JAWATANKUASA TERTINGGI INSTITUSI HAL EHWAL ISLAM PERINGKAT PERSEKUTUAN

PENUBUHAN Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan oleh Majlis Raja-Raja semalam adalah satu langkah yang amat penting pada saat negara sedang membuat pembaharuan dan penyesuaian struktur pemerintahan selepas penubuhan kerajaan baharu.

Tidak dapat dinafikan bahawa wujud fenomena tidak menentu ke atas nasib institusi Islam di peringkat Persekutuan selepas berlaku perubahan politik pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14)

Terdapat desakan oleh pertubuhan dan individu tertentu agar institusi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dimansuhkan atas alasan ia bukan urusan Kerajaan Persekutuan, tetapi urusan Raja, Sultan dan kerajaan negeri.

Dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pula ada janji bahawa kerajaan PH akan memastikan bahawa ‘kuasa Raja-Raja Melayu dalam mentadbir agama dan adat istiadat Melayu akan dikembalikan ke negeri dan campur tangan Kerajaan Pusat akan dihentikan’.

Secara tidak langsung, ia boleh ditafsirkan sebagai hasrat untuk menamatkan atau sekurang-kurangnya mengecilkan peranan Kerajaan Persekutuan dalam urusan agama Islam.

Bagaimana pun, pandangan untuk memansuh atau mengecilkan peranan institusi Islam pada peringkat Persekutuan ini mendapat tentangan hebat daripada orang ramai khususnya umat Islam.

Dalam hal ini, kerajaan dilihat mengambil langkah berhati-hati agar tidak melakukan sesuatu yang merugikan rakyat.

Keputusan tepat

Rentetan perkembangan yang berlaku ini membawa kepada satu keputusan tepat Majlis Raja-Raja untuk mewujudkan Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan.

Perkataan ‘tertinggi’ dalam nama jawatankuasa ini mempunyai signifikan tersendiri. Ia menggambarkan kedudukan institusi beraja yang menubuhkannya iaitu Majlis Raja-Raja yang dianggotai Sultan dan Raja yang selaku ketua Agama Islam negeri masing-masing.

Yang di-Pertuan Agong pula selaku Ketua Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Melaka, Pulau Pinang, Sabah serta Sarawak.

Jawatankuasa ini berperanan untuk mengkaji kedudukan pengurusan hal ehwal Islam pada peringkat Persekutuan, latar belakang penubuhan dan bidang kuasa agensi agama Persekutuan.

Kajian ini penting sebagai pengukuhan dan penegasan kepada asas kewujudan institusi Islam sedia ada seperti JAKIM, Jabatan Kehakiman Syarie Malaysia (JKSM), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan lain-lain.

Kajian ini akan dapat mengemukakan hujah yang konkrit dari sudut perlembagaan, perundangan, sejarah dan faktor realiti semasa bagi menyokong kewujudan institusi Islam pada peringkat Persekutuan, sekali gus menolak dakwaan ia semata-mata urusan kerajaan negeri.

Bahkan lebih jauh dari itu, kajian ini diharap dapat mengemukakan formula terbaik bagi meningkatkan keseragaman perundangan, pentadbiran dan kehakiman antara -negeri dalam urusan agama Islam.

Selain itu, kajian ini juga berperanan untuk mengkaji keberkesanan agensi agama yang sedia ada, termasuk agensi perundangan dan penghakiman syariah pada peringkat Persekutuan.

Skop kajian ini tentu luas dan menyeluruh kerana ia meliputi bukan sahaja agensi pentadbiran seperti JAKIM, bahkan juga agensi perundangan dan kehakiman seperti Mahkamah Syariah.

Bahkan ia juga boleh meneliti aspek kecekapan Mahkamah Syariah dalam mengendalikan kes sensitif seperti yang menyentuh hak wanita.

Secara tidak langsung ia boleh meneliti isu bidang kuasa Mahkamah Syariah yang terhad kepada hukuman tidak melebihi tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan.

Apa yang menarik, urus setia jawatankuasa ini adalah pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja sendiri, bukannya JAKIM.

Kesungguhan Raja-Raja

Langkah ini menggambarkan kesungguhan Raja-Raja untuk memikul tanggungjawab berkaitan urusan agama dengan serius tanpa terlalu bergantung kepada institusi pentadbiran.

Adalah diharapkan pendekatan ini membuka satu ruang baharu kepada institusi Majlis Raja-Raja untuk mengambil langkah berani bagi mewujudkan jentera pentadbiran institusi Islam.

Ia adalah melalui gabungan kuasa yang ada sebagai ketua agama Islam di negeri dan Wilayah Persekutuan tanpa terlalu bergantung kepada institusi pentadbiran di bawah Kabinet.

Bagaimanapun aspek ini perlu diperincikan dengan mendalam dari sudut keperlembagaan dan implikasinya kepada sistem pemerintahan negara. Saya percaya jawatankuasa ini tidak akan mengabaikan isu yang penting ini.

Tegasnya, kita mengharapkan agar Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan ini dapat membuka satu lembaran baharu dalam sistem pentadbiran agama Islam dalam negara.

Ketetapan kukuh Islam sebagai agama Persekutuan dalam Perlembagaan menjadi rujukan penting bagi mewujudkan pentadbiran agama Islam di peringkat Persekutuan yang lebih kukuh dan mantap.

Kerjasama, keterbukaan dan tasamuh antara Raja-Raja Melayu selaku ketua-ketua agama Islam di negeri-negeri amat penting bagi menjayakan hasrat yang mulia ini.

Penulis adalah Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan) Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur