Saya dan rakan-rakan ada terbabit dengan satu penyelidikan yang berkaitan dengan isu keganasan. Beberapa bulan lalu kami berpeluang membuat temu bual dengan tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Saya melihat bahawa isu pembabitan segelintir rakyat Malaysia dalam kegiatan keganasan satu realiti. Ada yang fikirannya yang telah diracuni hingga sanggup membunuh atas dorongan kepercayaan palsu dan kefahaman songsang tentang perjuangan, politik dan penentuan status keagamaan.
Baru-baru ini, timbul cadangan untuk menghapuskan SOSMA. Akta ini secara asasnya bertujuan untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang terbabit dengan kesalahan yang menjejaskan keselamatan, termasuklah keganasan. Akta ini juga mempunyai kaitan rapat dengan Akta Pencegahan Keganasan (POTA) 2015.
Beberapa peruntukan akta ini menjadi kritikan kerana beban pembuktiannya longgar berbanding pengendalian kes jenayah lain. Maksudnya seorang yang disyaki lebih mudah ditangkap, didakwa dan disabitkan salah walaupun buktinya lemah. Oleh itu, timbul persoalan, adakah akta ini zalim dan perlu dimansuhkan?
Cadangan tambah baik
Pada pendapat saya, akta ini perlu dipinda bukan dihapuskan. Pindaan ini perlu dibuat bersama-sama dengan usaha penambahbaikan berasaskan aspek berikut:
Perlu wujud sekatan agar akta itu tidak digunakan untuk tujuan politik atau apa-apa tujuan yang berkaitan tidak berkaitan dengan isu keselamatan dan keganasan. Penahanan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, Mathias Chang dan Maria Chin Abdullah mengikut SOSMA sebelum ini, jelas menunjukkan salah guna akta untuk tujuan politik. Sekatan sedia ada dalam akta belum cukup jelas untuk menghalang salah guna akta untuk kepentingan politik dan peribadi.
Tempoh tahanan pencegahan perlu disingkatkan kepada 14 hari, dan jika ingin dilanjutkan, ia perlu melalui proses permohonan ke mahkamah dengan alasan yang wajar. Tertuduh perlu diberikan hak untuk membela diri dan mendapat khidmat peguam.
Pihak berkuasa yang terbabit dalam penguatkuasaan SOSMA dan juga POTA perlu mempunyai ilmu serta kefahaman yang betul berkaitan keganasan. Usaha penyelidikan dan risikan berkaitan keganasan perlu lebih maju bagi memastikan tidak berlaku kesilapan dalam membuat penangkapan dan penahanan. Proses membuat kategori dan tahap pembabitan keganasan juga perlu tepat agar pesalah dapat disalurkan kepada hukuman dan proses pemulihan yang terbaik.
Program pemulihan tahanan perlu dilaksanakan secara lebih menyeluruh, teliti, dan strategik. Aspek kefahaman agama, bimbingan rohani dan tasawuf, pembangunan dalam aspek psikologi, pembinaan kehidupan dan persekitaran baru dan pandangan alam yang betul tentang hakikat kehidupan perlu diberikan perhatian.
Kesilapan dalam menentukan punca kecenderungan keganasan seperti terlalu menumpukan kepada soal perbezaan aliran pemikiran dalam Islam, menyebabkan pihak berkuasa gagal menyelami punca sebenar yang mendorong kepada isu keganasan.
Peningkatan bilangan sumber manusia yang terbabit dalam usaha pemulihan serta pembangunan prasarana yang lebih sesuai. Bilangan pembimbing agama dan kaunseling perlu ditingkatkan bagi memberikan bimbingan, pemantauan dan panduan yang lebih berkesan kepada pesalah keganasan di bawah SOSMA atau POTA.
Prasarana yang lebih sesuai juga perlu dibina kerana mereka ialah banduan yang berlainan kerana mereka terbabit dalam jenayah berasaskan ideologi, bukannya jenayah konvensional.
Kawalan dari sudut komunikasi, pergaulan dan pertemuan sesama banduan amat kritikal bagi mereka. Namun, pada masa yang sama, mereka tidak boleh dinafikan hak untuk berkumpul serta terbabit dalam aktiviti yang sesuai.
ISA zalim
Tegasnya, SOSMA yang diperkenalkan ini jauh lebih baik berbanding Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960. Bahkan, SOSMA diperkenalkan bagi menggantikan ISA yang zalim dan kerap disalahgunakan oleh kerajaan untuk menangkap musuh politik.
Memori kezaliman ISA seperti yang berlaku dalam operasi penangkapan pemuda PAS 1984, Operasi Lalang 1987, Operasi Kenari 1988 dan operasi aktivis reformasi 1998 antara memori hitam kezaliman pemerintah terhadap rakyat.
Penghapusan ISA dan penggantiannya dengan SOSMA sebahagian dari usaha untuk mengawal dan mengurangkan kuasa kerajaan agar kezaliman dapat dihentikan.
Bagaimanapun, isu jenayah yang membabitkan keselamatan negara memerlukan tindakan yang berbeza, berbanding dengan jenayah lain. Dari aspek tertentu, kerajaan perlu diberikan kuasa yang lebih untuk mengekang keganasan, namun kuasa itu perlu diseimbangkan agar tidak berlaku kezaliman.
Ringkasnya, kita berharap kerajaan hari ini meminda SOSMA dan menambah baik pelaksanaannya, tanpa perlu memansuhkannya. Kita tidak mahu negara kembali ke zaman ISA.
Penulis adalah Felo Penyelidik (Undang-Undang dan Perlembagaan) Universiti Teknologi Malaysia