-isu yang sensitif yang melibatkan hak dan keitimewaan berteraskan kaum, kedudukan Yang di-Pertuan Agong dan seumpamanya. Jadi isu berkaitan Covid-19 tidak termasuk dalam skop Akta Hasutan.

Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 khususnya Seksyen 233 memang boleh digunakan untuk tindakan ke atas penyebaran berita palsu melalui internet. Walau bagaimana pun, ia hanya terhad kepada kesalahan yang dilakukan sendiri oleh pengguna internet. Dalam ordinan yang baharu ini, skop kesalahan itu meliputi penyebaran secara langsung, media cetak, media eletronik dan internat. Bahkan ia juga meliputi kesalahan kepada sesiapa yang menjadi penaja atau penyedia sumber kewangan bagi penyebaran berita palsu berkenaan.

  • Apa pandangan anda mengenai pemansuhan akta antiberita tidak benar sebelum ini. Apakah ia satu tindakan/keputusan terburu-buru?

Akta Antiberita Tidak Benar 2018 sepatutnya ditambahbaik dan dikekalkan, bukannya dimansuhkan. Tidak dinafikan akta berkenaan mengandungi beberapa aspek yang perlu kaji semula terutamanya dari sudut definisi dan skop ‘berita tidak benar’.

Dalam akta berkenaan, skopnya adalah luas kerana ia hanya memberikan fokus kepada kesahihan berita itu, tanpa melihat kepada kesan dan tujuan berita itu disebarkan. Sepatutnya aspek kesan yang tujuan ini disertakan dalam takrif ‘berita tidak benar’.

Perlu difahami, penyampaian berita tidak benar hanya wajar dikenakan tindakan dan hukuman jika ia memberikan kesan yang tidak baik kepada masyarakat umum, negara atau individu lain. Jika berita palsu itu disampaikan atau disebarkan, tetapi ia tidak memberikan apa-apa kesan, maka sepatutnya ia hanya tertakluk kepada amaran dan teguran sahaja.

Begitu juga aspek tujuan. Elemen niat atau tujuan yang disebut sebagai ‘mens rea’, ini adalah penting dalam undang-undang jenayah. Seseorang yang menyebarkan berita palsu kerana kesilapan atau kecuaian sepatutnya tertakuk kepada hukuman berbeza berbanding mereka yang melakukan dengan sengaja.

Inilah antara aspek yang perlu ditambahbaik dalam akta berkenaan. Ia sepatutnya kekal dan dimanfaatkan, tetapi sebaliknya ia dimansuhkan.

  • Di media sosial banyak yang seperti kurang setuju dengan pengwujudan ordinan baharu ini. Apa pandangan anda? Apakah ia memang perlu diwujudkan?

Sentimen yang wujud ialah ordinan ini bercanggah dengan hak asasi manusia iaitu kebebasan bersuara. Sebenarnya rakyat tetap bebas bersuara menyampaikan perkara yang benar.

Cuma mungkin yang wajar dikhuatiri ialah jika ordinan ini disalahgunakan untuk tujuan politik. Misalnya, ia digunakan untuk menghukum tokoh pembangkang agar hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya.  Atau, dikhuatiri juga ia disalahgunakan dengan cara melalukan pendakwaan terpilih, iaitu membiarkan satu pihak menyebarkan berita palsu dan bertindak tegas ke atas pihak yang lain.

Sebenarkan kekhuatiran begini wujud dalam mana-mana pelaksanaan undang-undang yang berbentuk pengawalan kebebasan. Dalam hal ini integriti badan penguatkuasa dan jentera kerajaan amat penting. Rakyat perlu sentiasa menjadi mata dan telinga untuk memantau perjalanan penguatkuasaan undang-undang dalam negara. Jika ada fakta yang jelas, tidak menjadi kesalahan untuk rakyat atau sesiapa sahaja mengkritik dan memberikan pandangan balas.

Perlu dingatkan juga undang-undang ibarat pisau ayng boleh digunakan sama ada untuk kebaikan atau keburukan. Jika mana-mana kerajaan gagal menggunakan undang-undang untuk kebaikan, rakyat boleh menghukumnya melalui kuasa undi dalam pilihan raya.

  • Ordinan berita palsu yang diperkenalkan tanpa melalui sidang parlimen boleh memberi kesan terhadap prosedur jenayah sedia ada dan melanggar hak individu mendapatkan perbicaraan yang adil, kata Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham). Apa komen?

Ordinan ini dibuat dalam ruang lingkup tujuan Proklamasi Darurat. Ia tidak digunakan untuk tujuan lain.

Kalau kita lihat dalam takrifan “berita tidak benar” yang ada dalam ordinan itu, kita dapat faham bahawa skopnya memang terhad.

Seksyen 2 ordinan berkenaan menyebut, “berita tidak benar” termasuklah apa-apa berita, maklumat, data dan laporan, yang keseluruhannya atau sebahagiannya adalah palsu yang berhubungan dengan COVID-19 atau proklamasi darurat, sama ada dalam bentuk rencana, visual atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea.

Dua skop iaitu Covid-19 dan proklamasi darurat disebut secara khusus di sini.

Oleh yang demikian, saya tidak fikir bahawa ordinan ini perlu menjadi satu polemik besar. Ia bertujuan untuk memastikan fokus kerajaan untuk menamatkan atau mengawal penularan wabak, serta memulihkan ekonomi negara dapat berjalan lancar tanpa gangguan mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

Tambahan pula yang dianggap salah hanyalah jika berita yang disampaikan itu tidak benar. Rakyat termasuk aktivis masyarakat, pengamal media dan pembangkang tetap bebas bersuara melalui pelbagai saluran media – asalkan apa yang disampaikan itu tepat dan betul.