Muhammad Fathi Yusof & Mohd Al Ikhsan Ghazali.  “Peranan Badan Perundangan Dalam Melaksanakan Tanggungjawab Hisbah Di Terengganu.” In (Editor Sayuti Hasan) Perkembangan Dewan Undangan Negeri Terengganu: Pemantapan Dan Cabaran. Pejabat Dewan Undangan Negeri Terengganu. Pp. 104-124

PENGENALAN

Hisbah adalah satu satu konsep penting dalam sistem pentadbiran Islam. Sesebuah rakyat dan kerajaan perlu bertanggungjawab atas setiap tindakan yang dilakukan dan tertakluk kepada pengawasan beberapa bentuk pemantauan, kawal selia dan semakan. Konsep hisbah ini sebenarnya luas kerana ia berteraskan kepada konsep al-amru bil ma’ruf wa al-nahyu an al-munkar iaitu menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Pada zaman awal Islam, institusi penguatkuasaan dan pemantauan amalan dan undang-undang syariah seperti polis dan pengawas pasar-pasar juga dianggap pelaksana hisbah. Begitu juga amalan pemantauan ke atas pegawai-pegawai kerajaan juga dianggap sebagai amalan hisbah. Dalam hal ini, hisbah bukan sahaja berfungsi memantau kerajaan, bahkan juga rakyat secara keseluruhan.

Dalam Islam, prinsip hisbah berdiri atas konsep pemantauan dan pemerhatian. Pemerhatian yang paling tinggi tentunya adalah pemantauan dari Allah SWT sendiri. Maksudnya, konsep hisbah ini menghubungkan konsep akauntabiliti dalam pentadbiran negara dengan soal aqidah dan tauhid. Pemimpin dan rakyat yang baik adalah mereka yang sentiasa merasai bahawa diri mereka diperhatikan oleh Allah SWT. Walau bagaimana pun, memandangkan manusia tidak terpisah dari kesilapan, maka perlu wujud

mekanisme khusus seperti badan penguatkuasa bagi melengkapkan konsep hisbah.

Hisbah juga amat selari dengan konsep politik Islam yang menganggap pemimpin sebagai insan yang melaksanakan amanah dari Allah. Jawatan dan kedudukan adalah satu bebanan yang akan dipersoalkan di akhirat nanti. Sebab itulah dua khalifah yang awal iaitu Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar Al-Khattab menyebut tentang kesediaan mereka untuk menerima teguran dan pemantauan dari orang ramai. Dalam tradisi politik Islam, para ulama berperanan sebagai pengimbang kepada pengaruh dan kuasa khalifah. Sebahagian ulama’ berperanan sebagai penasihat yang hampir dengan pemerintah, manakala sebahagian lain adalah menjadi pengkritik dari luar kerajaan. Hisbah berfungsi untuk memastikan setiap pihak sentiasa berhati-hati dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing. Ia juga bertujuan untuk mewujudkan keseragaman dalam tindakan penguatkuasaan.

KONSEP HISBAH

Hisbah adalah satu mekanisme pengawasan dalam sesebuah pemerintahan Islam. Secara ringkasnya, dalam Islam terdapat empat peringkat pengawasan untuk menjamin kesejahteraan dan keadilan (Auni,2000:6-10):

  1. Pengawasan diri sendiri (al-raqabat al-zatiah): Pengawasan inibergantung kepada kemampuan seseorang mengawal dan mendisiplinklan diri sendiri. Ini berhgantung kepada tahap kefahaman, keimanan dan ketaqwaan seseorang. Seseorang pengurus atau pemimpin yang mempunyai ilmu dan ketakwaan mampu membendung dirinya dari terjebak dalam melakukan penyelewengan dan kezaliman. Begitu juga rakyat biasa yang memiliki asas dan pegangan agama yang teguh pada umumnya mampu mengawal dirinya dari melakukan maksiat dan jenayah. Pengawasan secara ini juga dikenali sebagai penghntungan

terhadap diri sendiri (muhasabah al-nafs) iaitu amalan sentiasa memperhintung diri sendiri tentang segala yang dilakukan sepanjang hari.

  • Pengawasan Ilahi: Pengawasan ini ialah pengawasan dari luar dirimanusia. Pengawasan ini sedia ada selari dengan sifat asasi semula jadi manusia. Ia berlaku selari dengan kebesaran dan keagungan Allah S.W.T. Yang Maha Berkuasa, Maha Mengetahui, Maha Melihat dan Maha Mendengar. Pengawasan Ilahi ialah bentuk pengawasan yang mutlak dan mampu menembusi apa jua keadaan dan menagani apa jua halangan. Ia adalah rahmat Ilahi untuk mengingatkan manusia agar berhati-hati dalam menjalankan usaha dan tanggungjawab. Oleh itu kadang-kadang pengawasan ini disebut pengawasan oleh Yang Maha Pengasih (al-raqabah al-rahmaniah).
  • Pengawasan oleh masyarakat (al-raqabat al-mujtama’) atau pengawasan oleh rakyat (al-raqabat al-sya’biah): Pengawasan inimemberikan hak kepada rakyat untuk mengawasai kegiatan para pemimpin dan ia merupakan hak keistimewaan bagi rakyat yang dijamin oleh Islam (Mustafa, 1977:262-3). Pengawasan rakyat ini selari dengan ajaran Islam yang menjamin kebebasan asasi manusia seperti kebebasan bersuara, kebebasan berfikir, kebebasan menyertai persatuan dan kebebasan berhimpun. Pengawasan rakyat ini dapat mengelakkan pemerintah bertindak sesuka hati sehingga boleh membawa kepada pemerintahan kuku besi. Rakyat yang bebas menegur pemerintah dapat menjadi pengimbang kepada kuasa yang ada di tangan pemerintah.
  • Pengawasan rasmi oleh pemerintah (al-raqabah al-sultah al-rasmiah): Pengawasan ini adalah satu mekanisme yang dilaksanakanoleh kerajaan bagi memantau perjalanan hidup rakyat keseluruhannya. Ia juga bertujuan untuk memantau pegawai-pegawai kerajaan, badan-badan perniagaan serta pemimpin kerajaan sendiri. Pengawasan ini mesti diwujudkan oleh pemerintah bagi melaksanakan tanggungjawab menyeru

kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran (al-amr bi al-ma’ruf wa al-nahy an al-munkar.). Ini juga selaras dengan contoh yang ditunjukkanoleh Rasulullah S.A.W. dan Khulafa’ al-rasyidin dalam mentadbir negara. Bagi menjalankan tanggungjawab ini, maka pemerintah perlu mewujudkan badan pengawasan khas yang juga dikenali sebagai institusi hisbah.

Institusi hisbah dalam Islam berdiri atas konsep amar makruf (menyeru kepada kebaikan) dan nahi munkar (mencegah mungkar). Tanggungjawab amar makruf dan nahi munkar ini amat dititik beratkan oleh ajaran Islam. Ia menjadi tanggungjawab semua yang beriman. Tanggungjawab ini boleh dilaksanakan samada menggunakan kuasa, secara lisan, tulisan atau sekurang-kurangnya dengan perasaan benci kepada kemungkaran. Pemerintah menjadi pihak yang utama bertanggungjawab melaksanakan amar makruf dan nahi munkar ini kerana kuasa undang-undang dan pentadbiran terletak di tangan mereka. Tanggungjawab ini banyak disebut dalam al-Quran dan Sunnah di antaranya Allah berfirmaan:

“Mereka yang apabila diberi kuasa pemerintahan (oleh Allah) di atas muka bumi ini, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyeru kepada perkara makruf dan mencegah perbuatan mungkar…”

Tugas hisbah ini pada dasarnya terletak ke atas bahu semua orang-orang Islam. Ini kerana setiap orang Islam mempunyai tanggungjawab untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran. Namun demikian, Peranan yang paling besar dan utama adalah terletak di bahu pemerintah. Ini kerana pemerintah mempunyai kuasa dan kedaulatan tertentu yang tidak dimiliki oleh orang biasa.

Dalam sejarah kerajaan Islam tanggungjawab hisbah ini dilaksanakan sejak pemerintahan Nabi Muhammad S.A.W. melalui mekanisme tertentu sesuai dengan tuntutan semasa dan setempat. Walau pun pada zaman Rasulullah SAW nama ‘Hisbah’ tidak diletakkan secara rasmi, ia tetap menjadi elemen

penting kepada pemerintahan Baginda di Madinah. Umpamanya, bagi mereka yang bertugas menyelia dan mengawasi perjalanan perniagaan di pasar dikenali sebagai ‘Penyelia Pasar’ (Sahib al-suq) atau ‘Petugas di Pasar’ (al-Amil fi al-Suq).

Institusi hisbah ini diteruskan oleh kerajaan Islam kemudiannya dengan penglibatan yang lebih luas dan menyeluruh. Ada di antara pemerintah memanggilnya dengan nama hisbah, tetapi terdapat juga nama lain yang digunakan. Biar apa pun nama yang diberikan, institusi hisbah ini wujud seiring dengan pemerintahan atau kerajaan Islam kerana ia adalah salah satu sendi utama pemerintahan Islam yang tertegak di atas konsep amar makruf dan nahi munkar. Secara ringkasnya peranan institusi hisbah boleh terbahagi kepada 3 bahagian iaitu (Auni,2000:106-7):

  1. Perkara-perkara yang berkaitan dengan hak-hak Allah. Perkara ini meliputi semua jenis ibadat seperti sembahyang, puasa, zakat, haji dan lain-lain. Muhtasib bertanggungjawab untuk memastikan suruhan Allah ini dijalankan oleh orang-orang Islam yang berasa di kawasan jagaannya. Tugas ini termasuk dalam bidang menyeru manusia kepada kebaikan (amar makruf). Terdapat juga bidang tugas melarang manusia dari melakukan kemungkaran (nahi munkar) seperti mengambil tindakan ke atas orang yang meninggalkan puasa atau enggan mengeluarkan zakat.
  • Perkara-perkara yang berkaitan dengan hak-hak manusia. Ia terdiri daripada dua iaitu hak umum dan hak khusus. Hak umum seperti jika terdapat gangguan atau sekatan dalam bekalan air, muhtasib perlu mengambil tindakan untuk mengatasinya. Sementara hak khusus pula adalah seperti pencerobohan ke dalam tanah jiran, masalah hutang atau kecekapan dalam perusahaan.
  • Perkara-perkara yang menjadi hak bersama antara Allah dengan manusia. Umpamanya, muhtasib berperanan untuk menegur dan

mengambil tindakan ke atas pegawai-pegawai awam serta pemimpin yang melakukan penyelewengan atau tidak menunaikan amanah kepimpinan. Muhtasib juga perlu bertindak menyuruh para wali menikahkan anak perempuan dengan lelaki yang setaraf dengannya seperti yang diminta oleh anaknya. Muhtasib bertanggungjawab mendesak pemilik haiwan supaya memberikan makanan yang mencukupi kepada haiwan ternakannya.

PERLAKSANAAN HISBAH MASA KINI

Bila disebut tentang institusi hisbah dalam konteks semasa, terdapat kecenderungan untuk menyempitkan institusi berkenaan kepada institusi khusus agama Islam seperti jabatan agama Islam negeri atau persekutuan. Kita tidak nafikan bahawa institusi penguatkuasaan undang-undang Islam seperti bahagian penguatkuasaan jenayah syariah memainkan peranan hisbah seperti dalam kes zina, khalwat, makan di tempat awam pada bulan Ramadan dan seumpamanya, namun kita tidak boleh menyempitkan pelaksanaan hisbah dalam aspek ini semata-mata. Sebenarnya prinsip dan amalan hisbah boleh berlaku dalam pelbagai kaedah dan melalui pelbagai institusi dalam sistem pentadbiran moden, tanpa tertakluk kepada penjenamaan khusus.

Tujuan hisbah bukan sahaja dapat dicapai melalui penubuhan institusi tertentu, bahkan ia boleh terlaksana melalui penyusunan struktur kerajaan serta amalan pentadbiran yang dapat mendorong amalan hisbah. Misalnya struktur kerajaan yang berteraskan doktrin pengasingan kuasa antara badan pentadbiran, badan perundangan dan badan kehakiman sebenarnya menjadi asas yang kukuh dalam amalan hisbah. Kuasa yang terhad bagi setiap institusi, serta peranan untuk saling semak dan imbang menjadikan konsep dan amalan pengasingan kuasa ini sebagai tapak penting dalam mengukuhan amalan hisbah dalam sistem politik negara.

Dalam hal ini, sejarah Islam menunjukkan bahawa konsep hisbah pernah menjadi satu faktor yang mewujudkan elemen ‘semak dan imbang’ dalam pemerintahan Islam klasik. Noah Feldman (2007) misalnya menganggap bahawa institusi ulamak yang sangat berpengaruh dan dominan pada waktu itu memainkan peranan mengimbangi badan eksekutif iaitu khalifah. Dengan lain perkataan, para ulamak yang memainkan tanggungjawab mereka melaksanakan amar makruf dan nahi munkar telah menjalankan tugas badan legislatif dari sudut perspektif sistem politik moden.

Selain itu, proses pengkanunan undang-undang yang melibatkan kesalahan jenayah, kesalahan berkaitan perniagaan dan perihal dagangan, kecuaian, pencerobohan hak peribadi dan seumpamanya adalah langkah penting dalam proses hisbah dalam sistem pentadbiran moden. Sesuatu kesalahan yang dimasukkan dalam perundangan melalui proses pengkanunan menjadi satu panduan kepada rakyat dalam perhubungan antara satu dengan yang lain.

Undang-undang yang dikanunkan tadi dikuatkuasakan oleh badan-badan penguatkuasa yang dilantik dalam sesebuah negara termasuklah institusi polis, penguatkuasa pihak berkuasa tempatan, badan pencegah rasuah, penguatkuasa pengangkutan jalan raya, penguatkuasa maritim dan seumpamanya. Dari perspektif sistem politik Islam, semua badan penguatkuasa ini adalah badan yang melaksanakan peranan amar makruf dan nahi munkar dan memenuhi definisi sebagai badan hisbah. Oleh yang demikian, dari sudut operasinya kita boleh menganggap agensi seperti Polis Di-Raja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), penguatkuasa Majlis-majlis Bandaraya, Perbandaran dan Daerah, dan seumpamanya adalah pelaksana kepada peranan hisbah dalam negara.

Selain daripada institusi penguatkuasaan undang-undang, terdapat banyak lagi badan atau kumpulan manusia yang menjalankan peranan hisbah dan sesebuah negara. Kewujudan institusi yang melaksanakan audit ke atas

pengurusan kewangan dan harta juga seperti Jabatan Audit Negara, memainkan peranan penting dalam hisbah. Dalam konteks pentadbiran kerajaan, jabatan yang menerima pengaduan terhadap prestasi jentera kerajaan seperti Biro Pengaduan Awam (BPS) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) juga memainkan peranan hisbah. Tegasnya, jentera kerajaan yang terletak di bawah badan eksekutif dalam sesebuah kerajaan bukan sahaja memberikan khidmat kepada masyarakat, bahkan menyediakan mekanisme yang perlu bagi membuat semakan berterusan dan menerima aduan ke atas sistem penyampaian kerajaan.

BADAN PERUNDANGAN DAN HISBAH

Badan perundangan adalah salah satu elemen dalam doktrin pengasingan kuasa yang diperkenalkan oleh Montesquieu dalam bukunya The Spirit of Law (1786). Menurut beliau kuasa pemerintah perlu dipisahkan kepada tiga iaitu badan eksekutif, badan perundangan dan badan kehakiman. Pengasingan ini bertujuan untuk mengelakkan berlakunya monopoli kuasa oleh satu individu atau satu kumpulan sehingga menafikan hak pihak lain untuk menentukan dasar dan pentadbiran kerajaan. Setiap badan berperanan dalam skop kuasa masing-masing tanpa campurtangan, tetapi dalam masa yang sama perlu saling imbang-mengimbangi antara satu sama lain.

Oleh yang demikian, sebagai salah satu badan kerajaan menurut doktrin pengasingan kuasa, badan perundangan memainkan peranan penting bagi meningkatkan kecekapan, ketelusan dan integriti kerajaan. Menurut David Beetham (2006), peranan sesebuah badan perundangan adalah meliputi:

  1. membuat undang-undang
  • meluluskan bajet
  • memantau dasar, tindakan, anggota badan eksekutif
  • mengesahkan perjanjian antarabangsa
  • membahaskan isu negara dan antarabangsa
  • f)     mendengar masalah rakyat
  • meluluskan pindaan perlembagaan

Dua daripada fungsi Badan Perundangan yang dinyatakan di atas iaitu fungsi dalam memantau Badan Eksekutif dan juga fungsi untuk mendengar masalah rakyat adalah meliputi peranan badan hisbah. Memantau badan eksekutif adalah bertujuan untuk memastikan wujud integriti, kecekapan dan ketelusan dalam pengurusan kerajaan. Manakala peranan Badan Perundangan untuk mendengar masalah rakyat amat signifikan khususnya dari sudut kedudukan setiap anggotanya yang dipilih mewakili rakyat. Badan Perundangan, walau pun mempunyai fungsi asas untuk membuat undang-undang tidak terkecuali dari peranannya untuk menjadi jambatan antara rakyat yang memilih kerajaan dan badan eksekutif yang mentadbir kerajaan.

Dalam konteks Parlimen misalnya, peranan memantau Badan Eksekutif boleh terlaksana melalui beberapa mekanisme misalnya melalui kewujudan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara dan pembentangan laporan-laporan dalam bentuk kertas putih kerajaan dan juga melalui penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas. Manakala fungsi badan perundangan untuk mendengar masalah rakyat terlaksana melalui beberapa pendekatan termasuklah sesi soalan dan jawapan, perbahasan titah ucapan dan perbahasan undang-undang, dan lain-lain. Penubuhan jawatankuasa khusus di bawah badan perundangan seperti Jawatankuasa Pilihan Khas juga dapat melaksanakan fungsi bagi mendengar masalah rakyat mengikut skop perkara yang ditentukan.

Hubungan antara jawatankuasa khusus di peringkat badan perundangan dengan kepentingan serta kesejahteraan rakyat adalah amat erat. Schwarz (2004) menjelaskan bahawa sejarah kewujudan jawatankuasa khusus di badan perundangan berkaitan dengan hak rakyat untuk mengemukakan petisyen kepada Parlimen di British dan Perancis bagi menyuarakan masalah-masalah mereka. Apabila jumlah petisyen semakin bertambah, maka pihak Parlimen menubuhkan beberapa jawatankuasa khusus bagi menangani setiap isu yang

berbangkit. Kewujudan jawatankuasa membolehkan setiap isu dapat ditangani dengan lebih komprehensif dan sistematik.

Terdapat berbagai kaedah yang diamalkan di seluruh dunia bagi menangani isu rakyat melalui Badan Perundangan. Terdapat negara yang membuka ruang aduan rakyat melalui pusat khusus iaitu Pejabat Ombudsman (Office of Ombudsman) bagi menerima aduan untuk disalurkan kepada Parlimen melalui jawatankuasa khas yang diwujudkan (Beetham, 2006). Peranan ‘Ombudsman’, iaitu satu badan yang berfungsi untuk menerima aduan, menyiasat dan mengambil tindakan perlu dalam isu-isu yang melibatkan kepentingan orang ramai, adalah selari dengan peranan hisbah. Bahkan dalam sesetengah kajian, konsep hisbah dianggap satu bukti bahawa amalan Ombudsman telah lama wujud dalam sistem pentadbiran umat Islam (Mughal, 2102).

HISBAH DI TERENGGANU

Amalan berbentuk hisbah bukan satu perkara yang asing dalam pentadbiran kerajaan negeri Terengganu. Kedudukan dan peranan ulamak yang penting dalam sejarah pemerintahan negeri Terengganu menunjukkan keprihatinan Kesultanan Terengganu sejak zaman sebelum merdeka untuk mendapatkan nasihat dan teguran dari golongan ulamak. Batu Bersurat Terengganu mencatatkan antara lain berkaitan pelaksanaan undang-undang Islam yang tentunya turut disokong oleh elemen penguatkuasaan undang-undang yang merupakan sebahagian daripada unsur dalam hisbah.

Bahkan negeri Terengganu adalah satu-satunya negeri yang pernah mewujudkan satu Jawatankuasa Hisbah di peringkat Negeri dan melantik seorang ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan yang secara khusus memegang portfolio hisbah. Kerajaan Terengganu yang ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum 1999 yang dipimpin oleh Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang selaku Menteri Besar mewakili Parti Islam Se-Malaysia (PAS), pada waktu itu telah melantik Tun

Salleh Abas, bekas Ketua Hakim Negara sebagai anggota EXCO Kerajaan bagi portfolio Hisbah dan Tugas-tugas Khas.

Susulan dengan itu, pada 8 Februari 2000, kerajaan negeri Terengganu telah menubuhkan Suruhanjaya Hisbah. Peranan Suruhanjaya Hisbah adalah antara lainnya untuk mewujudkan ketelusan dalam pentadbiran kerajaan negeri dan untuk menyediakan saluran yang berkesan bagi rakyat menyuarakan aduan dan pendangan berkaitan khidmat yang diberikan oleh kerajaan. Suruhanjaya Hisbah juga mengadakan kerjasama dengan agensi kerajaan Persekutuan terutamanya Badan Pencegahan Rasuah (sekarang dikenali sebagai SPRM). Kerjasama ini penting agar Suruhanjaya Hisbah tidak bertindak melampaui bidangkuasa menurut skim agihan kuasa Federalisme. Selain itu, kerjasama ini juga memudahkan Suruhanjaya Hisbah untuk menyalurkan kes-kes yang melibatkan jenayah rasuah untuk dikendalikan oleh pihak BPR.

Kewujudan portfolio khas berkaitan Hisbah dan Suruhanjaya Hisbah ini merupakan satu inovasi yang sangat bermakna dalam sistem pentadbiran di Terengganu, bahkan di seluruh negara. Apa yang menarik konsep hisbah yang selama ini hanya termaktub dalam buku dapat direalisasikan melalui kerangka sistem pentadbiran zaman moden. Pemilihan peneraju badan hisbah dari kalangan tokoh yang sangat berwibawa dalam perundangan dan kehakiman juga merupakan satu langkah yang amat penting. Secara umumnya, perkembangan yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum 1999 itu telah membuka sejarah baharu berkaitan pelaksanaan hisbah di Malaysia. Walau bagaimana pun, kewujudan mekanisme hisbah berkenaan tidak dapat bertahan lama. Selepas PAS gagal mempertahankan penguasaan politik di Terengganu pada Pilihan Raya Umum 2004, kerajaan BN yang kembali menguasai Terengganu tidak meneruskan agenda Hisbah.

Pengalaman kerajaan PAS Terengganu menginstitusikan badan Hisbah adalah hasil dari keinginan untuk memastikan pemerintahan yang dilaksanakan berteraskan Islam berjalan mengikut landasan yang dikehendaki oleh sistem

politik Islam. Hisbah diyakini sebagai satu mekanisme penting bagi memastikan pemimpin kerajaan melaksanakan amanah dengan jujur, bersih serta bersungguh-sungguh. Bahkan, hisbah juga dijadikan sandaran yang penting bagi meyakinkan pengundi dan rakyat memberikan keyakinan kepada pemerintahan yang berteraskan Islam mampu menawarkan sistem pentadbiran yang lebih baik berbanding sistem pentadbiran yang berteraskan amalan dari Barat. Walau pun secara rasminya Suruhanjaya Hisbah di Terengganu telah tiada, hasrat untuk melihat pelaksanaan sistem hisbah yang berasaskan sistem politik Islam ini tetap menjadi cita-cita banyak pihak. Persoalan berkaitan pelaksanaan hisbah di Terengganu kembali timbul apabila PAS kembali menguasai kerajaan Negeri pada Pilihan Raya Umum 2018.

DUN SEBAGAI INSTITUSI HISBAH

Institusi hisbah di Terengganu pada era 1999-2004 ditubuhkan di bawah badan eksekutif. Suruhanjaya Hisbah Terengganu waktu itu wujud sebagai salah satu institusi kerajaan yang mempunyai terma rujukan yang khusus. Keperluan Pesuruhjaya Hisbah untuk mengangkat sumpah di hadapan DYMM Sultan Terengganu menggambarkan bahawa suruhanjaya berkenaan mempunyai keistimewaan tersendiri untuk memantau perjalanan kerajaan Negeri. Walau bagaimana pun, sebagai satu institusi kerajaan, Suruhanjaya Hisbah perlu melapor kepada Jawatankuasa Hisbah dan Tugas-tugas Khas yang diketuai oleh seorang ahli Majlis Mesyuarat Negeri. Kedudukan Jawatankuasa Hisbah dan Tugas-tugas Khas yang sama taraf dengan jawatankuasa-jawatankuasa lain yang diketuai oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negeri yang lain menimbulkan kejanggalan kepada Suruhanjaya Hisbah dalam melaksanakan tugasnya.

Dari perspektif yang lain pula, Suruhanjaya Hisbah yang diwujudkan ini tertakluk kepada skop bidang kuasa negeri yang terdapat dalam Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Selaku Badan Eksekutif di peringkat negeri, Suruhanjaya Hisbah tidak boleh mencampuri urusan yang berada di bawah bidangkuasa kerajaan Persekutuan. Oleh yang demikian, aspek

yang berkaitan dengan jenayah, dan siasatan jenayah adalah tertakluk kepada kuasa kerajaan Persekutuan. Bahkan Suruhanjaya Hisbah juga mempunyai kuasa yang terhad untuk memanggil mana-mana individu untuk memberikan keterangan bagi menangani sesuatu isu atau kes. Kuasa yang terhad ini menyebabkan kejayaan Suruhanjaya Hisbah dalam memperjuangkan intergiti tidak terserlah. Pencapaian suruhanjaya ini banyak tertumpu kepada isu-isu yang secara langsung melibatkan kebajikan rakyat yang memerlukan bantuan suruhanjaya menjadi mediator atau perantara antara jabatan-jabatan kerajaan yang terlibat.

Oleh yang demikian, satu alternatif kepada kerangka hisbah 1999-2004 perlu dirintis. Di antara cadangan yang perlu dipertimbangkan ialah dengan memberikan peranan hisbah kepada badan perundangan iaitu DUN. Sebagaimana Parlimen, DUN juga mempunyai pelbagai fungsi dan tanggungjawab. Antaranya ialah untuk berperanan sebagai pemantau kepada dasar, amalan dan tindakan badan eksekutif. Dalam konteks negeri Terengganu, badan eksekutif merujuk kepada jentera kerajaan yang dipimpin oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat (EXCO) Negeri yang diterajui oleh Menteri Besar. Secara logiknya pemantauan oleh badan eksekutif tidak sesuai dilaksanakan oleh anggota eksekutif sendiri. Oleh itu, badan legislatif atau perundangan merupakan badan yang paling sesuai untuk melaksanakan peranan tersebut.

Selain itu, DUN juga mempunyai peranan sebagai jambatan antara penduduk negeri Terengganu dan kerajaan negeri. Peranan ini telah pun dilaksanakan melalui mekanisme yang sedia ada seperti sesi soalan lisan atau bertulis, perbahasan bajet dan lain-lain. Namun begitu, ruang yang ada adalah terhad dan rigid. Sesetengah masalah rakyat memerlukan penelitian yang lebih mendalam dan menyeluruh. Ada juga masalah yang hanya dapat difahami dan diselesaikan setelah diadakan siasatan dan kajian yang melibatkan jentera kerajaan di semua peringkat. Hasrat ini hanya dapat dilaksanakan jika wujud satu kaedah yang lebih stabil dan berwibawa melalui institusi seperti hisbah yang dapat berperanan di bawah DUN.

Dalam hal ini mekanisme yang terbaik untuk melaksanakan fungsi hisbah melalui DUN ialah dengan mewujudkan Jawatankuasa Terpilih Khas (Special Select Committee) yang diberikan tugas untuk menangani isu kesejahteraanrakyat. Jawatankuasa ini boleh diwujudkan di bawah Peraturan 103, Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Undangan Negeri Terengganu bagi menangani isu-isu yang amat kritikal dan memberi impak yang tinggi kepada kesejahteraan rakyat. Jawatankuasa ini boleh berperanan melalui dua kaedah kerja iaitu pertamanya memilih isu yang tertentu dan khusus untuk ditangani dan diselesaikan dalam tempoh yang ditentukan. Skop yang dipilih akan ditentukan secara rundingan setelah meneliti aspek yang paling utama, penting dan mendesak bagi menangani kehendak semasa rakyat. Antara skop yang relevan termasuklah isu tanah, perumahan, kerajaan tempatan, khidmat kebajikan rakyat, pertanian dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan. Kaedah kerja yang kedua ialah jawatankuasa tersebut bertindak sebagai pusat petisyen rakyat bagi menerima aduan atau cadangan dalam bentuk petisyen atau memorandum dan seterusnya bertindak menangani aduan atau cadangan berkenaan.

Kewujudan Jawatankuasa Terpilih yang melaksanakan fungsi hisbah ini tidak boleh dilihat sebagai ancaman kepada badan eksekutif, sebaliknya ia adalah satu mekanisme yang dapat mengukuhkan kerjasama DUN Terengganu selaku badan perundangan dengan badan eksekutif melalui sumbangan dalam menyokong agenda kerajaan bagi dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui peningkatan kualiti perkhidmatan kerajaan terutamanya bagi jentera perkhidmatan awam di peringkat pertengahan dan bawahan. Di samping itu, ia dapat meningkatkan keyakinan rakyat terhadap wibawa kerajaan negeri melalui pemerkasaan mekanisme semak dan imbang ke arah penambahbaikan Dewan Undangan Negeri Terengganu sesuai dengan pelaksanaan konsep hisbah dan pengukuhan amalan demokrasi.

Kewujudan Jawatankuasa Terpilih yang melaksana fungsi hisbah di bawah DUN dapat juga memberikan manfaat tambahan untuk kebaikan pelbagai

pihak. Misalnya ia dapat memberikan ruang yang sesuai kepada Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak memegang jawatan dalam badan eksekutif untuk turut sama memberikan sumbangan kepada pentadbiran kerajaan melalui peranan semakan dan pemantauan, sekaligus meningkatkan kewibawaan mereka di kalangan anggota jentera kerajaan di peringkat pertengahan dan bawahan. Selain itu, jawatankuasa terpilih ini juga mampu bertindak sebagai saluran yang lebih efektif bagi memberikan teguran dan nasihat kepada pegawai dan jabatan berkaitan selaku pemantau dan penilai. Ini kerana dalam situasi tertentu, pihak pemimpin kerajaan seperti EXCO Kerajaan Negeri berdepan dengan kesukaran untuk membuat teguran atau kritikan kepada pegawai kanan kerajaan atau selainnya, tanpa menjejaskan hubungan kerja yang sihat. Di samping itu, kewujudan jawatankuasa ini juga mampu menyediakan platform kepada ADUN yang kurang berpengalaman untuk menimba ilmu dan maklumat berkaitan perjalanan jentera kerajaan selakugus mampu menyediakan diri sebagai pelapis kepimpinan akan datang.

Buat masa ini belum ada mana-mana kerajaan yang memperkenalkan konsep hisbah melalui institusi perundangan. Oleh yang demikian, cadangan ini ini mampu menjadi penanda aras baru dan inovasi dalam aplikasi konsep hisbah dalam sistem pemerintahan moden iaitu melalui pemerkasaan peranan Badan Perundangan (legislative body), iaitu melalui konsep pemantauan harmoni berteraskan amalan saling nasihat menasihati, tanpa disaluti unsur dendam dan khianat. Ia juga mampu menjadi bukti bahawa sistem politik Islam yang berteraskan Al-Quran dan Sunnah mampu diaplikasi secara efektif dalam kerangka pemerintahan masakini.

Dalam konteks negeri Terengganu penubuhan jawatankuasa terpilih tidak melibatkan implikasi pindaan Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Undangan Negeri atau mana-mana enekmen kerana ia dapat dibuat menggunakan mekanisme perundangan sedia ada melalui usul bawah Peraturan 103 Peraturan-Peraturan Tetap Dewan. Jawatankuasa Terpilih yang ditubuhkan perlu diberikan kuasa dan fungsi tertentu di antaranya termasuklah untuk:

  1. Menerima aduan dan cadangan dalam bentuk petisyen dan memorandum daripada mana-mana pertubuhan atau orang perseorangan.
  • Mengadakan rundingan dan pertemuan dengan anggota pentadbiran bagi mengenalpasti isu-isu kesejahteraan rakyat.
  • Memeriksa dan memantau selia dasar, aktiviti dan perkara-perkara khusus yang ditentukan berkaitan rakyat.
  • Mendapatkan maklumat daripada mana-mana pihak yang berkaitan.
  • Mengesyorkan cadangan-cadangan penambahbaikan.
  • Mendapatkan maklum balas kerajaan atau mana-mana pihak berkepentingan berhubung syor yang dikemukakan oleh jawatankuasa.

Sebagai institusi yang berteraskan prinsip hisbah, jawatankuasa terpilih berkenaan perlu mempunyai orientasi yang selari dengan falsafah, konsep, amalan dan adab hisbah sesuai dengan Al-Quran, Sunnah dan pandangan para ulamak. Ahli jawatankuasa yang dilantik perlu menghayati bahawa peranan mereka adalah berteraskan konsep amar makruf dan nahi munkar dan bertujuan untuk menyokong maslahah umum melibatkan rakyat dan negara. Proses kerja jawatankuasa juga perlu dirangka dengan elemen adab dan konsep Islam termasuklah prinsip hikmah (al-hikmah), saling tolong menolong untuk kebaikan dan taqwa (taawun ala birr wa taqwa) dan pertanggungjawaban (al-mas’uliyah).

KESIMPULAN

Menurut prinsip politik Islam, kerajaan bertanggungjawab untuk memastikan wujudnya amalan hisbah dalam sesebuah pentadbiran. Perlaksanaan hisbah ini boleh disesuaikan berdasarkan perkembangan zaman. Mungkin ada yang berhujah bahawa sistem pentadbiran sedia ada telah memenuhi keperluan hisbah melalui pelbagai mekanisme dan institusi di peringkat negeri dan Persekutuan. Tidak dinafikan bahawa sebahagian besar fungsi hisbah telah terlaksana melalui sistem sedia ada, namun skop hisbah adalah lebih luas berbanding perlaksanaan semasa. Selain itu, konsep hisbah yang mempunyai

ikatan dengan unsur tauhid dan adab Islam menjadikannya lebih komprehensif dan luas berbanding sistem sedia ada. Selain itu, hisbah bukan sahaja menyentuh soal penguatkuasaan peraturan, bahkan ia melibatkan proses membetulkan tindakan eksekutif menggunakan pendekatan yang terbaik.

SENARAI RUJUKAN

Abu Hamid Muhammad Al-Ghazali, Ihya’ Ulum al-din, Jil. 3, Dar al-Fikr, Beirut, 1980

Auni bin Haji Abdullah, Hisbah dan pentadbiran negara, Ikdas Sdn Bhd., Kuala Lumpur, 2000,

David Beetham (2006). Parliament and Democracy in the Twenty-first Century: A

Guide to Good Practice, Inter-Parliamentary Union: Geneva.Feldman, Noah (2008). The Fall and Rise of the Islamic State. Princeton and Oxford: Princeton University Press.

Mughal, Munir Ahmad (2012). Islamic Concept of Ombudsman (اﺍکﮎ لﻝمﻡعﻉ بﺏاﺍسﺱتﺕحﺡاﺍ

:April       8,       2012).        Available        at       SSRN(        )رﺭوﻭصﺹتﺕ یﯼمﻡاﺍلﻝسﺱاﺍ

https://ssrn.com/abstract=2036614 or http://dx.doi.org/10.2139/ssrn.2036614

Muhammad Dhiya’uddin Al-Rayes, Al-Nazariyat al-Siyasat al-Islamiyyah, Maktabah Dar al-Turath, Kaherah, 1976, ms. 415-416.

Mustafa Kamal Wasfi, Musannafat al-Nuzum al-Islamiah. Maktabah Wahbah, Kaherah, 1977

Schwarz, Ingeborg (2004). Parliamentary Human Rights Mechanisms, NDI.