Perbahasan Ilmiah Tidak Cetus Kekacauan, Berita Harian, Rabu 13 April 2016
Saya merujuk arahan pembatalan program Dr Zakir Naik baru-baru ini.
Saya berpandangan arahan seumpama ini tidak wajar dan elok ditarik balik. Arahan pembatalan program Dr Zakir Naik dibuat tanpa alasan yang kukuh dan bercanggah dengan hak-hak yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Ketua Polis Negara, pihak polis berpendapat forum yang membincangkan dua agama berbeza itu tidak akan mendatangkan apa-apa kebaikan kepada masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Program forum berkenaan adalah program ilmiah yang dilaksanakan penuh tertib dan adab. Ia dijadualkan akan dibuat di kampus UTEM Melaka, sebuah universiti yang tentunya mendokong ketinggian tamadun dan maruah. Tajuknya pula ialah berkaitan aspek-aspek persamaan antara Islam dan Hindu. Program ini lebih menjurus perbandingan agama — satu bidang ilmu yang berguna kepada masyarakat.
Dr Zakir Naik dikenali sebagai seorang penceramah yang menguasai ilmu berkaitan agama-agama dan mempu mengulas dengan tepat perbandingan agama dengan merujuk kitab-kitab suci agama-agama yang kebanyakan dihafal olehnya. Beliau tidak menggunakan pendekatan merendahkan agama lain tetapi membuat perbandingan secara fakta dari sumber yang asal. Oleh itu, jika ada pihak yang tidak senang dengan hujah-hujah ilmiah Dr Zakir, sila jawab secara ilmiah juga. Diharap pihak polis tidak berikut-ikut dengan bantahan oleh mereka yang gagal menjawab hujah-hujah Dr Zakir Naik melalui medan perbahasan sihat.
Penggunaan kuasa polis untuk menyekat majlis ilmu di universiti merupakan satu contoh tindakan yang sangat menyedihkan. Tambahan pula apa yang dibuat oleh Dr Zakir Naik dan penganjur adalah sebahagian daripada hak yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan — iaitu kebebasan beragama serta kebebasan untuk bersuara.
Perkara 11 Perlembagaan secara jelas menyebut bahawa tiap-tiap orang berhak untuk menganuti, mengamalkan dan mengembangkan agamanya. Sekatan ke atas hak mengembangkan agama hanya boleh dibuat ke atas usaha agama lain untuk dikembangkan di kalangan orang Islam. Tidak ada sebarang peruntukan yang membenarkan sekatan ke atas usaha untuk mengembangkan ajaran Islam. Oleh yang demikian, program forum yang melibatkan pendakwah Islam seperti Dr Zakir Naik tidak wajar disekat oleh pihak berkuasa.
Selain itu, halangan ke atas program Dr Zakir Naik juga bertentangan dengan kebebasan untuk bercakap dan bersuara sebagaimana yang terkandung dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Setakat ini belum ada pihak yang dapat mengemukakan bukti bahawa ceramah Dr Zakir Naik boleh menjejaskan ketenteraman awam. Beliau telah berceramah di banyak tempat di seluruh dunia, dan belum ada laporan yang menyebut kesan negatif ceramahnya kepada keamanan dan keharmonian. Oleh itu, tiada sebab kebebasan beliau boleh disekat.
Malaysia adalah negara yang terkenal seluruh dunia sebagai negara yang mendokong pendidikan dan perkembangan ilmu. Institusi pendidikan tinggi di Malaysia menjadi pilihan ramai pelajar dari seluruh pelusuk dunia. Tentunya program ilmiah tokoh ilmuan yang terkenal seperti Dr Zakir Naik ini tidak wajar disekat kerana ia boleh menjejaskan nama baik Malaysia sebagai destinasi untuk mendapat pendidikan tinggi.
Lebih menghairankan lagi sekatan ini dibuat ke atas usaha untuk menyebarkan rahmat Islam kepada masyarakat Islam dan bukan Islam. Sebagai sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama Persekutuan, kedatangan Dr Zakir Naik wajar disambut dengan penuh berbesar hati bukannya dengan sekatan dan larangan. Diharap pihak berkuasa menilai semula keputusan untuk melarang program ceramah Dr Zakir Naik di UTEM. Saya percaya program berkenaan tidak akan mendatangkan kekacauan bahkan akan meningkatkan harmoni dan perasaan saling memahami antara penganut berbeza agama di Malaysia.
Penulis DR MUHAMMAD FATHI YUSOF adalah Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan) di Pusat Kajian Fiqh Sains dan Teknologi (CFiRST), Universiti Teknologi Malaysia.