Isu mengadakan pilihan raya negeri (PRN) mengejut di Pulau Pinang mendapat reaksi pelbagai masyarakat. Ketika DAP beria-ia mahu menyegerakannya, rakan dalam Pakatan Harapan iaitu PKR pula kelihatan tidak bersetuju. Malah timbul persoalan, apakah PRN perlu diadakan semata-mata kerana kes rasuah dihadapi Ketua MEnteri Lim Guan Eng. Wartawan BH Ahad MOHD ANWAR PATHO ROHMAN menemubual Felo PEnyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan) Universiti TEknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur Dr Muhammad Fathi Yusof untuk mendapatkan pandangan mengenai isu berkenaan.

Soalan: Wajarkah DUN Pulau Pinang dibubarkan bagi membolehkan PRN diadakan susulan skandal rasuah di hadapi Ketua Menteri, Lim Guan Eng? 

Jawapan: Saya belum nampak hujah yang konkrin yang dikemukakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang yang ingin mengadakan Pilihan Raya Negeri dalam tempoh terdekat. Dalam laporan terbaru beliau dilaporkan berkata bahawa PRN itu bertujuan untuk menyelamatkan rakyat Malaysia, khususnya Pulau Pinang. Beliau tidak menjelaskan bagaimana rakyat boleh diselamatkan melalui PRN. Beliau mungkin melihat bahawa pendakwaan skandal rasuh merupakan faktor yang melonjakkan simpati ke atas belilau dan ia menjadi peluang yang baik untuk memperbaharui mandat.

Jika beliau tunggu mungkin sokongan pengundi semakin lama semakin lemah kerana fakta-fakta yang dikemukakan di mahkamah mungkin tidak menyebelahi beliau. Dan jika keputusan mahkamah mendapati beliau bersalah, maka mungkin pengundi yang peringkat awalnya simpati akan terbahagi dua, iaitu sebahagiannya kekal simpati dan sebahagian lain mula hilang kepercayaan kepada beliau. Jika senario ini berlaku menjalang Pilihan Raya Umum ke 14, DAP mungkin terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada tampuk kuasa di Pulau Pinang.

Dalam kenyataan terbaru juga beliau menyebut bahawa walaupun kerajaan negeri dan DAP percaya beliau tidak bersalah, tetapi mereka bersedia menyerahkannya kepada rakyat. Beliau juga menyebut bahawa DAP perlu mencari mandat baharu supaya kesahihan, perundangan dan kredibiliti tidak terjejas. Bagi saya penjelasan yang diberikan oleh Lim Guan Eng ini langsung tidak mempunyai kesan untuk menyakinkan rakyat tentang perancangan mengadakan PRN awal. Alasan yang diberikan berbelit-belit dan rapuh.

Apa kaitannya mandate baru dengan kesahihan, perundangan dan kredibiliti? Apa kaitannya dakwaan rasuah beliau dengan mandate rakyat? Katakanlah jika PRN berlaku dan dia kalah dalam PRN, adakah dia ingin mengaku satu dunia bahawa dia memang melakukan rasuah?

Jadi kesimpulannya, selagi DAP dan Lim Guan Eng belum dapat mengemukakan hujah-hujah yang meyakinkan tentang tujuan PRN awal dan pembubaran DUN, saya menganggap cadangan berkenaan adalah tidak wajar.

Soalan: Adakah relevan DUN dibubarkan bagi membolehkan PRN diadakan hanya untuk menutup kes rasuah Ketua Menteri?

Sepatutnya DUN dibubarkan untuk kebaikan rakyat, bukan kebaikan individu tertentu atau parti tertentu.

Di setengah negara kekerapan dan tempoh pilihan raya ditentukan secara tetap seperti lima tahun atau empat tahun. Negara kita mengamalkan sistem Westminster yang membolehkan kerajaan membuat pembubaran awal majlis perundangan, dan sekali gus menamatkan mandat badan eksekutif dan memberikan peluang kepada rakyat untuk menubuhkan kerajaan baru.

Walau pun ia dibolehkan menurut undang-undang, saya berpendapat kuasa ini tidak sepatutnya digunakan sewenang-wenangnya. Pemerintah mesti bertindak untuk kepentingan rakyat, bukan kepentingan politik kepartian, atau kepentingan peribadi. Pada dasarnya pembubaran majlis perundangan elok dibuat dalam tempoh yang tidak terlalu awal dari tempoh ia tamat secara sendirinya—iaitu dalam konteks Parlimen dan DUN-DUN di Malaysia, selama lima tahun.

Soalan: Apakah Ketua Menteri mempunyai hak mutlak untuk membubarkan DUN bagi membolehkan PRN dilakukan walaupun tidak ada keperluan untuk berbuat demikian?

Jawapan: Tidak ada. Ketua Menteri hanya boleh mencadangkan kepada Yang Di-Pertuan Negeri (YDPN) untuk membubarkan DUN, dan terpulang kepada YDPN sama ada ingin membubarkan atau tidak.

Prinsip ini disebut secara jelas dalam Perlembagaan Negeri Pulau Pinang. Menurut Perkara 19(2) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang, kuasa membubarkan Dewan Undangan Negeri terletak pada Yang Di-Pertua Negeri.  Perkara 8(1) pula menetapkan bahawa YDPN boleh bertindak menurut budibicara sendiri pada menjalankan fungsinya untuk melantik seorang Ketua Menteri dan untuk tidak memperkenankan permintaan untuk membubarkan DUN.

Jadi jika DAP memutuskan utk membuat pilihan raya negeri, KM perlu memohon YDPN untuk membubarkan DUN. Terpulang kepada YDPN untuk memperkenan atau tidak. Maksudnya YDPN dalam hal pembubaran DUN tidak terikat dengan nasihat KM sebagaimana yang ditentukan dlm Perkara 8(1).

Soalan: Kenapa demikian?

Pertamanya, tempoh lima tahun adalah tempoh yang sesuai untuk sesuatu penggal pemerintahan. Jika tiga tahun, ia dikira terlalu kerap. Pilihan raya yang kerap merugikan wang rakyat. Wang terpaksa digunakan untuk kos pengendalian pilihan raya. Parti-parti politik juga terpaksa berbelanja besar untuk kempen pilihan raya. Pilihan raya yang terlalu kerap juga membantut proses perancangan dan pembangunan negara dan negeri. Perubahan tampuk kepimpinan biasanya menyebabkan perubahan dasar dan pendekatan. Apa lagi jika berlaku perubahan parti pemerintah.

Selain itu pilihan raya yang kerap juga menyebabkan rakyat terpaksa disibukkan dengan politik. Pertembungan dalam kempen pilihan raya kadang-kala boleh mendatangkan kesan negatif dari sudut keharmonian rakyat.

Perlu diingat, sebaik-baiknya PRN serentak dgn PRU. Buat masa ni tidak ada sebab munasabah utk buat PRN awal di Pulau Pinang. Tidak ada indikator utk kerajaan mendapatkan mandat baru. PRN berasingan yang lebih awal juga mendatangkan keburukan dari sudut kos pengendalian dan kempen pilihan raya, kerana dalam tempoh dua tahun akan datang rakyat Pulau Pinang tetap akan terlibat dengan PRU. Rakyat juga akan lebih kerap disibukkan dengan pertembungan politik.

Perlu diingat, jika berlaku PRN berasingan kali ini, tidak mustahil PRN berasingan juga terpaksa diadakan dalam musim-musim akan datang.

Soalan: Bermakna, Yang di-Pertua Negeri mempunyai kuasa di sisi Perlembagaan untuk menolak cadangan Ketua Menteri membubarkan DUN dan mengadakan PRN ketika penggal DUN berbaki dua tahun sahaja lagi?

Menurut amalan biasa memanglah YDPN akan ikut permintaan KM. Tapi, dalam amalan sebelum ini, PRN  serentak dengan PRU, jadi tidak ada sebarang alasan yang munasabah bagi YDPN untuk tidak memenuhi permintaan KM. Tapi dalam situasi sekarang, jika KM memohon untuk membubarkan DUN, YDPN mempunyai beberapa sebab untuk tidak menyetujuinya.

Sebab pertama ialah penggal pemerintahan masih baru. Selepas PRU lepas sidang DUN PP bermula pada 28 Jun 2013, jadi tempoh DUN boleh kekal selama 5 tahun iaitu sehingga 27 Jun 2018. Saya telah sebutkan tadi keburukan pembubaran awal.

Kedua, YDPN wajar mengambilkira pengasingan PRN dari pada PRU seperti amalan biasa. Dalam hal ini kepentingan rakyat dari sudut perbelanjaan negara dan budaya politik perlu diambil kira.

Ketiga, PRN awal hanya wajar dibuat jika ada sebab yang kukuh. Dalam perkembangan yang ada setakat ini, belum ada sebab konkrit untuk membuat PRN awal.

Soalan: Apa yang berlaku jika Yang Di-Pertua Negeri menolak permohonan Ketua Menteri untuk membubarkan DUN?

Saya berpendapat PRN mungkin perlu dalam situasi berlakunya penghijrahan ADUN secara besar-besaran sehingga kerajaan yang sedia ada hilang kepercayaan kebanyakan anggota DUN. Atau jika wujud skandal luarbiasa yang menghilangkan sokongan rakyat secara nyata. Dalam situasi seperti ini pilihan raya awal adalah wajar untuk menyerahkan kembali mandat kepada rakyat bagi memilih kerajaan mereka.

Saya berpendapat, jika ditakdirkan KM Pulau Pinang memohon pembubaran DUN dalam tempoh terdekat ini, dan YDPN menolaknya, maka itu adalah satu tindakan yang tepat. Kuasa YDPN tidak boleh dipertikaikan kerana Perlembagaan Pulau Pinang menyebut secara khusus kuasanya untuk tidak bertindak mengikut nasihat KM, tetapi bertindak mengikut budi bicara dalam hal berkaitan pembubaran DUN.

Setiap peruntukan undang-undang mempunyai tujuan tersendiri. Saya berpendapat tujuan perlembagaan memberikan kuasa budi bicara khusus ini adalah bertujuan untuk memastikan YDPN dapat menyekat permohonan KM yang tidak membawa kebaikan kepada kepentingan rakyat.

Soalan: Seandainya PRN diadakan dan Lim Guan Eng menang tetapi keputusan mahkamah kemudian mendapatinya bersalah dalam skandal rasuahnya. Kebarangkalian beliau hilang kelayakan sebagai ADUN juga tinggi. Maka, apakah perlunya DAP bubarkan DUN untuk PRN diadakan?

Ya, memang tak perlu. Saya pun tidak nampak keperluan untuk mengaitkan kes rasuah itu dengan PRN. Sepatutnya jalan terbaik ialah beliau memberikan laluan kepada pemimpin pelapis dalam DAP dan tidak mengheret partinya, apa tah lagi kerajaan dan rakyat dengan beban tuduhan rasuah yang dihadapinya kini. Itu pun kalau beliau berani hilang kuasa.

Soalan: Sekiranya PKR tidak bersetuju PRN diadakan, apakah pilihan yang DAP ada untuk membolehkan PRN tetap diadakan? Apakah ia menimbulkan apa-apa implikasi dari sudut politik dan perundangan negara?

PRN tetap boleh berlaku jika cadangan KM dipersetujui oleh YDPN. Dalam hal ini PKR tidak ada kuasa. Tapi kita tak nafikan dari segi politik KM sepatutnya mendapatkan persetujuan rakan-rakan sekutu. Jika tidak tentunya berlaku konflik yang semakin melemahkan pembangkang. Itu semua urusan orang politik.

Namun dalam hal ini saya lebih suka tekankan budaya rundingan antara pemimpjn eksekutif seperi PM, MB dan KM dengan ketua negara YDPA atau ketua negeri iaitu Sultan dan YDPN. Sepatutnya sebarang cadangan untuk membubarkan Parlimen dan DUN perlu diselesaikan secara rundingan tertutup antara dua pihak berkenaan.

Dalam konteks PP, sepatutnya KM terlebih dahulu membincangkan cadangan membubarkan DUN dengan YDPN sebelum mendedahkan kepada media. Pendekatan rundingan tertutup ini merupakan tradisi penting untuk memastikan tidak wujud konflik antara dua pihak. Jika wujud perbezaan sekali pun, ia tamat setakat empat dinding pertemuan, dan tidak terdedah kepada rakyat.

Bayangkan jika KM memohon untuk membubarkan DUN, dan YDPN merasakan ia tidak wajar. Tentunya disini berlaku satu situasi yang kurang sihat dari sudut persepsi rakyat biasa. 

Jadi saya amat berharap agar polemik yang berlaku di Pulau Pinang ini ditangani dengan baik. Kita tidak mahu persaingan kuasa antara parti-parti politik menyebabkan rakyat terheret sama ke lembah perbalahan dan pertembungan yang tanpa kesudahan. Kita mahukan politik yang lebih matang serta mengutamakan kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.

Dr Muhammad Fathi Yusof

Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan)

UTM Kuala Lumpur