Berita Harian, Rabu 30 Mac 2016
Oleh:
DR MUHAMMAD FATHI YUSOF
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan skor Indeks Syariah Malaysia bagi tahun 2015 pada tengahari Isnin 28 Mac 2016. Dengan skor pada tahap 75.42 peratus itu, Perdana Menteri menganggap ia akan mendorong kerajaan untuk melipatgandakan usaha untuk mensejahterakan rakyat dan menambahbaik kekurangan yang ada. Selain itu satu Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Perlaksanaan Indeks Syariah Malaysia telah ditubuhkan bagi memastikan indeks yang julung kali diadakan itu mampu bergerak lebih efektif, berimpak tinggi dan diterjemahkan dalam bentuk tindakan.
Namun di sebalik kejayaan memperkenalkan Indeks Syariah Malaysia (ISM) itu, terdapat suara-suara sinis yang menganggap perlaksanaan indeks syariah adalah satu langkah yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan kerana ia mengancam kebebebasan penganut agama lain. Hujah mereka ialah, indeks yang berasaskan Islam akan memastikan semua pentadbiran kerajaan berasaskan Islam dan akan melarang semua perkara yang bertentangan dengan Islam. Menurut logik mereka apabila semua yang ‘tidak Islam’ dilarang, maka kepercayaan dan amalan penganut agama lain akan terjejas.
Bagi menjawab kekeliruan ini, perlu ditegaskan bahawa Islam adalah agama universal yang menjadi rahmat untuk seluruh alam. Prinsip-prinsip Islam seperti keadilan, persaudaraan, persamaan hak, menjaga penghormatan manusia dan seumpamanya adalah prinsip-prinsip yang dikongsikan oleh seluruh manusia. Bahkan lima asas matlamat syariah atau maqasid syariah iaitu menjaga agama, menjaga nyawa, menjaga akal, menjaga keturunan dan menjaga harta merupakan keperluan universal yang menepati kehendak penganut Islam dan bukan Islam.
Kedua, memang terdapat aspek-aspek bersifat peribadi yang khusus untuk penganut Islam yang mungkin tidak menepati kehendak bukan Islam. Aspek-aspek ini hanya dikuatkuasakan kepada orang-orang Islam sahaja, dan masyarakat bukan Islam tertakluk kepada peraturan mereka sendiri. Contohnya perkara yang berkaitan dengan keluarga Islam, pendidikan Islam, pengharaman arak, ibadah dan lain-lain hanya khusus untuk penganut Islam. Orang bukan Islam bebas menjalankan peraturan mereka sendiri sesuai dengan kepercayaan masing-masing.
Ketiga, dakwaan bahawa kepercayaan dan amalan penganut agama lain akan terjejas apabila Indeks Syariah Malaysia dijadikan panduan pentadbiran negara juga amat tersasar dari kebenaran. Islam mengiktiraf kebebasan beragama iaitu meliputi hak untuk menganut dan mengamalkan agama masing-masing. Islam tidak membenarkan paksaan dalam beragama. Oleh yang demikian, jaminan kebebasan beragama untuk penganut bukan Islam sebenarnya sebahagian daripada prinsip Islam. Bahkan tanggungjawab kerajaan untuk melindungi kebebasan beragama adalah salah satu perkara yang perlu dipenuhi dalam Indek Syariah itu sendiri.
Keempat, konsep ‘menjaga agama’ dalam maqasid syariah bukan sekadar bermaksud memartabatkan Islam tetapi juga meliputi maksud menyokong kebebasan kepercayaan atau kebebasan keyakinan. Konsep ini dipertegaskan oleh para ulama’ seperti Ibnu ‘Ashur, Muhammad al-Zuhaili, Mohammed O. Shabeer dan ramai lagi. Mereka bersandarkan kepada prinsip yang termaktub dalam Al-Quran iaitu maksudnya: ‘Tiada paksaan dalam beragama’ (Surah Al-Baqarah: ayat 256).
Terdapat juga pertikaian yang cuba menggambarkan bahawa Indeks Syariah Malaysia bercanggah dengan agihan kuasa dalam Perlembagaan Persekutuan. Mereka mendakwa kononnya, melaksanakan Indeks Syariah merupakan satu bentuk tindakan yang mencampuri bidang kuasa Raja-raja Melayu yang merupakan Ketua Agama Islam di peringkat Persekutuan dan Negeri-negeri.
Dakwaan ini tentunya tersasar kerana kewujudan Indeks Syariah ini adalah melalui proses pentadbiran yang dilaksanakan oleh urusetia yang berpusat di Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM) sebuah agensi yang diperkenan penubuhannya oleh Majlis Raja-raja sejak dari tahun 1968 dengan nama asalnya iaitu Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).
Bahkan jika dirujuk kepada peruntukan Perlembagaan, kerajaan Malaysia seluruhnya wajar menjadikan Islam sebagai rujukan terpenting pentadbiran negara. Perkara 3 (1) secara jelas menyatakan bahawa Islam adalah agama Persekutuan. Perkataan ‘agama’ dalam peruntukan ini perlu ditafsirkan sesuai dengan konsep dan ajaran Islam. Islam bukan sekadar peraturan bersifat kerohanian dan ritual atau peraturan peribadi semata-mata. Islam adalah satu agama yang meliputi seluruh aspek kehidupan manusia yang meliputi soal peribadi, keluarga, masyarakat, negara dan antara bangsa. Agihan penilaian dalam Indeks Syariah Malaysia yang meliputi lapan aspek iaitu perundangan, politik, ekonomi, pendidikan, kesihatan, budaya, sosial, persikataran dan social adalah sesuai dengan hakikat Islam yang melupiti seluruh aspek kehidupan manusia. Oleh itu Indeks Syariah yang diperkenalkan ini sebenarnya berperanan untuk memperkukuh peranan Raja-raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam, bukan sebaliknya.
Terdapat juga yang mendakwa bahawa salah satu maqasid syariah iaitu ‘menjaga keturunan’ bermaksud menjaga bangsa atau kaum tertentu. Terjemahan atu tafsiran begini adalah tersasar. Konsep ‘menjaga keturunan’ atau dalam istilah Arabnya ‘hifz al-nasal’ meliputi aspek penjagaan maruah, kehormatan dan institusi keluarga. Ia merupakan rumusan daripada beberapa prinsip dan hukum Islam berkaitan dengan fikah kekeluargaan, hukuman ke atas penzina, dan lain-lain. Konsep ini langsung tidak ada kaitan dengan elemen perkauman. Bahkan Islam menentang fahaman perkauman dan menganggap semua kaum dan bangsa adalah sama dan setaraf. Perbezaan di sisi Allah hanyalah dari sudut ketakwaan.
Tegasnya, memandangkan Indeks Syariah Malaysia merupakan satu agenda yang baru, penerangan yang jelas perlu disampaikan kepada rakyat. Buat masa ini masih terdapat banyak kekeliruan yang timbul sekitar konsep dan perlaksanaannya. Masyarakat Islam dan bukan Islam perlu didedahkan dengan indeks ini agar proses untuk memajukan negara dan mensejahterakan rakyat berasaskan prinsip Syariah dapat berjalan dengan lancar, menyeluruh dan berkesan.
*DR MUHAMMAD FATHI YUSOF adalah Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan) di Pusat Kajian Fiqh Sains dan Teknologi (CFiRST), Universiti Teknologi Malaysia. Beliau juga adalah salah seorang penyelidik Indeks Syariah Malaysia 2015.