Sistem Pilihan Raya Berkesan Tak Perlu Ubah: Demokrasi Ala-Malaysia Terbukti Stabil Sejak Merdeka, Berita Harian, Jumaat 14 Februari 2014
Oleh: Muhammad Fathi Yusof Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan) di Pusat Penyelidikan Fiqh Sains dan Teknologi (CFiRST) Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Terdapat perbincangan hangat sejak beberapa tahun kebelakangan ini berhubung dengan cadangan untuk menukar sistem pilihan raya di Malaysia. Kini Malaysia menggunakan sistem yang dikenali sebagai ‘first-past-the-post’ atau FPTP. Sistem ini menggunakan kaedah pembahagian kawasan pilihan raya kepada beberapa kawasan. Pemilihan wakil rakyat dibuat untuk setiap kawasan menggunakan kaedah pertandingan undi majoriti. Siapa yang dapat undi tertinggi maka dia menang di kerusi tersebut. Pihak lawan tetap dikira kalah dan tidak dapat apa-apa walau pun beza undinya hanya sedikit.
Sistem ini dipertikaikan oleh beberapa pihak sejak beberapa kali pilihan raya lagi. Selepas pilihan raya umum, biasanya pihak yang bertanding akan melihat jumlah undi popular mereka. Pihak yang kalah biasanya akan mendapati bahawa undi popular mereka jauh lebih tinggi dari jumlah kerusi yang diperolehi. Bahkan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 baru-baru ini, undi popular Barisan Nasional sebenarnya lebih kecil berbanding undi popular yang diperolehi oleh parti-parti yang bergabung di bawah Pakatan Rakyat.
Perbezaan ketara antara undi popular dan jumlah kerusi yang dimenangi menjadi dorongan terkuat sesetengah pihak untuk mempelopori usaha menukar sistem FPTP kepada sistem pilihan raya lain – dan alternatif yang popular adalah sistem ‘kesaksamaan perwakilan’ (proportionate representation) atau ringkasnya sistem PR.
Walau bagaimana pun, cadangan ini mencetuskan beberapa persoalannya, antaranya: Adakah benar kelemahan pilihan raya hari ini berpunca dari sistem FPTP? Adakah pertukaran sistem FPTP kepada sistem PR akan dapat menamatkan masalah pilihan raya kita? Mungkinkah perubahan kepada sistem baru akan mewujudkan masalah baru?
Usah gopoh
Sistem pilihan raya FPTP sudah diguna pakai di Malaysia sejak sebelum merdeka lagi. Sudah lebih 60 tahun ia digunapakai. Oleh itu, suara untuk menilai semula sistem pilihan raya perlu diberikan perhatian. Ia merupakan hasrat yang timbul akibat kelemahan sistem yang ada. Memang semua
sistem ada kelemahannya, dan ada ruang untuk dibaiki. Bahkan ada negara-negara seperti Australia, Jerman dan Indonesia yang mengubah sistem pilihan raya mereka kepada sistem baru.
Namun begitu, sebelum perubahan dibuat, penelitian menyeluruh perlu dijalankan. Mengubah sistem pilihan raya bukan satu perkara mudah. Ia melibatkan sebahagian struktur negara itu sendiri. Perubahan juga mungkin mengubah struktur kepartian, serta budaya politik.
Oleh itu, dalam konteks negara kita, kita tidak perlu gopoh bertindak menukar sistem tanpa penelitian yang luas dan terperinci. Mengubah sistem kelihatan seperti penyelesaian yang mudah untuk seluruh kelemahan sistem pilihan raya. Hakikatnya tidak semudah itu. Sebahagian besar kelemahan yang berlaku bukan kerana sistem, tetapi kerana manusia yang memanipulasi sistem itu.
Selagi manusia yang menguruskan atau mengawal sesuatu sistem tidak amanah dan tidak adil, perjalanan pilihan raya tetap lemah dan pincang. Jika ditukar sistem baru, mereka akan manipulasi sistem baru pula.
Masalah sebenar
Masalah perbezaan ketara antara undi popular dan bilangan kerusi yang dimenangi seperti yang berlaku dalam PRU ke-13 baru-baru ini sebenarnya berpunca dari sistem persempadanan yang tidak adil. Jika persempadanan dibuat dengan adil tanpa elemen ‘malapportionment’ dan gerrymandering, mungkin perbezaannya tidaklah kerlalu ketara begitu. Jika dilihat dari sudut ini, punca masalah sebenar ialah persempadanan tidak adil, bukannya sistem FPTP itu sendiri.
Sistem FPTP sebenarnya satu sistem yang baik dan sudah terbukti berkesan menjadi wahana proses demokrasi yang berjaya. Ia adalah salah satu sistem pilihan raya yang diiktiraf sebagai layak untuk menjadi asas kepada pilihan raya yang adil dan bebas. Bahkan ia sistem yang menjadi pilihan kebanyakan negara demokratik. Negara demokratik yang besar seperti India dan Amerika Syarikat menggunapakai sistem ini.
Ada yang membangkitkan soal kesaksamaan dalam nilai undi. Memang benar dalam sistem FPTP, jumlah undi kepada calon yang kalah – juga jumlah undi calon yang menang – tidak lagi dinilai dalam menentuan nisbah kerusi perwakilan dalam Parlimen atau Dewan Negeri. Namun perlu diingat, undi itu tidak lagi diambilkira setelah keputusan bagi setiap kawasan pilihan raya telah diperolehi. Ketika pengiraan undi dibuat, setiap undi mempunyai nilai yang saksama dan berpotensi mempengaruhi keputusan di kawasan itu. Ertinya, kesaksamaan sebenarnya wujud, tetapi nilai undi tidak lagi diambil kira selepas keputusan telah diperolehi.
Ada juga yang mengungkitkan soal kesaksamaan nilai undi secara bandingan antara satu kawasan yang besar saiz pengundi seperti di Parlimen Kapar, Selangor dengan kawasan yang kecil saiz pengundi seperti di kebanyakan kawasan Parlimen di Sarawak. Masalah ini sebenarnya bukan berpunca dari sistem FPTP, tetapi berpunca dari kelemahan proses persempadanan pilihan raya. Masalah ini boleh diatasi tanpa perlu memansuhkan sistem FPTP.
Kerajaan goyang
Perlu diingatkan juga kesaksamaan tidak semestinya membawa keadilan. Dalam perlaksanaan sistem demokrasi, penekanan diberikan kepada keadilan bukannya kesaksamaan. Sesuatu sistem boleh
dianggap adil walau pun ia kurang saksama. Ini kerana penggunaan sesuatu sistem tidaklah bergantung kepada satu faktor sahaja, bahkan banyak faktor yang perlu dipertimbangkan. Apa guna sistem yang saksama contohnya, tetapi tidak cekap, terlalu kompleks, atau menimbulkan masalah kerajaan yang mudah digoyang.
Antara kelebihan sistem FPTP ialah, selain ia mudah difahami oleh rakyat, ia juga mampu menubuhkan kerajaan yang lebih stabil untuk sesuatu penggal pilihan raya. Kewujudan kerajaan yang stabil amat penting untuk rakyat. Rakyat mahukan pilihan raya berkesan. Pilihan raya yang berkesan mampu menyalurkan mandat rakyat kepada sekumpulan pemimpin yang dapat memerintah tanpa digoyang atau digugat oleh pesaing politik selama tempoh pemerintahan. Jika rakyat tidak berpuas hati, mereka boleh ditukar bila tamat penggal pemerintahan itu. Jika kerajaan boleh digoyang dengan mudah dalam tempoh pemerintahan, maka rakyat serta negara akan sentiasa diheret untuk berpolitik tanpa penghujung. Akhirnya rakyat yang rugi.
Oleh itu, kita tidaklah perlu terlalu gopoh dan tergesa-gesa menelan idea dan cadangan untuk menukar sistem pilihan raya di Malaysia. Tambahan pula, mengubah sistem pilihan raya sebenarnya akan menyentuh juga perkara-perkara lain seperti komposisi Parlimen dan Dewan Negeri, sistem perwakilan, hubungan wakil rakyat dan pengundi dan sebagainya.
Lebih jauh lagi, perubahan dalam sistem pilihanraya juga boleh memberi kesan kepada pola kepartian dan politik dalam negara. Oleh itu sebelum sebarang perubahan dilaksanakan beberapa persoalan ini perlu dijawab melalui kajian menyeluruh: Adakah perubahan sistem akan menggalakkan politik perkauman? Adakah sistem baru mendorong parti politik berasaskan kaum semakin subur? Adakah sistem baru menggalakkan politik kerjasama atau politik perseteruan? Adakah sistem baru akan menyebabkan parti-parti lebih selesa untuk bertanding bersendirian daripada bernaung dibawah satu perikatan atau pakatan seperti sekarang? Adakah sistem baru membuka ruang kepada parti kecil untuk menggunakan kuasa penentu bagi menguasai keputusan kerajaan?
Tegasnya, adalah terlalu awal untuk kita bercakap soal mengubah keseluruhan sistem pilihan raya daripada sistem FPTP kepada sistem PR atau sistem lain. Para aktivis pejuang pilihan raya adil dan bersih sepatutnya meletakkan fokus pada sasaran betul. Banyak lagi aspek pembaharuan pilihan raya yang perlu dibuat. Aspek kritikal seperti daftar pemilih yang bersih, rasuah pilihan raya, penggunaan jentera kerajaan dalam kempen pilihan raya, media yang tidak adil dan isu persempadanan sepatutnya diberikan keutamaan. Kita berharap dengan dialog yang lebih realistik dan bernas, serta dengan keprihatinan di pihak kerajaan, suatu hari nanti kita dapat meningkatkan kualiti pilihan raya kita menjadi antara yang terbaik di dunia.
Oleh:
DR MUHAMMAD FATHI YUSOF
Pensyarah Kanan
UTM Razak School
Universiti Teknologi Malaysia
Kuala Lumpur
Telefon: 0136669669 (HP), 0326154634 (P)