Oleh:

Muhammad Fathi bin Yusof

Pensyarah Kanan dan Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan) Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur

Transkrip wawancara yang disiarkan dalam Metro Ahad 20 September 2015 (halaman 42-43)

1. Perhimpunan jalanan menjadi pilihan rakyat untuk menyuarakan sokongan dan bantahan. Kenapa?

Saya tak pasti pandangan yang mengatakan bahawa perhimpunan jalanan menjadi pilihan rakyat ini satu pandangan yang benar atau tidak. Memanglah kita lihat beberapa minggu ini banyak terdapat perhimpunan besar. Ia nampak ketara kerana masing-masing dengan identiti sendiri, dengan warna yang tersendiri. Setiap perhimpunan ini pula mendapat perhatian meluas dari media baik media massa, atau media sosial. Perhatian dan ulasan ada yang berbentuk positif, dan ada juga yang negatif.

Tapi, saya tidak fikir ia menjadi pilihan utama sebab zaman ini, kita boleh suarakan bantahan dan sokongan dengan macam-macam cara. Saluran internet memang sudah banyak digunakan, dan ia mudah, cepat dan meluas.

Mungkin kaedah perhimpunan jalanan ini menjadi pilihan beberapa kelompok kerana ia lebih mendapat perhatian ramai. Jadi suara mereka lebih didengari. Konsepnya berasaskan logik mudah, iaitu semakin besar perhimpunan itu, semakin kuat sokongan kepada perjuangan mereka. Sebab itu masing-masing cuba menghimpun seramai

mungkin peserta. Bila satu pihak berhimpun, pihak yang bersaing akan cuba untuk membuktikan bahawa mereka lebih kuat dengan membuat perhimpunan yang lebih besar. Begitulah seterusnya.

Saya fikir, dorongan utama ialah politik. Untuk dapat sokongan politik.

Jangan lupa dari sudut lain, perhimpunan yang besar begitu bukan sahaja untuk menyatakan suara, bahkan juga untuk menguatkan semangat dan solidarity penyokong sesuatu kelompok atau parti. Mereka datang dengan semangat, dan pulang dengan semangat yang bertambah berganda-ganda. Itu hak mereka. Mereka boleh berhimpun, asalkan jangan buat kacau.

2. Minta Doktor terangkan hak berhimpun mengikut Perlembagaan Persekutuan?

Perlembagaan Persekutuan Malaysia menjamin kebebasan berhimpun melalui Perkara 10. Ia termasuk dalam tiga kebebasan politik iaitu berhimpun, bersuara dan berpersatuan. Kebebasan ini penting. Manusia secara semula jadi ada kebebasan untuk bertemu orang lain. Bertemu dalam kumpulan yang ramai dipanggil berhimpun. Jadi ia satu yang semula jadi.

Bahkan perkara yang biasa dibuat seperti pembelajaran di sekolah, kuliah-kuliah ilmu, kenduri kahwin, mesyuarat di dewan orang ramai, dan majlis rumah terbuka sebenarnya bentuk-bentuk perhimpunan. Bagi orang Islam solat lima waktu di masjid menjadi perhimpunan rutin. Seminggu sekali berhimpun hari Jumaat, dan himpunan besar di Arafah dan di Tanah Suci sekali setahun. Maka, mustahil hak berhimpun ini dinafikan terus. Mustahil manusia dihalang untuk berhimpun.

Cuma dari konteks undang-undang isunya lebih menjurus kepada ‘perhimpunan tempat awam’ – dan sedikit sebayak berkaitan dengan keselamatan dan politik. Dalam hal ini kerajaan tetap tidak boleh nafikan hak rakyat untuk berhimpun. Bila bercakap dalam konteks demokrasi, hak berhimpun merupakan satu hak yang penting untuk mewujudkan persaingan politik yang adil dan sihat.

3. Apa keperluan wujudnya Akta Perhimpunan Aman 2011 jika Perlembagaan menjamin hak berhimpun?

Dalam mana-mana tamadun, tiada kebebasan mutlak. Pemerintah boleh mengawal kebebasan untuk kepentingan awam.

Perlu juga disebut, biasanya hak berhimpun dikaitkan dengan keamanan. Perhimpunan yang dibenarkan ialah perhimpunan aman. Kita biasa jumpa hak untuk berhimpun ini disebut sebagai hak untuk mengadakan perhimpunan aman atau ‘peaceful assembly’. Frasa ini digunakan dalam Perkara 20, Pengisytiharan Sejagat Hak-hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 1948. Jadi nak pastikan sesuatu perhimpunan itu aman perlu ada garis panduan. Perlu ada undang-undang.

Jadi dalam Perlembagaan, kebebasan di bawah Perkara 10 ini tertakluk kepada sekatan- sekatan undang-undang yang boleh diluluskan oleh Parlimen jika didapati perlu dan sesuai untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam. Sekatan ini dibenarkan melalui Perkara 10(2)(b). Saya berpendapat, pengecualian ini perlu. Cuma mahkamah sewajarnya diberikan ruang yang lebih luas untuk menilai sama ada sekatan yang dibuat oleh Parlimen itu munasabah atau tidak.

Kalau dulu, kawalan utama ialah Akta Polis 1967. Sekatannya agak ketat. Perlu ada permit polis yang agak susah untuk dapat, dan kadang-kadang ada syarat yang pelik-pelik. Permit itu pula boleh batal saat-saat akhir tanpa sebab munasabah dan macam-macam lagi. Akta Polis ini juga agak keras dalam memberikan kuasa untuk menyuraikan sesuatu perhimpunan. Kadang-kadang peserta tidak diberi masa yang munasabah untuk bersurai, lantas terus ditangkap atau disembur dengan asap pemedih mata. Akta ini ada unsur undang-undang drakonian, atau undang-undang zalim. Suhakam atau Suruhanjaya Hak Asasi Manusia pun ada buat beberapa bantahan.

Lalu sebagai gantinya, muncul Akta Perhimpunan Aman 2012 atau Akta 736. Apa yang menarik tidak seperti Akta Polis, akta ini menegaskan tentang hak berhimpun secara

aman. Jadi akta ini ada dua fungsi utama iaitu memberikan hak berhimpun secara aman dan mengawal perhimpunan agar tidak menjelaskan keselamatan, ketenteraman awam dan hak orang lain. Menarik juga akta ini ada menyebut tentang demokrasi.

Secara keseluruhannya, akta ini banyak melonggarkan cengkaman Akta Polis. Satu langkah yang sangat baik. Tapi, kawalan tetap perlu. Saya kira kawalan yang disebut dalam akta itu munasabah.

Cuma, perhatian sekarang bukan pada peruntukan undang-undang yang ada dalam akta itu. Masalah utama kini ialah pada penguatkuasaan dan pendakwaan. Penguatkuasaan sepatutnya adil, tanpa berat sebelah atau pilih bulu. Jika satu kumpulan diberi amaran keras, maka kumpulan yang lain, walau pun mungkin pro kerajaan perlu diberikan amaran yang serupa. Penguatkuasa undang-undang seperti polis perlu profesional dan jangan kelihatan memihak. Keduanya ialah soal pendakwaan. Kuasa pendakwaan ada pada institusi Peguam Negara. Kuasa ini perlu digunakan secara saksama, berani, telus dan tegas.

4. Sekiranya satu pihak berhimpun mempertahankan hak kemudian pihak yang lain bertindak serupa. Adakah ia suatu amalan yang sihat dalam demokrasi?

Jika terlalu banyak perhimpunan dan masing-masing mahu tunjuk kuat, maka akhirnya rakyat menjadi mangsa. Kita lihat apa yang berlaku di Mesir dan Thailand. Demonstrasi jalanan mungkin boleh mencapai kehendak pihak yang berhimpun, tetapi ia mencetuskan masalah baru. Jika pihak yang dahulunya naik kerana himpunan jalanan dapat menjadi pemerintah, dia akan berdepan dengan risiko ditentang dengan cara yang sama. Jadi masalah semakin kusut.

Jadi, perhimpunan jalanan tidak sepatutnya digunakan untuk meraih sokongan politik untuk menjatuhkan sesebuah kerajaan. Dalam konteks politik, ia hanya sesuai sebagai satu bentuk advokasi politik iaitu untuk menyatakan bantahan tentang sesuatu dasar atau untuk menyuarakan keperitan hidup rakyat. Jika pengajur himpunan letakkan matlamat himpunan untuk menjatuhkan kerajaan, maka bukan satu langkah yang sihat.

Cuma perlu diingatkan juga bahawa rakyat akan terdorong untuk berhimpun untuk membantah jika mereka lihat institusi demokrasi semakin terhalang. Misalnya, jika pilihan raya tidak bersih dan adil maka mereka merasakan bahawa penyertaan melalui kaedah biasa adalah sia-sia. Begitu juga bila media massa seperti televisyen, radio dan akhbar arus perdana terlalu berat sebelah dan terkongkong, mereka akan merasakan bahawa jalan raya adalah tempat terbaik untuk meluahkan rasa hati. Selain itu ruang penglibatan rakyat dalam proses membuat keputusan dalam negara juga perlu dilebarkan. Dasar-dasar negara tidak boleh dimonopoli oleh orang politik, tetapi perlu dirangka melalui penglibatan awam. Semua faktor-faktor ini perlu diambil kira.

Jadi jika wujud kecenderungan kuat rakyat untuk berhimpun, dan setiap perhimpunan berbentuk bantahan menjadi popular, maka langkah terbaik kerajaan bukanlah mengongkong dan menekan. Kongkongan dan penindasan sebenarnya lebih menguatkan alasan untuk mereka membantah. Langkah yang patut dibuat ialah segara membaiki kelemahan dan mengajak rakyat untuk memahami realiti yang ada.

5. Bagaimanakah perhimpunan atau demonstrasi jalanan boleh menjadi elemen penting dalam mengukur pelaksanaan demokrasi?

Kayu ukur demokrasi banyak. Hak untuk berhimpun adalah salah satu daripadanya. Kita tidak boleh hanya melihat perhimpunan atau demonstrasi jalanan, tapi kita perlu lihat hak berhimpun itu secara keseluruhan.

Biasanya ukuran tahap amalan demokrasi dalam konteks kebebasan berhimpun dibuat berasaskan empat elemen iaitu peruntukan Perlembagaan yang memberikan hak berhimpun, undang-undang yang mengawal himpunan, kawalan ke atas hak himpunan oleh badan penguat kuasa undang-undang termasuk kuasa pendakwaan dan hak-hak lain yang berkaitan dengan kebebasan berhimpun seperti kebebasan bersuara, bergerak dan berpersatuan.

Jadi jangan kita ukur demokrasi dengan banyak atau besarnya perhimpunan. Ini tidak betul. Kadang-kadang di negara demokratik, perhimpunan langsung tidak ada, atau terlalu kecil. Buat apa rakyat berhimpun di jalanan kalau kerajaan dah buat yang terbaik. Ada juga negara yang tidak demokratik, tapi rakyat berhimpun tiap-tiap hari – macam perhimpunan di Dataran Tahrir sebelum Husni Mubarak jatuh di Mesir.

6. Apa pandangan Islam berkaitan berhimpun membantah kerajaan?

Bila bercakap dalam soal hak asasi ini pandangan Islam agak menarik. Islam menekankan soal tanggungjawab atau amanah, bukannya hak atau kebebasan. Jika semua orang berfikir tentang amanah dan menunaikan amanah masing-masing, soal hak akan selesai dengan sendiri. Asas kepada amanah dalam Islam ialah kemuliaan manusia yang diberikan secara fitrah oleh Allah kepada manusia.

Jadi sebelum kita bercakap soal ‘berhimpun membantah kerajaan’, kita perlu ingat bahawa Islam meletakkan tahap akauntabiliti kerajaan yang sangat tinggi. Kerajaan mesti telus dan mesti sentiasa bersedia untuk ditegur. Ruang komunikasi dalaman dan luaran perlu luas. Sebenarnya jika ia benar-benar berlaku, rakyat tidak perlu langsung untuk berhimpun.

Kalau sesebuah kerajaan melakukan kesalahan, dan tiada ruang yang munasabah untuk menegur, atau ruang yang ada terlalu sempit maka tidak salah untuk menyatakan bantahan melalui perhimpunan aman. Tujuannya bukan untuk menimbulkan kekacauan tetapi untuk menyatakan rasa hati. Ia salah satu bentuk amar makruf dan nahi mungkar sebagai mana yang dianjurkan oleh Islam. Mereka sekadar bersuara, dan tidak boleh dianggap bughah atau penderhaka.

7. Adakah Islam membenarkan usaha menjatuhkan kerajaan melalui kaedah itu?

Islam mengutamakan keamanan. Jika ingin menukar pemerintah pun perlu dibuat secara aman. Hari ini kita ada pilihan raya. Ia satu kaedah yang sesuai untuk memilih atau

menukar kerajaan. Walau pun banyak kelemahan, tapi saluran demokrasi ini membuka ruang yang luas bukan sahaja untuk menawarkan kerajaan baru bahkan juga untuk mendidik rakyat menjadi warga negara yang peka dengan perkembangan semasa.

Kaedah kekerasan seperti perang mendatangkan banyak kemusnahan. Dalam prinsip Islam terdapat kaedah memilih darurat yang ringan berbanding darurat yang besar. Jika seseorang tidak berpuashati dengan kerajaan yang zalim sekali pun, dia perlu mengukur dan menilai terlebih dahulu sebelum menggunakan sebarang bentuk pendekatan yang keras. Dia perlu tanya adakah tindakan mereka akan mendatangkan mudarat atau kerosakan yang lebih besar? Jika ya, dia perlu elakkan.

Biasanya tunjuk perasaan atau demonstrasi yang bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan secara revolusi mendatangkan banyak kemusnahan, kematian dan kerosakan. Perkara ini perlu menjadi pertimbangan. Tambahan pula dalam sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum seperti Malaysia. Soal keamanan dan kemakmuran menjadi agenda penting.

Perhimpunan jalanan biasanya meningkatkan tahap emosi. Emosi marah, geram, sedih atau taksub. Semua ini boleh membawa kepada permusuhan.

Tapi pada hemat saya, perhimpunan jalanan yang berlaku hari ini bukan bertujuan untuk menggerakkan revolusi. Ia sekadar satu luahan perasaan dan bantahan. Ia termasuk dalam kategori amar makruf dan nahi mungkar. Cuma mereka yang terlibat perlu sentiasa menjaga adab dan tidak terbawa-bawa dengan ledakan emosi.

8. Kita melihat terdapat perbezaan cara negara-negara di seluruh dunia menangani perhimpunan seperti di Barat lebih terbuka sekali gus membuktikan mereka lebih demokrasi dari Malaysia. Komen doktor?

Kebebasan perlu bergerak seiring dengan pembangunan ilmu dan peradaban. Bagaimana mungkin kita memberikan kebebasan yang luas kepada kelompok yang jahil dan rendah nilai budaya. Rakyat yang jahil mudah dimanipulasi, dan mudah diperdaya. Jika mereka

dapat kebebasan mereka mungkin menyalahgunakan kebebasan mengikut telunjuk orang yang memperalatkan mereka.

Oleh itu, kerajaan dan golongan cendekiawan dalam masyarakat mempunyai peranan besar untuk meninggikan tahap kesedaran dan membina budaya yang positif. Kebebasan diberikan secara bertahap sesuai dengan peningkatan dalam pendidikan dan tamadun.

Dalam hal ini, jika kita ingin mengambil pelajaran dari model dari negara lain, kita perlu melihat secara menyeluruh. Kita tidak boleh hanya ingin mengimport kebebasan dan hak asasi mereka, tanpa menyedari bahawa mereka telah membangunkan budaya ilmu, disiplin dan peradaban sekian lama. Orang Islam punya sejarah peradaban yang hebat, tapi bila orang Islam tidak mengamalkan agama sendiri, maka berlakulah kemunduran. Kemunduran yang saya maksudkan bukan kemunduran ekonomi, tapi kemunduran ilmu, peradaban dan budaya.

Jadi, kalau orang tanya, mana yang lebih penting? Kebebasan atau pendidikan atau ilmu. Jawabnya pendidikan. Jadi usah sibuk ingin mencontohi kebebasan Barat, mulakan dulu dengan perkara yang lebih penting iaitu pendidikan, kesedaran dan peradaban. Manusia yang tinggi ilmu dan adab pasti bebas. Jika ditindas sekalipun mereka sentiasa ada jalan untuk bangkit. Jika mereka tidak diberi ruang untuk bangkit, mereka akan membina benih-benih kebangkitan.

9. Beberapa negara seperti di Timur Tengah jatuh bangun kerajaan berpunca dari demonstrasi jalanan seperti semasa ‘Arab Spring’. Apa yang sepatutnya rakyat Malaysia ambil pengajaran daripada peristiwa itu?

Di zaman Hosni Mubarak, rakyat berhimpun besar-besaran di Dataran Tahrir. Selama beberapa hari. Ekonomi hampir lumpuh, aktiviti harian terjejas teruk. Rakyat berhimpun waktu itu kerana mereka percaya itulah satu-satunya jalan yang ada untuk menjatuhkan Mubarak, pemimpin yang korup dan menindas. Akhirnya Mubarak tumbang.

Tapi bila Muhammad Mursi menjadi Presiden baru, cara sama digunakan. Akhirnya tentera melucutkan kuasa Mursi. Di bawah pemerintahan tentera pimpinan Jeneral Fatah Al-Sisi, rakyat cuba menggunakan perhimpunan untuk menentang, tetapi Al-Sisi menggunakan kekerasan untuk menghentikannya. Apa yang berlaku di Mesir menunjukkan bahawa bantahan melalui perhimpunan mungkin boleh menyelesaikan satu masalah tetapi ia mendatangkan masalah yang lain selepas itu.

Begitu juga pengalaman di Thailand. Kumpulan baju kuning dan baju merah bersilih ganti mengadakan demostrasi dan bantahan jalanan. Bila kerajaan dipimpin pro baju merah, baju kuning ke jalan raya membantah. Begitulah sebaliknya.

Antara pengajarannya, perhimpunan jalanan himpunan jalanan tidak sepatutnya digunakan untuk meruntuhkan kerajaan, sebaliknya sebagai satu kaedah untuk menyatakan suara rakyat. Oleh itu sebaik-baiknya perhimpunan ini mesti mempunyai tema khusus dan fokus dalam tuntutannya.

Keduanya, kebebasan berkait rapat dengan pembangunan ilmu dan peradaban. Jika kebebasan terlalu luas diberikan kepada rakyat yang rata-ratanya jahil dan tiada disiplin, mereka mudah dipergunakan untuk agenda politik golongan yang jahat.

Ketiganya, keamanan berkait rapat dengan tahap demokrasi. Jika sesebuah kerajaan membuka ruang demokrasi melalui pelbagai saluran, biasanya saluran himpunan jalanan kurang menjadi pilihan. Oleh itu, interaksi rakyat dan pemerintah perlu sentaisa berlaku dalam semua peringkat. Setiap rassa tidak puas hati perlu disalurkan dengan lancar, dan perlu dan tindak balas yang memuaskan.

Keempat, perhimpunan jalanan yang tidak terkawal punya kesan besar kepada kestabilan sesebuah negara. Dalam negara yang berbilang kaum seperti Malaysia, kawalan yang munasabah amat penting.

10. Pandangan doktor sekiranya rakyat Malaysia memilih untuk mengasaskan kerajaan melalui perhimpunan atau demonstrasi.

Sistem pilihan raya negara kita masih beroperasi dengan baik, walau pun ada kelemahan- kelemahan tertentu. Jadi, mereka yang ingin memberikan sumbangan politik atau ingin membuat perubahan politik wajar menyertai sistem pilihan raya. Kemenangan parti yang berbeza di peringkat negeri menjadi bukti bahawa ruang pilihan raya merupakan kaedah yang berkesan.

Dalam masa yang sama kerajaan perlu meningkatkan tahap keadilan dan kebebasan dalam pilihan raya. Pada tahun 2011, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya. Saya fikir, jawatankuasa ini telah memberikan banyak cadangan yang bernas. Seeloknya kerajaan melaksanakannya secara menyeluruh. Buat masa ini terdapat beberapa cadangan seperti berkaitan Akta Parti Politik, kawalan dalam perbelanjaan parti, pengukuhan SPR sebagai badan bebas dapat dilaksanakan.

Begitu juga dalam urusan persempadanan. Perbezaan ketara antara peratusan jumlah undi popular dan peratusan komposisi kerusi dalam Dewan Rakyat perlu diberi perhatian. Jika tidak ditangani segera rakyat mungkin mempertikaikan kesahihan pilihan raya itu sendiri.

Saya percaya dengan keprihatinan dan kewibawaan kepimpinan yang ada sekarang, isu- isu ini dapat ditangani dengan baik. Semua ini adalah langkah-langkah perlu untuk melemahkan sebarang bentuk usaha untuk menjatuhkan kerajaan melalui pintu belakang, iaitu protes jalanan atau demonstrasi.

Kita tentunya tidak mahu negara kita terdedah dengan usaha menjatuhkan kerajaan secara kekerasan. Kita mahukan keamanan dan kedamaian. Apa yang perlu dipupuk ialah amanah, kasih sayang, disiplin dan saling memahami. InsyaAllah saya percaya jika elemen-elemen ini diutamakan Malaysia akan terus memacu pertumbukan menjadi negara yang dapat memayungi rakyatnya untuk mendapat kebahagiaan yang sebenar.

Muhammad Fathi Yusof. 2015. Perlembagaan dan Demokrasi: Dalam Mana-mana Tamadun Tiada Kebebasan Mutlak (Wawancara). Metro Ahad. 20 September 2015. Kuala Lumpur.