Nurhafilah Musa, Faridah Jalil, Muhammad Fathi Yusof, Nizamuddin Alias, Mohd Sayuti Hassan, Shafie Ngah, Mohd Na’zeri Mahrin

Dalam (Editor Sayuti Hasan) Perkembangan Dewan Undangan Negeri Terengganu: Pemantapan Dan Cabaran. Pejabat Dewan Undangan Negeri Terengganu. Pp. 104-124

Abstrak

Bab mengupas secara umum tentang hasil kajian yang dijalankan oleh Panel Kajian Pemantapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu kepada Jawatankuasa Pengurusan Dewan, DUN Terengganu tentang satu kajian rintis bagi menyemak Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap (PPT DUNT) sebagai salah satu usaha untuk pemantapan dan penambahbaikan DUN Terengganu.  Penulisan ini mengesyorkan agar satu semakan dibuat ke atas PPT DUNT dan mencadangkan halatuju yang perlu menjadi rujukan dalam semakan berkenaan.

  1. LATAR BELAKANG

Panel Kajian Pemantapan DUN Terengganu ditubuhkan di bawah seliaan Yang Berhomat Speaker DUN Terengganu pada sejak bulan Ogos 2018 dan diperkukuhkan melalui penubuhan di bawah Jawatankuasa Pengurusan Dewan, DUN Terengganu  berkuatkuasa 1 Januari 2019. Panel Kajian ini diberikan tugas untuk memberikan cadangan bagi memantapkan pengurusan DUN Terengganu sehingga 31 Disember 2019. Antara peranan

  • Penulisan ini adalah huraian kepada Kertas Polisi Kajian Rintis Peraturan-­‐peraturan dan Perintah-­‐ perintah Tetap Dewan Undangan Negeri Terengganu yang merupakan sebahagian daripada Penyelidikan Penambahbaikan Dewan Undangan Negeri Terengganu yang dijalankan pada tahun 2019.

Panel Kajian Pemantapan DUNT adalah untuk mengenal pasti, membincangkan dan meneliti perkara-perkara berkaitan dengan DUN Terengganu dari sudut asas perundangan, sistem pentadbiran, amalan semasa dan lalu, dan isu-isu sekitarnya.

Panel ini juga diamanahkan untuk membuat kajian terhadap sistem dan amalan terbaik badan perundangan di peringkat Persekutuan, di negeri-negeri lain di Malaysia dan juga di negara-negara lain. Panel Kajian mencadangkan perubahan undang-undang dan peraturan yang diperlukan bagi pemantapan dan penambahbaikan DUNT. Sehubungan dengan itu, panel ini telah mengadakan satu kajian rintis berkaitan semakan PPT (PPT), bagi mencapai objektif berikut:

  1. Mengenalpasti aspek yang memerlukan penambahbaikan bagi PPT DUNT menggunakan kaedah kajian analisis jurang (gap analysis).
  2. Mencadangkan halatuju bagi semakan komprehensif ke atas PPT DUNT.

Kajian rintis semakan PPT DUNT menggunakan kaedah kajian analisis jurang, yang melibatkan empat langkah, iaitu:

  1. Mengkaji kedudukan semasa PPT DUNT.
  • Penetapan sasaran yang bersumberkan Peraturan-Peraturan Majlis.

Mesyuarat Dewan Rakyat dan Peraturan Tetap Dewan Selangor sebagai penanda aras dan bidang kuasa lain sebagai justifikasi serta merujuk kepada prinsip-prinsip pentadbiran dalam sistem demokrasi.

Undangan Negeri (other jurisdictions) asas amalan baik

  • Mengenalpasti jurang yang terlihat berdasarkan perbandingan yang dilakukan antara PPT DUNT dengan sasaran yang ditetapkan dengan merujuk Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan Peraturan Tetap Dewan Undangan Negeri Selangor dan bidang kuasa lain (other jurisdictions).
  • 4.             Mencadangkan halatuju penambahbaikan berdasarkan jurang yang terlihat selepas kajian perbandingan selesai untuk memantapkan PPT DUNT seiring dengan penanda aras amalan terbaik seperti bidang kuasa lain (other jurisdictions) yang dirujuk dalam kajian sebagai perbandingan.

Kajian ini mendapati bahawa terdapat keperluan mendesak bagi menjalankan satu semakan yang komprehensif ke atas PPT DUNT.

  • RASIONAL SEMAKAN

DUN merupakan institusi perundangan di peringkat negeri yang memainkan peranan penting dalam pemerintahan kerajaan dan pemantapan amalan demokrasi dalam Negeri. Oleh itu, amat penting untuk PPT DUNT dikaji dan disemak semula untuk memastikan kesesuaian dengan peredaran zaman. Umumnya, badan perundangan di serata dunia yang mengamalkan sistem Westminster, dan Parlimen di peringkat Persekutuan Malaysia dan juga di beberapa DUN telah mengambil inisiatif dan langkah-langkah untuk menambahbaik dan memantapkan lagi pentadbiran dan peranan yang dimainkannya.

Selain itu, semakan PPT DUNT perlu dijalankan untuk memenuhi aspirasi kerajaan negeri Terengganu. Kerajaan Negeri Terengganu mempunyai ruang yang amat luas untuk meningkatkan kualiti tadbirurus dan kecemerlangan pengurusan DUN, lebih-lebih lagi selepas berlakunya perubahan dalam tampuk pemerintahan kerajaan. Semakan Perintah-Perintah Tetap DUNT untuk dikemaskini boleh mengukuhkan amalan demokrasi dan keunggulan dalam pengurusan DUNT dan ini boleh dijadikan asas kepada kecemerlangan pemerintahan kerajaan Negeri demi untuk melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.

Cadangan semakan adalah seiring dengan visi dan misi DUN Terengganu untuk menjadi sebuah badan perundangan yang terbilang. Niat untuk bergerak

kehadapan dan meningkatkan pencapaian terserlah apabila Jawatankuasa Terpilih Pengurusan Dewan, iaitu jawatankuasa di dalam DUNT, telah mewujudkan satu Panel Penyelidik untuk menjalankan kajian dan mengemukakan cadangan penambahbaikan dalam aspek pentadbiran, pengurusan dan peranan DUNT.

Panel Penyelidik berpendapat bahawa semakan PPT DUNT akan menyumbangkan hasil yang boleh digunapakai untuk menambahbaik DUN Terengganu untuk mencapai visi dan misinya. Di samping itu, semakan ini perlu kerana mengambil kira perkembangan teknologi dan Revolusi Industri 4.0. Kecemerlangan dalam memanfaatkan teknologi tercanggih merupakan salah satu faktor penting dan kritikal untuk pengurusan dan pentadbiran badan perundangan yang mantap dan baik. Terdapat banyak penambahbaikan yang boleh dilakukan bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran, kemajuan pengurusan maklumat dan ketampakan atas talian (online visibility) tetapi harus seiring dan diberi punca kuasa di bawah PPT DUNT.

Oleh itu, semakan harus mengambil kira penyesuaian peraturan dan perintah di dalam PPT DUNT dengan perkembangan teknologi dan Revolusi Industri 4.0. Semakan ini memperlihatkan langkah-langkah pembaharuan yang signifikan terutamanya dari aspek pembangunan sumber. Penambahbaikan dari sudut perancangan sumber manusia, pembangunan dan latihan serta pengurusan bakat amat perlu dilakukan dengan teliti dan strategik untuk memastikan penggunaan teknologi canggih dalam tadbirurus cekap dan mantap.

3. PRINSIP-PRINSIP ASAS SEMAKAN DAN PINDAAN

Berdasarkan kajian rintis, semakan yang dicadangkan perlu dibuat berasaskan prinsip-prinsip asas yang tertentu bagi memastikan PPT DUNT tegak di atas konsep yang jelas dan kukuh sesuai dengan sejarah negeri Terengganu dan pendekatan semasa kerajaan yang berteraskan prinsip Islam. Oleh yang demikian, mengambil kira amalan terbaik demokrasi sebagai sandaran yang

penting, kajian ini mencadangkan lima prinsip asas yang perlu dijadikan rujukan utama iaitu:

1.  Syura

Syura merujuk kepada konsep mesyuarat dan rundingan yang diadakan antara pihak-pihak yang berkepentingan dalam proses membuat keputusan. Syura merupakan kaedah universal yang diguna pakai di semua peringkat membuat keputusan. Badan perundangan merupakan badan pembuat keputusan berkaitan hal ehwal undang-undang.

2.  ‘Adalah

Adalah merujuk kepada konsep keadilan. Kerajaan yang terdiri daripada badan eksekutif, legislatif dan kehakiman bertanggungjawab membuat keputusan yang berasaskan keadilan kepada semua pihak. Keadilan dalam Islam bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Dalam konteks badan perundangan, undang-undang yang dibahaskan dan diluluskan perlulah mengambil kira pelaksanaan yang adil dan sesuai dengan keadaan dan masyarakat.

3.  Hisbah

Hisbah adalah konsep yang berkait rapat dengan muhasabah iaitu tindakan menilai perbuatan yang telah dilakukan. Dalam pemerintahan Islam, hisbah merupakan institusi yang berfungsi sebagai semak dan imbang kepada kerajaan untuk memastikan tidak ada sebarang salah guna kuasa berlaku. Orang ramai yang tidak berpuas hati dengan keputusan pemerintah boleh membuat pengaduan kepada badan hisbah. Bagi badan perundangan, jawatankuasa yang diwujudkan di bawah Speaker Dewan boleh memainkan peranan semak dan imbang ke atas keputusan yang dibuat oleh pihak eksekutif.

4.  Adab

Adab membawa maksud akhlak dan tatasusila. Dalam konteks badan perundangan di mana berlaku perdebatan dan tegur-menegur antara pihak pemerintah dan ADUN, proses perdebatan dan teguran perlulah berlaku dengan penuh beradab tanpa mencerca mana-mana pihak. Adab juga boleh dikaitkan dengan prosedur DUN kerana proses perundangan melibatkan pelbagai pihak dan prosedur yang perlu diambil kira untuk memastikan rang undang-undang yang dibentangkan telah melalui proses yang sepatutnya.

5.  Mas’uliyah

Mas’uliyah atau kebertanggungjawaban merujuk kepada konsep amanah. Sebagai ADUN yang dipilih oleh rakyat, mereka  bertanggungjawab menunaikan amanah sebaik mungkin. Jawatan yang dipegang merupakan amanah daripada Allah yang akan ditanya dan bukan satu kemasyhuran untuk dibanggakan. Kesedaran bahawa tugas sebagai ADUN merupakan satu amanah yang berat yang akan dipersoalkan pada hari Akhirat nanti akan menjadi pendinding utama yang boleh menghalang ADUN daripada terlibat dalam sebarang salah laku atau salah guna kuasa dalam melaksanakan tugas.

  • HALATUJU SEMAKAN

Kajian rintis mencadangkan penambahbaikan untuk memantapkan PPT DUNT seiring dengan prinsip asas yang dicadangkan dan penanda aras amalan terbaik dari bidang kuasa lain yang dirujuk dalam kajian sebagai perbandingan. Semakan komprehensif ke atas PPT DUNT perlu dilaksanakan segera bagi mengatasi masalah sedia ada dan bagi memenuhi visi DUN Terengganu untuk menjadi institusi perundangan yang terbilang.

Secara umumnya terdapat dua pilihan bagi semakan ini iaitu:

Pilihan Pertama: memansuh  PPT sedia ada untuk diganti baru

Pilihan Kedua: mengekal PPT sedia ada dengan pindaan dan peruntukan tambahan.

Melihat kepada keluasan skop penambahbaikan, pilihan pertama tidak dapat dielakkan. Walau bagaimanapun, jika terdapat keperluan mendesak pilihan kedua boleh dilaksanakan segera. Untuk melaksanakan pilihan pertama, penyelidik mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Khas Semakan Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap DUNT.

5. SKOP SEMAKAN

Semakan ini wajar meliputi keseluruhan aspek PPT DUNT termasuklah struktur PPT yang melibatkan nama peraturan, susunan kandungan dan jadual-jadual, dan juga isi kandungan PPT iaitu keseluruhan peruntukan undang-undang dan juga istilah-istilah yang digunakan dan pemodenan bahasa. Senarai cadangan semakan adalah seperti berikut:

  1. Nama Peraturan Tetap
  1. Bahasa dan penulisan
  1. Penentuan naskhah sahih
  1. Susunan Kandungan
  • Kuasa Yang di-Pertua Dewan
  • Urusan mesyuarat pertama DUN
  • Perbahasan
  • Jawatankuasa
  1. Peranan Pembangkang
  • Sumber manusia
  • Penggunaan teknologi

i. Nama Peraturan Tetap (PPT)

Nama penuh PPT DUNT ialah Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Di Dewan Rakyat, peraturan tetapnya dinamakan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat. Di peringkat Negeri pula, contohnya, Dewan Negeri Selangor oleh menamakan peraturan tetapnya sebagai Peraturan-Peraturan Tetap Bagi Dewan Negeri Selangor. Oleh itu, kajian ini mencadangkan pindaan kepada nama PPT DUNT supaya menjadi lebih ringkas untuk disebut.

ii. Bahasa dan penulisan

Versi asal PPT DUNT dalam Bahasa Melayu ditulis dalam tulisan Jawi dan tiada naskah sahih bagi penulisan menggunakan tulisan Rumi. Versi Bahasa Inggeris PPT DUNT ditulis dalam tulisan Rumi. Di samping itu, laras bahasa PPT DUNT dalam versi Bahasa Melayu adalah berasaskan Bahasa Melayu Klasik dan bukan menggunakan laras bahasa terkini dalam Bahasa Melayu Moden.

Jika dilihat secara perbandingan, Peraturan        Mesyuarat        Dewan        Rakyat

mempunyai dua versi bahasa, iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Versi Bahasa Melayu ditulis dalam tulisan Rumi dan menggunakan laras bahasa terkini. Di Selangor pula, Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Negeri (PPT DN) Selangor menggunakan penulisan Rumi untuk versi Bahasa Melayu dan laras bahasa terkini.

Oleh itu, kajian ini mencadangkan agar pihak DUN Terengganu merujuk dan mendapatkan konsultasi dari pakar bahasa untuk meminda, mengolah semula dan mengemaskini laras bahasa yang digunakan dalam PPT DUNT supaya sesuai dengan laras bahasa terkini dan tidak lagi berasaskan Bahasa Melayu klasik.

iii. Penentuan naskhah sahih

PPT DUNT ditulis dalam tulisan Rumi bagi versi Bahasa Inggeris dan tulisan Jawi bagi versi Bahasa Melayu. Di peringkat Persekutuan, kebiasaannya naskhah sahih ialah naskhah dalam Bahasa Inggeris. Berhubung perkara ini, kajian mencadangkan agar pihak DUNT membuat keputusan penentuan naskhah sahih yang akan menjadi rujukan muktamad.

iv. Susunan Kandungan

Terdapat beberapa perkara boleh dilihat berhubunng sususan kandungan PPT DUNT. Antaranya PPT DUNT tidak mempunyai ‘preamble’ (mukadimah). PPT ini juga tidak mempunyai pernyataan punca kuasa yang menjadi asas kepada kewujudan institusi DUN Terengganu sebagai cabang Legislatif negeri Terengganu. Selain itu, PPT DUNT juga tidak mempunyai bahagian “Tafsiran” yang menerangkan dan memberi definisi kepada istilah-istilah yang digunakan.

Walaubagaimanapun, Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, mempunyai preamble dan pernyataan punca kuasa pada muka surat (ii) iaitu selepas muka hadapan. Pernyataan punca kuasa menerangkan bahawa Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat ini dibuat oleh Dewan Rakyat menurut Perkara 62(1) Perlembagaan Persekutuan. Merujuk kepada PPT DN Selangor pula, PPT negeri itu mempunyai bahagian “Tafsiran” yang memberi penerangan maksud kepada istilah-istilah yang digunakan.

Justeru, kajian ini mencadangkan agar DUNT melakukan pindaan kepada PPT DUNT supaya pernyataan punca kuasa di letak di bahagian hadapan PPT DUNT sebagai ‘preamble’ (mukadimah) dan diikuti dengan bahagian definisi dan tafsiran istilah-istilah dan perkataan-perkataan penting dalam PT.

v. Kuasa Yang di-Pertua Dewan

PPT DUNT tidak ada peruntukan yang menggambarkan peranan dan kuasa yang dipegang oleh Yang di-Pertua Dewan sebagai pengerusi tetap sidang mesyuarat Dewan. PPT DUNT juga tidak mempunyai peruntukan yang menyatakan bahawa jika Yang di-Pertua tidak hadir, maka beliau boleh digantikan oleh Timbalan Yang di-Pertua Dewan atau mana-mana ahli lain sekiranya tiada pelantikan Timbalan Yang di-Pertua Dewan dibuat, untuk mempengerusikan sidang mesyuarat Dewan.

Sebaliknya di Parlimen Malaysia, Peraturan Mesyuarat 7(1) hingga 7(5) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat menyatakan peranan Yang di-Pertua sebagai pengerusi mesyuarat Dewan, dan jika Yang di-Pertua tidak hadir, beliau boleh digantikan oleh Timbalan Yang di-Pertua, atau mana-mana ahli yang dipanggil oleh Majlis (dengan usul daripada seorang Menteri) apabila dimaklumkan oleh Setiausaha Dewan bahawa tiada pelantikan dan terdapat kekosongan pada jawatan Timbalan Yang di-Pertua, untuk mempengerusi sidang mesyuarat Dewan. Kuasa dan peranan yang dimainkan oleh Pengerusi Mesyuarat Dewan yang menggantikan Yang di-Pertua sebagai Pengerusi, dan perbezaan interpretasi pemahaman antara Speaker dan Pengerusi juga diterangkan dalam PM 7(5).

Di Selangor pula, Peraturan Tetap 6(1) hingga 6(5) PPT DN Selangor menyatakan peranan Speaker sebagai pengerusi mesyuarat Dewan, kuasa dan peranan yang diberi kepada Timbalan Speaker atau ahli yang mempengerusi mesyuarat Dewan atas ketidakhadirannya, dan penerangan beza interpretasi pemahaman antara Speaker dan pengerusi.

Oleh itu, kajian ini berpandangan bahawa DUNT boleh melakukan pindaan kepada PPT DUNT untuk menyatakan dengan jelas peranan dan kuasa Yang   di-Pertua Dewan sebagai Pengerusi mesyuarat Dewan, dan hanya boleh diganti dengan Timbalan Yang di-Pertua atau ahli lain atas ketidakhadirannya sahaja.

vi. Urusan Mesyuarat Pertama DUN

Peraturan 15 PPT DUNT membincangkan peraturan Mesyuarat Pertama di bawah bahagian Urusan Mesyuarat (Order of Business). Peraturan 15 menyatakan bahawa pada hari Mesyuarat Pertama selepas Pilihan Raya Negeri, akan diadakan pemilihan Speaker (P 15(a)), majlis ikrar dan mengangkat sumpah Speaker (P 15(b)), dan majlis ikrar dan mengangkat sumpah ADUN      (P 15(c)).

Menurut PPT DN Selangor, dalam Bahagian I – Urusan Mesyuarat PPT DN Selangor menyatakan peraturan Mesyuarat Pertama selepas pilihan raya Negeri, yang menetapkan pada hari pertama mesyuarat Dewan Negeri diadakan selepas pilihan raya Negeri, akan diadakan pemilihan Speaker (PPT 1(a)) dan majlis mengangkat sumpah bagi Speaker (PPT 1(b)) dan ahli-ahli Dewan (PPT 1(c)).

Kerusi bagi setiap ahli juga ditetapkan pada mesyuarat pertama dan kekal pada mesyuarat yang seterusnya menurut ketetapan dan aturan Setiausaha Dewan (PPT 2(1)), namun selepas itu akan dipertimbangkan semula kedudukan semua ahli oleh Speaker seperti yang diatur atau boleh diubah susunan mengikut kehendaknya (PPT 2(2)) dan dimuktamadkan keputusannya setelah dilantik sebagai Speaker (PPT 2(3)).

Oleh itu, DUN Terengganu wajar untuk membuat pindaan kepada isi kandungan PPT DUNT dengan meletakkan bahagian Urusan Mesyuarat di bahagian yang awal serta menyatakan aturan mengadakan sidang pertama DUN Terengganu selepas selesainya Pilihanraya Negeri.

vii. Perbahasan

Jika diamati, PTT DUNT tidak mengandungi peruntukan yang menggariskan tertib dan tatacara berkelakuan baik di dalam Dewan bagi ahli yang tidak bercakap semasa mesyuarat bersidang. PT 46(xiii)(a) hingga (d) menyatakan

bahawa ahli tidak boleh menggunakan bahasa kurang sopan atau biadab, tidak boleh menyebut nama ahli lain, dan mengeluarkan sangkaan jahat ke atas ahli lain. Ini menggariskan adab ketika ahli bercakap semasa mesyuarat bersidang.

Di Parlimen Malaysia, Peraturan Mesyuarat 41(a) hingga (f) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat menyatakan bahawa semasa mesyuarat bersidang, ahli yang tidak bercakap dinasihatkan untuk berkelakuan baik dan beradab tertib, iaitu masuk, keluar, dan membawa diri dalam Dewan dengan tertib adab, tidak boleh melintas ruangan tengah Dewan tanpa hal, tidak boleh membaca apa-apa bahan bacaan yang tiada kena mengena tepat dengan isu perbahasan, tidak boleh merokok di dalam Dewan, harus diam dan tidak mengganggu ahli yang sedang bercakap dengan cara kurang adab, dan akhir sekali hendaklah memakai pakaian kebangsaan atau lounge suit di dalam Dewan.

Tambahan itu, PPT 41(a) hingga (e) PPT DN Selangor menyatakan adab ahli yang tidak bercakap semasa mesyuarat bersidang sama serupa sebagaimana yang termaktub dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat kecuali adab yang menuntut pemakaian pakaian kebangsaan atau lounge suit di dalam Dewan semasa mesyuarat bersidang.

Oleh itu, kajian ini mencadangkan agar DUN Terengganu melakukan pindaan kepada bahagian Perbahasan PPT DUNT dengan memasukkan adab dan tertib kelakuan yang harus diamalkan oleh ahli yang tidak bercakap semasa mesyuarat bersidang.

viii. Jawatankuasa

Berhubung aspek jawatankuasa, Peraturan Tetap 107 PTT DUNT menyatakan bahawa Penyata yang dikemukakan oleh mana-mana 3 Jawatankuasa Terpilih akan diletakkan di atas meja di dalam Dewan atau dibentangkan mengikut cara yang ditetapkan dan diputuskan oleh Majlis. Tiada peraturan yang menyatakan bahawa Menteri Besar atau Badan Eksekutif perlu memberi maklum balas

kepada penyata yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Terpilih tersebut. Selain itu, JK Terpilih Pengurusan Dewan diwujudkan di bawah Peraturan Tetap 103 DUNT melalui usul dan tidak bersifat sebagai standing committee seperti Jawatankuasa Kira-Kira Wang (Peraturan Tetap 110(1)).

Jika di lihat secara perbandingan, Peraturan Tetap 76(7) PPT DN Selangor menyatakan bahawa sekiranya terdapat saranan dalam penyata yang dikemukakan oleh mana-mana Jawatankuasa Pilihan atau Jawatankuasa Pilihan Khas yang telah dibentangkan dan diterima dalam Dewan, Menteri Besar hendaklah memberi maklum balas berkenaan saranan tersebut kepada Dewan dalam mesyuarat seterusnya.

Berkenaan standing committees dalam DN Selangor, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Kerajaan, Jawatankuasa Pilihan Pejabat Daerah dan Tanah, dan Jawatankuasa Pilihan Pihak Berkuasa Tempatan, hendaklah dilantik pada awal tiap-tiap penggal persidangan (Perintah Tetap 68(1), 68A(1), dan 68B(1)), manakala Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Tetap dan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan hendaklah dilantik dengan seberapa segeranya selepas dimulakan tiap-tiap penggal persidangan (Perintah Tetap 69(1)&(2(b), dan 70(1)&(2)(b)).

Justeru, kajian ini berpandangan bahawa DUN Terengganu wajar melakukan pindaan kepada PPT DUNT dengan memasukkan tanggungjawab pihak Eksekutif untuk memberi maklum balas kepada penyata Jawatankuasa Pilihan yang telah diluluskan dalam tempoh masa yang ditetapkan. Selain itu, pindaan juga perlu dilakukan kepada PPT DUNT untuk Jawatankuasa Terpilih Pengurusan Dewan dilantik pada awal tiap-tiap penggal persidangan dengan seberapa segeranya selepas bermulanya persidangan itu. Ini akan menyifatkan Jawatankuasa ini menjadi standing committee.

ix. Peranan Pembangkang

Secara umumnya, PPT DUNT tidak mempunyai peraturan yang menetapkan peranan pembangkang, sama ada ketua pembangkang atau ahli-ahli pembangkang. Skop peranan yang dipegang pembangkang, sama ada sebagai ahli dewan semasa persidangan berjalan, mahupun dalam jawatankuasa sebagai ahli yang terlibat dalam jawatankuasa, tidak diterangkan dalam PPT DUNT.

Merujuk kepada amalan Dewan Rakyat pula, Peraturan Mesyuarat 77(1) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat tidak menuntut ketua pembangkang untuk memegang jawatan sebagai Pengerusi PAC, tetapi menjadi amalan yang baharu iaitu Pengerusi PAC mesti di kalangan ADUN  dari parti pembangkang. Namun begitu, perbincangan untuk pindaan menetapkan ketua pembangkang sebagai Pengerusi PAC dan untuk ketetapan itu dipinda masuk PMDR sedang berjalan. Sebaliknya Peraturan Tetap 68(1) PPT DN Selangor menyatakan bahawa ketua pembangkang mesti menjadi Pengerusi PAC.

Oleh yang demikian, DUN Terengganu perlu mengambil perhatian untuk melakukan pindaan PPT DUNT untuk mengukuhkan peranan pembangkang dengan meminda dan meletakkan ketua pembangkang sebagai pengerusi PAC/ Jawatankuasa Kira-Kira Wang Kerajaan untuk mengelakkan daripada PAC, iaitu satu-satunya jawatankuasa bersifat tetap (standing committee) dipengerusikan dan dicalonkan kepada ahli pembangkang selain daripada ketua pembangkang.

x. Sumber manusia

Pejabat DUN Terengganu tidak mempunyai pegawai khusus yang membantu urusan berkaitan fungsi dan peranan jawatankuasa terpilih. Pejabat DUN Terengganu  juga tidak mempunyai Bahagian Penyelidikan yang membantu ADUN untuk mendapatkan maklumat bagi tujuan persidangan atau dalam menjalankan tugas rasmi.

Jika dilihat secara perbandingan, Dewan Rakyat mempunyai urusetia khusus untuk mengendalikan dan membantu pengurusan perjalanan mesyuarat jawatankuasa pilihan tersebut. Di samping itu, Parlimen juga mempunyai Bahagian Penyelidikan yang menempatkan pegawai-pegawai penyelidik yang ditugaskan untuk membantu ADUN mendapatkan maklumat, sama ada untuk penglibatan dalam persidangan Dewan atau untuk tugas yang dijalankan dalam jawatankuasa pilihan. Namun begitu, tidak ada peruntukan dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang menyatakan penubuhan dan peranan urusetia jawatankuasa dan pegawai penyelidik. Fungsi Bahagian Penyelidikan Parlimen dinyatakan dalam laman web rasmi Parlimen.

Dalam konteks DUN Terengganu, pihak pengurusan boleh mempertimbangkan untuk menubuhkan urusetia khusus yang bertugas di bawah jawatankuasa terpilih yang ditubuhkan oleh DUN Terengganu, yang akan bertugas untuk mengendalikan tugasan dan perjalanan mesyuarat sama ada mesyuarat tertutup, mesyuarat menerima dan mendengar keterangan lisan atau pendengaran awam yang dilakukan oleh jawatankuasa. Tambahan itu, DUN Terengganu juga perlu menubuhkan seksyen Penyelidikan dan melantik pegawai-pegawai penyelidik yang diberi tugas untuk menjalankan penyelidikan bagi ADUN sama ada melalui permintaan individu atau melalui jawatankuasa terpilih.

  • Penggunaan teknologi

Dalam PPT DUNT, tiada peraturan yang menetapkan penggunaan teknologi dalam persidangan Dewan atau dalam urusan Jawatankuasa sama ada dalam mesyuarat atau semasa pendengaran dilaksanakan. Di Selangor, PPT DN Selangor mempunyai peraturan berkenaan siaran langsung persidangan Dewan, di mana setiap persidangan Dewan disiarkan secara langsung sama ada melalui stesen televisyen atau laman sesawang sepanjang masa persidangan (Peraturan Tetap 10A). Selain itu, Jadual di bawah Peraturan Tetap 73(14) PPT DN Selangor menyatakan bahawa pendengaran Jawatankuasa atau sebahagian

boleh disiarkan secara langsung melalui media elektronik, melainkan diputuskan sebaliknya (Perkara 5(4)).

Oleh itu, kajian ini mencadangkan agar DUNT melakukan pindaan PPT DUNT untuk memasukkan peraturan yang membenarkan siaran sepanjang perjalanan sidang melalui stesen televisyen atau laman sesawang serta pendengaran Jawatankuasa melalui media elektronik, kecuali diputuskan sebaliknya oleh Jawatankuasa berkenaan.

6. KESIMPULAN

Pindaan Peraturan Tetap merupakan salah satu aspek pemantapan DUNT yang wajar diberi keutamaan. Melalui pindaan ini, peranan DUNT dapat diperkasakan demi kesejahteraan rakyat di negeri Terengganu. Selain itu, pindaan PPT DUNT ini boleh dikatakan tepat pada masanya agar tata cara dan amalan sebagai badan legislatif dapat diperkukuhkan. Bagi menjamin kelestarian serta kekal relevan, pindaan PPT amat mustahak agar fungsi, tata cara dan amalan badan legislatif di DUNT setanding dengan institusi legislatif di luar negara dan lebih unggul.