Muhammad Fathi Yusof, Siti Norlina Mohamad, Tamar Jaya Nizar and Ainul Kauthar Karim

 

 Tulisan ini telah diterbitkan secara bercetak dalam ‘Book Chapter’ berjudul Islam, Demokrasi dan Pilihan Raya. Petikan rujukan (citation) adalah seperti berikut: Muhammad Fathi Yusof et al. 2017. “Pembiayaan Politik Dalam Sistem Demokrasi Dari Perspektif Islam.” In: (Editor Muhammad Fathi) Islam, Demokrasi dan Pilihan Raya. UTM Press. Pp. 79-100.

 

 

PENGENALAN

Penulisan ini bertujuan untuk menjelaskan tentang pembiayaan politik dalam amalan demokrasi. Skop pembiayaan politik adalah luas kerana ia mencakupi isu sumber kewangan parti dan calon, ketelusan dalam perbelanjaan dan sumber, serta aspek pembiayaan oleh awam dan swasta. Namun begitu untuk tujuan mengaitkan pembiayaan politik dan sistem demokrasi, penulisan ini hanya akan menumpukan perbahasan berkaitan dengan perolehan kerajaan yang mempunyai kaitan dengan pembiayaan politik. Aspek ini dipilih kerana ia mempunyai kesan yang amat kritikal kepada amalan demokrasi dalam negara.

Perlu ditegaskan di sini bahawa, pembiayaan politik mempunyai hubungan langsung dan tidak langsung dengan pengurusan tender. Hubungan antara kedua-duanya pada zahirnya tidak kelihatan dan sukar untuk dikesan tetapi kewujudannya mudah difahami jika dilihat dari sudut realiti pembiayaan politik dalam sesebuah negara demokrasi. Kos perbelanjaan besar dalam kempen pilihan raya dan pengurusan parti politik menimbulkan satu persoalan iaitu dari manakah sumber kewangan parti-parti politik. Dalam hal ini, realiti yang wujud dalam pengurusan perolehan kerajaan memberikan sebahagian jawapan kepada persoalan tersebut.

Penulisan ini juga bertujuan untuk meneliti dan menilai perhubungan antara pembiayaan politik dari kaca mata Al-Quran dan Sunnah serta prinsip-prinsip Islam. Sebagai satu cara hidup yang sempurna, Islam tentunya menyediakan jalan penyelesaian untuk permasalahan yang kompleks ini. Prinsip-prinsip akidah, syariat, akhlak Islam menyediakan panduan-panduan berguna dalam meneroka jalan penyelesaian bagi memastikan pengurusan tender tidak dicemari dengan elemen-elemen kotor untuk kepentingan politik.

 

KETELUSAN DALAM PEMBIAYAAN POLITIK

Pembiayaan politik (political financing) dari sudut bahasa mencakupi skop yang sangat luas. Walau bagaimana pun, sesuai dengan penggunaan biasa, pembiayaan politik di sini lebih menjurus kepada perkara yang berkaitan dengan pembiayaan parti politik dan pihak lain yang berkaitan dengan kempen pilihan raya dan aktiviti lain yang dijalankan oleh parti politik (Marcin, 1999). Secara lebih terperinci, maksud pembiayaan politik terbahagi kepada tiga iaitu: (1) pembiayaan aktiviti parti politik sewaktu kempen pilihan raya; (2) pembiayaan aktiviti parti politik di luar kempen pilihan raya; (3) isu-isu pembiayaan yang berkaitan dengan agenda parti politik atau anggotanya untuk meluaskan sokongan politik (Gene, 2003).

Dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia, parti politik mempunyai peranan besar dalam menjayakan persaingan politik. Parti mewakili agenda perjuangan sekumpulan manusia yang mempunyai citra perjuangan yang sama. Mereka bergabung bagi mengukuhkan persaingan mereka dalam persada politik memandangkan kemampuan calon bebas untuk bersaing di pentas demokrasi biasanya amat rendah. Oleh yang demikian, masyarakat menerima baik kepentingan untuk memberikan ruang yang selesa kepada parti politik untuk bergerak dengan lancar dan mantap.

Dalam konteks politik Malaysia pula, parti politik bukan sahaja memainkan kempen politik bahkan terlibat secara langsung dalam aktiviti kebajikan, pendidikan, pembangunan ekonomi, sukarelawan dan lain-lain. Parti-parti utama bukan sahaja beroperasi menjelang pilihan raya, bahkan beroperasi sepanjang masa (Gomez, 1991). Organisasi parti pula menjalar dari peringkat negara, negeri, daerah dan kampung. Hakikat ini menjadikan parti politik di Malaysia amat sebati dengan hati nurani rakyat terutamanya masyarakat desa (Johnson, 2003).

Sesebuah parti politik memerlukan sumber kewangan yang besar. Perbelanjaan yang banyak diperlukan untuk tujuan kempen pilihan raya serta urusan parti secara berkala. Bagi sesebuah organisasi parti yang besar dan sampai ke peringkat akar umbi, tentunya perbelanjaan yang diperlukan adalah lebih besar. Tambahan pula dalam konteks politik di Malaysia, anggota badan perundangan atau wakil rakyat dianggap sebagai tempat untuk mengadu bagi berbagai masalah termasuklah masalah kewangan (Andrew, 2005). Perbelanjaan yang diperlukan oleh wakil rakyat untuk memenuhi kehendak orang ramai hakikatnya tinggi.

Dalam konteks amalan demokrasi, keperluan yang untuk menjalankan aktiviti politik merupakan satu keperluan yang diiktiraf. Walau bagaimana pun perlu wujud keseimbangan antara penggunaan wang dalam politik dan kawalan ke atasnya bagi mengelakkan masalah-masalah seperti persaingan tidak adil  (USAID, 2003). Lebih dahsyat lagi ia boleh membawa kepada amalan boros melampau, rasuah dan penyelewengan (Magnus, 2009).

Bagi mengelakkan masalah yang dinyatakan itu, pembiayaan politik perlu memenuhi syarat yang sangat penting iaitu ketelusan. Ketelusan dalam pembiayaan politik melibatkan parti politik, calon-calon pilihan raya, dan yang paling penting ialah ketelusan dalam sistem pengurusan kewangan kerajaan. Bagi parti politik dan calon-calon pilihan raya, mereka perlu telus dalam mendedahkan sumber pendapatan, perbelanjaan, tanggungan dan aset. Pendedahan ini bukan sahaja melalui pengisytiharan kepada pihak berkuasa atau pengendali pilihan raya, bahkan yang lebih penting ialah pendedahan kepada orang awam seluruhnya.

Ketelusan merupakan elemen yang sangat asas untuk mengelakkan penyelewengan. Ketelusan perlu wujud bukan sahaja pada pengurusan parti dan perjalanan urusan kempen pilihan raya, bahkan yang lebih penting ialah ketelusan dalam pentadbiran kerajaan. Dengan adanya ketelusan, rakyat mempunyai peluang untuk memantau perbelanjaan kerajaan dan mengenal pasti kewujudan elemen-elemen yang membawa risiko penyelewengan seperti hubungan antara kerajaan dengan entiti perniagaan yang ada kaitan dengan kepentingan politik. Tahap sebenar hubungan antara pembiayaan politik dalam negara dengan salah laku yang berkaitan perolehan kerajaan juga amat bergantung pada tahap ketelusan yang wujud dalam pentadbiran kerajaan dan parti-parti politik.

 

PEROLEHAN KERAJAAN DAN PEMBIAYAAN POLITIK

Pada umumnya, agak sukar untuk mengaitkan perolehan kerajaan dan pembiayaan politik dalam sesebuah negara. Pertamanya kerana perkaitan antara kedua-duanya berlaku secara tidak langsung melibatkan dua entiti yang berbeza, iaitu yang pertama entiti kerajaan dan yang kedua entiti parti politik. Keduanya, jika ia wujud sekali pun pihak-pihak yang terlibat pastinya sentiasa berusaha untuk menyembunyikannya dari pengetahuan umum kerana ia adalah hubungan yang bertentangan dengan undang-undang. Ketiga, sempadan antara urus niaga yang sah dan urus niaga yang menyeleweng atau salah guna kuasa dalam pengurusan perolehan khususnya jika dikaitkan dengan pembiayaan politik kebanyakannya masih kabur. Namun begitu perbahasan di bawah berusaha untuk meneliti perkaitan antara perolehan kerajaan dan pembiayaan politik khususnya dalam konteks Malaysia.

Menurut prinsip mudah, jika perolehan kerajaan digunakan untuk pembiayaan politik, maka akan berlaku penyelewengan yang sangat buruk. Perlu diingat kedua-dua perolehan kerajaan dan pembiayaan politik mempunyai kepentingan yang bercanggahan. Perolehan kerajaan bertujuan untuk mencapai kepentingan rakyat secara keseluruhannya. Segala urusan yang dilakukan mesti berlandaskan kepada prinsip-prinsip yang telah disebutkan demi untuk kebaikan rakyat. Pada dasarnya perbelanjaan wang negara melalui perolehan kerajaan perlu berhemah dan berasaskan konsep nilai wang yang sebenar. Manakala, pembiayaan politik pula bertujuan untuk memastikan parti politik atau calon pilihan raya mempunyai dana yang banyak untuk membiayai kos pengurusan parti dan kempen pilihan raya. Dana yang lebih besar biasanya memberikan peluang kemenangan yang lebih cerah.

Isu hubungan antara perolehan kerajaan dan pembiayaan politik perlu dilihat dari sudut isu yang lebih besar iaitu hubungan antara parti politik dan kerajaan. Menurut konsep demokrasi,[1] perlu ada pemisahan yang jelas antara kerajaan dan parti politik. Parti yang memenangi pilihan raya diberikan amanah untuk menubuhkan kerajaan, tetapi tidak ada hak untuk mencampuradukkan urusan kerajaan dan parti. Individu-individu daripada parti yang menang diberi peranan untuk memegang jawatan kerajaan atas mandat yang diberikan oleh rakyat. Walau pun mereka terhutang budi kepada parti, tetapi hakikatnya parti hanyalah platform baginya untuk menyertai proses demokrasi.

Oleh yang demikian, pertanggungjawaban mereka tetap kepada rakyat dan institusi negara yang lain seperti Yang Di-Pertuan Agong, parlimen dan lain-lain. Jawatan dalam kerajaan sama sekali tidak boleh digunakan untuk kepentingan diri atau kelompok, termasuklah parti yang mereka wakili. Oleh yang demikian, parti politik tiada hak untuk campur tangan dalam pentadbiran jentera kerajaan dan tiada keistimewaan dalam menggunakan kemudahan atau sember kerajaan melainkan melalui proses pentadbiran yang telus. Konsep ini diguna pakai di atas prinsip bahawa kerajaan mempunyai kewajipan untuk melindungi kepentingan rakyat keseluruhannya secara adil tanpa mengira latar belakang politik mereka.

Selain itu, perlu juga diteliti perhubungan antara parti politik atau pemimpinnya dengan entiti perniagaan atau tokoh-tokoh perniagaan. Secara idealnya, parti politik tidak wajar terlibat dengan perniagaan, menubuhkan entiti perniagaan atau mempunyai proksi dari kalangan pemilik-pemilik syarikat-syarikat perniagaan. Tokoh-tokoh politik juga tidak sewajarnya mempunyai rangkaian perniagaan sendiri, sama ada melalui individu-individu yang rapat atau keluarga yang terdekat melainkan jika perniagaan mereka tidak kaitan langsung dengan kepentingan kerajaan. Walau bagaimana pun, konsep yang ideal ini perlukan keseimbangan antara usaha untuk mengelakkan percanggahan konflik serta korupsi, dengan hak untuk menjalankan perniagaan dan memiliki harta secara bebas.

Penyalahgunaan perolehan kerajaan untuk pembiayaan politik boleh berlaku dalam bermacam-macam cara. Jika sesuatu kontrak itu diberikan kepada syarikat yang mempunyai hubungan dengan parti pemerintah, maka terdapat tanda yang jelas wujudnya penyalahgunaan perolehan kerajaan. Tidak ada satu kaedah tetap untuk mengkategorikan sesebuah syarikat itu mempunyai hubungan dengan parti politik. Jika ada sekalipun, kewujudannya sukar dibuktikan. Menurut Gomez (1991), tidak ada satu corak tunggal dalam keterlibatan parti-parti politik dalam perniagaan. Kewujudannya kadang-kalang berlaku dalam bentuk hubungan tokoh-tokoh perniagaan yang mendapat naungan politik (political patronage) dari tokoh-tokoh politik. Hubungan begini berlaku secara tidak rasmi, tetapi ia dibincangkan dalam beberapa analisis akademik,[2] bahkan kewujudannya disedari oleh kalangan masyarakat yang terbabit dalam dunia politik dan perniagaan.

Dari sudut bentuk-bentuk pengurusan perolehan kerajaan, penyelewengan begini boleh berlaku terutamanya jika tahap ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan tender berada pada kedudukan yang rendah. Jika kuasa untuk menentukan perolehan kerajaan itu dikawal kuat oleh pemimpin politik tanpa ketelusan yang mencukupi dan tanpa semakan dan pihak berkuasa lain, maka tentunya perolehan kerajaan itu terdedah kepada salah guna kuasa untuk tujuan peribadi atau kelompok politik.

Terdapat beberapa bentuk perolehan yang amat terdedah kepada salah guna kuasa. Tender secara rundingan terus misalnya, sepatutnya hanya digunakan untuk tujuan yang sangat perlu seperti yang ditentukan dalam tatacara kerajaan kerana jika ia diamalkan secara bebas, ruang penyalahgunaan kuasa akan terbuka luas. Selain itu tender yang diamalkan dalam sebahagian syarikat yang berkaitan dengan kerajaan (GLC) juga terdedah kepada penyelewengan. Oleh kerana mereka tidak terikat dengan tatacara perolehan yang ditetapkan oleh kerajaan, maka terdapat syarikat-syarikat ini yang mengamalkan dasar yang sangat longgar sehingga membuka ruang penyalahgunaan kuasa.

Amalan kerjasama kerajaan dan swasta (Public-Private Partnership – PPP) yang menggalakkan pembiayaan projek secara Inisiatif Pembiayaan Swasta (Private Finance Initiative – PFI) juga sangat terdedah kepada salah guna kuasa. Selain daripada pengecualian projek-projek PFI daripada mengikuti tatacara perolehan kerajaan, perjanjian PFI juga membuka ruang kepada perjanjian yang tidak adil kerana lebih menguntungkan pihak swasta yang kebanyakannya terpilih tanpa melalui proses yang telus dan terbuka. Bahkan sebahagian daripada pembiaya swasta ini mendapat keuntungan berganda kerana mereka layak untuk membuat pinjaman yang dijamin kerajaan bagi melaksanakan projek berkenaan. Tambahan pula selepas sesuatu projek selesai mereka mempunyai peluang untuk terus mendapatkan hasil melalui kutipan sewa, tol, pajakan dan sebagainya. Kaedah PFI pada asalnya mempunyai kebaikan dan kelebihan tersendiri, tetapi jika ia dilaksanakan secara tidak telus dan adil, maka ia amat terdedah dengan penyalahgunaan aset dan wang rakyat.

Tegasnya, pengurusan perolehan negara sepatutnya bebas dari pengaruh politik kepartian atau tokoh politik yang berkepentingan. Pengurusan perolehan negara seharusnya benar-benar bersih, adil, cekap dan telus demi untuk menjamin kepentingan rakyat. Sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa dalam mengurus perolehan negara bukan sahaja bertentangan dengan etika dan moral, bahkan perlu tertakluk kepada kawalan perundangan yang ketat serta berkesan. Jika kawalan yang mencukupi tidak wujud dan penguatkuasaan yang berwibawa tidak dilaksanakan, maka penyalahgunaan perolehan kerajaan akan membarah dalam sistem ekonomi, politik dan pentadbiran negara. Oleh yang demikian, usaha untuk mengatasinya iaitu dengan mencari faktor-faktor masalah dan menggerakkan jalan penyelesaian adalah amat perlu.

 

FAKTOR SALAH GUNA PEROLEHAN KERAJAAN

Masalah salah guna perolehan kerajaan untuk pembiayaan politik tidak akan dapat di atasi tanpa kita meneliti terlebih dahulu faktor-faktor yang mendorong penyelewengan tersebut. Secara keseluruhannya fenomena yang berlaku ini banyak dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran berbanding faktor dalaman sistem pengurusan perolehan itu sendiri. Berikut adalah perincian ringkas faktor-faktor yang mempengaruhi salah guna perolehan kerajaan untuk pembiayaan parti politik dan kempen pilihan raya.

  • (1) Nilai Etika Yang Rendah

Masalah penyelewengan berpunca dari krisis etika yang melanda pemimpin politik, aktivis, penjawat awam, ahli perniagaan dan lain-lain yang tidak jujur atau cuai dalam melaksanakan tanggung jawab. Kekuatan moral merupakan senjata utama untuk menangkis sebarang bentuk penyelewengan kerana undang-undang dan penguatkuasaan pada hakikatnya tidak mampu menjamin kecekapan dan urus niaga bersih, lebih-lebih lagi jika penyelewengan itu melibatkan mereka yang menguasai sistem perundangan dan penguatkuasaan.

 

  • (2) Politik Wang Dan Fenomena Piramid Politik

Gejala politik wang bermaksud budaya rasuah politik yang berlaku dalam pilihan raya dan pemilihan dalaman parti politik. Rasuah begini boleh berlaku secara jelas iaitu dengan sogokan wang, perkhidmatan atau barangan kepada pengundi untuk mengundi sesuatu calon. Kadang kala sogokan ini juga berlaku secara tidak langsung iaitu melalui projek-projek yang dijanjikan akan dilaksanakan jika sesebuah parti menang. Dalam konteks politik wang dalam parti pula, terdapat fenomena piramid politik yang terbina bagi mengekalkan sokongan kepada individu atau kelompok tertentu dalam parti. Seseorang tokoh di peringkat pusat akan berusaha untuk meraih dan mengekalkan sokongan daripada pemimpin di peringkat negeri, manakala pemimpin di peringkat negeri pula berusaha untuk meraih dan mengekalkan sokongan daripada pemimpin di peringkat bahagian parlimen atau daerah. Pemimpin di peringkat daerah pula berusaha untuk meraih dan mengekalkan sokongan daripada pemimpin di peringkat cawangan atau kampung. Sementara pemimpin di peringkat cawangan pula berusaha untuk meraih dan mengekalkan sokongan daripada ahli-ahli di peringkat akar umbi. Semua usaha di setiap peringkat ini memerlukan modal kewangan yang besar. Dalam keadaan politik dalaman parti semakin sengit setiap tokoh akan bersaing untuk mendapatkan sumber kewangan yang besar untuk menjamin sokongan yang berkekalan.

 

  • (3) Budaya Politik Tongkat Dan Minda Subsidi

Terdapat kecenderungan sesetengah pihak untuk menjadikan politik sebagai jalan untuk mendapatkan habuan. Kecenderungan ini lama-kelamaan mewujudkan budaya politik tongkat iaitu kebergantungan kepada parti atau tokoh politik untuk membiayai kehidupan atau untuk mendapatkan bantuan di saat kesempitan. Dari sudut yang lain terdapat juga kecenderungan untuk bergantung yang keterlaluan kepada bantuan dari agensi kerajaan atau pemimpin politik, sehingga terhakis semangat untuk berdikari. Bahkan peranan wakil-wakil rakyat juga disalahertikan sebagai pemimpin yang bertanggungjawab untuk menyediakan perkhidmatan dan kebajikan semata-mata, sedangkan tugas asal mereka adalah sebagai anggota badan perundangan iaitu untuk membahas dan meluluskan undang-undang serta memantau perjalanan pentadbiran negara atau negeri.

  • (4) Persaingan Politik Yang Sengit

Apabila politik kepartian menjadi pertimbangan dalam perlaksanaan dasar-dasar kerajaan, maka wujud satu kecenderungan di kalangan masyarakat untuk kuat berpolitik. Lebihan dos dalam berpolitik ini menjadikan persaingan politik sentiasa sengit. Politik bukan sahaja menjadi agenda hangat sewaktu kempen pilihan raya umum, bahkan ia menjadi buah mulut seharian tanpa musim. Politik bukan sahaja melibatkan penggerak di peringkat pusat atau negeri, bahkan jentera politik melata hingga di ceruk-ceruk kampung dan taman-taman seluruh negara. Setiap parti mempunyai petugas parti berjumlah beribu-ribu orang. Aktiviti parti-parti politik bukan sahaja berbentuk aktiviti politik, bahkan menjangkau aktiviti kebajikan, pendidikan, kewanitaan, keagamaan, rekreasi, kesenian dan kebudayaan. Persaingan yang sengit ini menjadikan kos pengurusan parti menjadi amat tinggi.

 

  • (5) Sistem Naungan Politik Dalam Perniagaan

Sistem naungan politik wujud berdasarkan konsep saling bergantungan antara ahli politik dan tokoh perniagaan. Hubungan ini mungkin berlaku kerana wujudnya amalan mengutamakan rakan untuk mendapat habuan melalui kuasa kerajaan (kronisme) atau memberikan projek atau habuan melalui kuasa rasmi kepada ahli keluarga (nepotisme).

 

  • (6) Pemusatan Kuasa Kewangan Dan Kelemahan Dalam Semak Dan Imbang

Wujud pemusatan kuasa dalam pengurusan ekonomi dan kewangan negara terutamanya kerana kuasa Menteri Kewangan yang luas dalam menentukan perbelanjaan negara dan wujudnya halangan perundangan untuk membuat semak dan imbang. Halangan wujud dalam bentuk kaedah pengurusan kewangan dan tatacara perolehan itu sendiri. Tiada ruang diberikan kepada pemantau bebas untuk menilai perjalanan perolehan. Keadaan lebih buruk apabila jawatan Menteri Kewangan dan Perdana Menteri dipegang oleh orang yang sama.

 

  • (7) Ketelusan Yang Terhad

Masih banyak maklumat yang tidak didedahkan dalam pengurusan tender dan perolehan kerajaan. Misalnya maklumat berkenaan tender selain tender terbuka seperti tender runding terus tidak didedahkan secara terbuka. Begitu juga maklumat tentang kontrakor dan kandungan kontrak yang menggunakan kaedah PFI tidak diperincikan untuk maklumatnya walau pun kebanyakannya melibatkan harta dan beban yang kemudiannya akan ditanggung oleh rakyat. Perkembangan yang berlaku dalam pengurusan tender juga tidak didedahkan. Sebahagian daripada tender yang terleh diberikan menghadapi masalah dan ada yang diperbaharui kontrak dengan jumlah yang besar terutamanya bila berlaku kegawatan ekonomi. Namun perubahan-perubahan ini tidak didedahkan kepada awam. Perlu diingat juga terdapat undang-undang kawalan yang ketat seperti Akta Rahsia Rasmi yang menghalang maklumat ini didedahkan walau pun untuk tujuan membanteras penyelewengan.

 

  • (8) Kelemahan Dalam Sistem Perolehan Kerajaan

Sistem perolehan kerajaan sendiri mempunyai beberapa kelemahan yang membuka ruang kepada salah guna kuasa. Pemantauan terhadap penggunaan tender runding terus amat terhad sehingga sebahagiannya berjalan tanpa keperluan sebenar. Begitu juga sistem tender dalam GLC dan kontrak-kontrak menggunakan kaedah PFI. Kelemahan dalam sistem pemantauan selepas tender, terutamanya dalam tender yang melibatkan pembinaan juga berlaku.

 

  • (9) Kelemahan Dalam Penguatkuasaan

Kuasa untuk mengambil tindakan ke atas penyelewengan dan salah guna kuasa juga agak kurang berkesan. Laporan audit misalnya mencatatkan banyak ketirisan dan kelemahan dalam pengurusan kewangan negara termasuk berkaitan perolehan kerajaan. Namun begitu, amat sedikit daripada kelemahan itu disusuli dengan tindakan undang-undang.

Tegasnya, terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi salah guna kuasa dalam pengurusan perolehan kerajaan untuk pembiayaan politik. Hubungan antara pengurusan tender dan perolehan pada asalnya tidak perlu dan tidak signifikan, tetapi kini menjadi masalah kepada negara. Hubungan ini adalah ibarat satu putaran ganas (sila lihat Rajah 5.1) yang berlaku secara berterusan dan sukar untuk dihentikan. Bagi menghentikannya, ia memerlukan kepada kekuatan jiwa yang tinggi di samping kemahuan politik yang tulen. Perbincangan seterusnya adalah untuk melihat idea asas penyelesaian secara Islam yang wajar disemak.

 

PRINSIP ISLAM DALAM PEMBIAYAAN POLITIK
Pembiayaan politik wujud kerana wujudnya sistem demokrasi yang menyebabkan munculnya parti-parti politik dan amalan pilihan raya. Terdapat banyak kajian ilmiah yang cuba untuk mengaitkan sistem politik Islam dengan demokrasi. Sebahagian ulama[3] berpendapat bahawa demokrasi adalah bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam kerana ia meletakkan kedaulatan majoriti atas perintah Allah. Mereka mengaitkan prinsip kedaulatan rakyat dengan syirik kerana ia bertentangan dengan konsep tauhid (mengesakan Allah) yang berdasarkan kedaulatan Allah. Di samping itu, menurut ajaran Islam, sumber tertinggi undang-undang adalah Allah, dan manusia tidak mempunyai hak untuk membuat undang-undang yang bertentangan dengan undang-undang Allah.

Sebaliknya, sebahagian besar daripada ulama Islam secara positif menerima demokrasi sebagai sistem politik yang baik dalam politik zaman ini berbanding dengan pemerintahan diktator dan raja. Mereka juga bersetuju bahawa demokrasi adalah satu doktrin politik yang adil dan secara umum, tidak bercanggah dengan Islam.[4] Al Qaradhawi misalnya berhujah bahawa sistem pemerintahan Islam sangat dekat dengan prinsip demokrasi kerana ia adalah sebuah negara sivil ditubuhkan atas dasar persetujuan bersama (syura), kontrak politik (bai’ah), dan hak untuk memilih pemimpin melalui bebas dan adil pilihan raya. Selain itu, rakyat mempunyai hak untuk menilai pemimpin serta hak untuk memecat mereka.[5] Walau bagaimanapun, Al-Qaradhawi dan beberapa ulama lain mengehadkan pelaksanaan demokrasi kepada perkara-perkara yang tidak melanggar prinsip-prinsip Islam.[6]

Tidak dinafikan antara amalan demokrasi yang penting ialah penubuhan kerajaan melalui perwakilan politik yang dipilih melalui pilihan raya umum. Oleh kerana sistem politik Islam serasi dengan nilai-nilai demokrasi dan menyokong amalan perwakilan politik, proses pilihan raya jelas sesuai untuk menjadi sebahagian daripada sistem politik Islam. Malah, proses pilihan raya pada masa ini cara yang terbaik untuk memohon prinsip al-‘adalah (keadilan) al-syura (perundingan), al-bai’ah (sumpah setia) dan al-khalifah (wazir).
Al-Quran dan Hadis tidak menyebut dengan khusus tentang pilihan raya. Walau bagaimanapun, beberapa ayat al-Quran secara tidak langsung menunjukkan keperluan untuk mempunyai satu mekanisme yang berkesan untuk mempunyai wakil-wakil politik.

 

Allah SWT berfirman:

 

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا ٥٩

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.[7]

 

Muhammad Asad berhujah bahawa ungkapan ‘di antara kamu’ dalam ayat di atas menunjukkan bahawa kerajaan Islam mestilah berdasarkan persetujuan popular. Beliau menulis:
“Frasa itu merujuk kepada masyarakat Islam secara keseluruhannya atau, dengan lebih tepat lagi, untuk batang tubuh manusia yang diwakili. Sehubungan dengan itu, untuk memenuhi kehendak Islam, kepimpinan negeri ini mestilah mereka yang dipilih. Oleh yang demikian, kewujudan kuasa kerajaan yang tidak mewakili rakyat dikira menyalahi kehendak Islam.”[8]

Kewujudan parti politik pula adalah suatu yang diharuskan oleh syarak. Bahkan jika ia bertujuan untuk melaksanakan tugas menasihati pemerintah atau melaksanakan kebaikan, maka penubuhannya adalah satu tuntutan. Namun demikian ia tertakluk kepada syarat bahawa parti-parti itu mendatangkan maslahat atau kebaikan untuk manusia serta tidak mendatangkan mudarat, dan parti-parti itu mempunyai matlamat dan gerak kerja yang menepati dengan kehendak Islam.[9] Parti ini berfungsi sebagai entiti yang di luar kerajaan dan ia bukannya sebahagian dari kerajaan.

Namun begitu parti-parti politik tidak mempunyai kebebasan untuk mengambil hak yang bukan di bawah miliknya. Oleh yang demikian, harta dan kepentingan milik kerajaan tidak boleh dicampuradukkan dengan harta dan pemilikan parti. Konsep ini berdasarkan prinsip Islam dalam Al-Quran (Al-Nisa’:29):

 

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ إِلَّآ أَن تَكُونَ تِجَٰرَةً عَن تَرَاضٖ مِّنكُمۡۚ وَلَا تَقۡتُلُوٓاْ أَنفُسَكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُمۡ رَحِيمٗا ٢٩

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.

Pemimpin kerajaan yang menguruskan perolehan juga bertanggungjawab untuk mengelakkan salah guna kuasa untuk kepentingan sendiri atau parti. Membiayai parti dengan mengambil manfaat dari harta kerajaan adalah seumpama mengambil harta milik rakyat untuk diserahkan kepada kumpulan yang kecil tanpa hak. Jika ia berleluasa, maka akan berlakulah masalah kekayaan yang hanya berlegar di kalangan orang yang kaya dan berkuasa semata-mata. Allah SWT berfirman (Surah Al-Hasyr: 7):

 

… كَيۡ لَا يَكُونَ دُولَةَۢ بَيۡنَ ٱلۡأَغۡنِيَآءِ مِنكُمۡۚ و… ٧

…(Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu ….

Menggunakan kuasa politik untuk membiayai parti bukan sahaja bertentangan dengan amanah sebagai pemimpin, bahkan juga bertentangan dengan konsep keadilan. Keadilan berlaku dari dua aspek iaitu pertamanya kerana wujud persaingan tidak seimbang antara parti kerajaan dan pembangkang dan keduanya kerana hak pemberian kerja atau pembelian dalam perolehan diberikan tanpa pertimbangan yang tepat.

Prinsip keadilan dan kesaksamaan dalam proses pilihan raya penting dari sudut pandangan Islam. Mereka yang berkuasa terutamanya badan pengurusan pilihan raya dan parti pemerintah mesti berlaku adil semua calon-calon, parti-parti politik dan pengundi. Al-Quran menganjurkan orang untuk menjadi adil, walaupun untuk mereka musuh atau saingan politik. Allah berfirman:

 

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٰمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَ‍َٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ٨

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.[10]

 

PENYELESAIAN SECARA ISLAM
Secara ringkasnya penyelesaian masalah salah guna kuasa dalam perolehan kerajaan untuk pembiayaan politik sewajarnya mengambil kira prinsip-prinsip Islam. Berikut adalah empat aspek penyelesaian secara Islam yang perlu diberikan perhatian:

 

  • (1) Memastikan pemimpin, pentadbir, pegawai kerajaan, ahli politik dan peniaga melaksanakan tanggung jawab mereka dengan penuh amanah berasaskan prinsip Islam.
  • (2) Memastikan urusan pengurusan perolehan menepati prinsip syariah Islam. Pematuhan kepada syariah akan memastikan tidak berlaku perkara yang haram seperti riba, gharar dan monopoli.
  • (3) Mengambil tindakan tegas kepada rasuah dan penyelewengan sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam.
  • (4) Mendidik mereka yang terlibat dalam pengurusan tender serta ahli politik dan peniaga agar sentiasa mengelakkan diri dari terlibat dalam penyelewengan dan salah guna kuasa.

 

KESIMPULAN

Allah memberikan kuasa dan kekayaan di atas dunia ini sebagai satu bentuk ujian kepada manusia untuk menilai sama ada mereka benar-benar mematuhi kehendak Allah atau tidak. Kekuatan keimanan amat penting untuk memastikan pengurusan kewangan negara berjalan menurut prinsip keadilan, ketelusan dan kecekapan. Walau bagaimana pun, setiap manusia mempunyai kelemahan yang tersendiri. Oleh yang demikian, kerajaan memerlukan sistem yang mantap bagi memastikan pengurusan kekayaan dan politik berjalan dengan baik, bersih dan berkesan.

Dalam kontek amalan demokrasi menurut Islam, pembiayaan politik merupakan satu urusan yang tidak boleh dielakkan, namun sumber serta cara perbelanjaannya mestilah menepati kehendak Al-Quran dan Sunnah. Amalan pembiayaan politik juga tidak boleh bercanggah dengan konsep kejujuran, keadilan dan ketelusan yang menjadi asas kepada sistem pemerintahan Islam. Amalan menyalahguna kelonggaran yang ada dalam undang-undang berkaitan pembiayaan politik merupakan satu amalah yang bercanggah dengan Islam dan tidak boleh diteruskan. Pihak yang terlibat denga kesalahan ini wajar dikenakan tindakan agar ia tidak menular menjadi wabah yang mengahncurkan negara dan ummah.

 

RUJUKAN

 

Andrew Aeria. 2005. “Sarawak State Elections and Political Patronage,” in Mavis Puthucheary & Noraini Othman (eds.). Elections and Democracy in Malaysia. Bangi: Penerbit UKM.

Bryan, Shari and Denise Baer. 2005. Money in Politics: A Study of Party Financing Practices in 22 Countries. Washington, DC: National Democratic Institute of International Affairs.

Committee on Standards in Public Life (UK). 1994. The Funding of Political Parties in the United Kingdom:Standards in Public Life (Fifth Report of the Committee on Standards in Public Life – Chairman: Lord Neill of Bladen, QC) (Neill Committee Report).

Edmund Terence Gomez. 1991. Money Politics in the Barisan Nasional. Kuala lumpur: Forum.

Gene Ward. 2003. Money and Politics Handbook: A Guide to Increasing Transparency in Emerging Democracies. Washington D.C.: Office of Democracy and Governance of the US Agency for International Development.

Gomez, Edmund Terence, and Jomo K.S. 1998. Malaysia’s Political Economy: Politics, Patronage and Profits. Cambridge University Press.

IFES. 2005. Enforcing Political Finance Laws: Training, Handbook II IFES Training in Detection and Enforcement (TIDE) Program. Washington: International Foundation for Electoral System.

Johnson, Simon and Todd Mitton. 2003. “Cronyism and Capital Controls: Evidence from Malaysia.” Journal of Financial Economics, Elsevier, 67(2): 351-382.

Josie M  Fernandez. 2010. Reforming Political Financing In Malaysia. Kuala Lumpur: Transparency International Malaysia.

Magnus Öhman and Hani Zainulbhai. 2009. Political Finance Regulation: The Global Experience. Washington: International Foundation for Election Systems (IFES).

Marcin Walecki. 1999. IFES Political Finance White Paper Series: Political Money and Corruption. Washington: International Foundation for Electoral System.

Marcin Walecki et al. 2009. Public Funding Solutions for Political Parties in Muslim-Majority Societies. Washington: International Foundation for Electoral System.

Office of Democracy and Governance. 2003. Money and Politics Handbook: A Guide to Increasing Transparency in Emerging Democracies. Washington: US Agency for International Development.

Secretary of State for the Home Department (the United Kingdom). 1999. The Funding of Political Parties in the United Kingdom: The Government’s proposals for legislation in response to the Fifth Report of the Committee on Standards in Public Life.

UN General Assembly resolution 58/4 of 31 October 2003 (the United Nation Convention against Corruption (UNCAC), art. 7(3))

Frøystad, M., Heggstadi, K. & Fjeldstad, O. 2010. Linking Procurement and Political Economy. London: UK Department for International Development.

 

 

[1] Rujuk United Nations Centre For Human Rights, Professional Training Series No.2 Human Rights and Elections: A Handbook on the Legal, Technical and Human Rights Aspects of Elections. UN doc HR/P/PT/2 (1994); The Inter-Parliamentary Union, Inter-Parliamentary Council (154th session). Declaration on Criteria for Free and Fair Elections (Paris, 26 March 1994); Conference on Security and Co-operation in Europe, Document of the Copenhagen Meeting of the Conference on the Human Dimension: 29 June 1990: 29 I.L.M. 1305 (1990)

 

[2] Lihat antaranya Aeria, Andrew. (2005). Sarawak State Elections and Political Patronage. In Mavis Puthucheary & Noraini Othman (eds.), Elections and Democracy in Malaysia. Bangi: Penerbit UKM; Gomez, Edmund Terence, and Jomo K.S. (1998). Malaysia’s Political Economy: Politics, Patronage and Profits. (2nd edn.). Kuala Lumpur: Cambridge University Press; Gomez, Edmund Terence. (2004). Politics of the Media Business: The Press under Mahathir. In Bridget Welsh (ed.). Reflections: The Mahathir years, 475-85. Washington DC: Johns Hopkins University; Gomez, Edmund Terence. (1991). Money Politics in the Barisan Nasional. Kuala Lumpur: Forum; Fernandez, Josie M. (ed.). (2010). Reforming political financing in Malaysia. Kuala Lumpur: Transparency International Malaysia.

[3] Di antara mereka adalah Abu Ala Maududi, Sayyid Qutb and Sulaiman Muhammad Al-Tomawi. Rujuk Sayyid Qutb, Ma’alim fi al-tariq (Beirut: Dar al-Shuruq, 1982) , Abu Ala Maududi, Islamic Law and constitution ed. Khurshid Ahmad. (Lahore: Islamic Publication, 1967), Sulaiman Muhammad Al-Tomawi, Al-Nuzum al-siyasah wa al-qanun al-dusruri (Dar Al-Fikr Al-Arabi, 1988), dan Zeenath Kausar, Democratization and the contemporary Islamic resurgence: democracy versus shuracracy (Selangor: Thinker’s Library Sdn Bhd, 2008)

[4] Lukman Thaib. Discourse on Islamic political thought (Kuala Lumpur: University of Malaya Press, 2006) at 29

[5] Yusuf Al-Qaradawi, Agama dan politik: Wawasan ideal dan menyanggah pemikiran Sekular-Liberal (Kuala Lumpur: Alam Raya Enterprise, 2009) at 163

[6] Namun begitu terdapat pandangan cedikiawan Islam yang liberal yang lebih longgar dan terbuka dalam penerimaan demokrasi seperti dalam Abdelwahab El-Affandi, Who needs an Islamic state? (2nd edition) (United Kingdom: Malaysia Think Tank London, 2008), Kabuli, Faizi Niaz. Democracy according to Islam (Pennsylvania: Dorrance Publishing Co. Inc,1994), dan Reza Aslan “Islam is Compatible with Democracy” In Islamic Fundamentalism, edited by David M. Haugen (Detroit: Greenhaven Press, 2008) 89-99.

[7] Surah Al-Nisa (4) : 59

[8]  Muhammad Asad, The principles of state and government in Islam (Kuala Lumpur:   Islamic Book Trust, 1980) hlm. 36

[9] Yusuf Al-Qaradawi, State in Islam (Cairo, Egypt: El-Falah, 1998) hlm. 257

[10] Surah Al-Ma’idah (5) : 8