Panel Penyelidik Kajian Pemantapan Dewan Undangan Negeri Terengganu adalah satu kumpulan penyelidik dari pelbagai universiti yang melaksanakan kajian dan perundingan bagi memantapkan DUN Terengganu di bawah Jawatan Kuasa Terpilih Pengurusan DUN. Terma rujukannya termasuklah untuk menambahbaik pentadbiran, pengurusan dan peranan Dewan, Peraturan-Peraturan Dan Perintah-Perintah Tetap Dewan, dan perjalanan Sidang Dewan. Panel ini telah terlibat secara langsung dalam usaha mengukuhkan pengurusan dan pentadbiran DUN melalui Bengkel Perancangan Strategik, Seminar Literasi, perbincangan dan tinjauan serta penyediaan kertas-kertas cadangan. Tiga kertas polisi telah dikemukakan iaitu berkaitan (a) peranan dan pentadbiran DUN; (b) maklumat, komunikasi dan teknologi; dan (c) semakan peraturan dewan. Secara keseluruhannya, kajian ini mengemukakan 17 saranan asas, 53 cadangan inisiatif, 13 langkah semakan peraturan dan beberapa saranan dan pandangan lain. Di antara cadangannya ialah untuk meningkatkan peranan DUN sebagai institusi semak dan imbang, menubuhkan Jawatankuasa Terpilih Kesejahteraan Rakyat, mengukuhkan program pendidikan untuk ADUN, mengoptimum penggunaan teknologi dalam komunikasi dan pengurusan maklumat, membuat semakan menyeluruh ke atas peraturan tetap dewan, dan merapatkan hubungan institusi DUN dengan rakyat melalui pendidikan politik.