OLEH: DR MUHAMMAD FATHI YUSOF
(Pensyarah Undang-undang, Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia)
Tulisan jawi bukan tulisan yang sekadar tersimpan dalam lipatan sejarah. Ia adalah tulisan yang terus hidup, berkembang dan digunakan sehingga hari ini. Tulisan jari tidak akan mati, insyaAllah. Ia adalah gabungan dinamisme Bahasa Melayu yang terus berkembang dan warisan keilmuan yang mempunyai sejarah yang panjang. Oleh itu, jika ada pandangan yang menganggap tulisan jawi tidak lagi relevan dan perlu disisihkan, maka ia satu kesilapan.
Hari ini tulisan jawi diguna pakai di beberapa negara seperti Malaysia, Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand. Bahkan tulisan jawi menjadi tulisan utama dalam dokumen-dokumen yang disediakan oleh pihak berkuasa agama, sekolah-sekolah dan persatuan-persatuan tertentu. Sistem ejaan jawi yang melibatkan penggunaan huruf, penulsan tanda baca, kaedah transliterasi dan sebagainya sentiasa dikemaskini dan disemak melalui institusi yang berwibawa dalam negara.
Tulisan unik
Keteguhan tulisan jawi diperkukuh melalui kewujudan pakar-pakar bahasa yang mengkaji tulisan jawi dan menjadi tempat rujukan bagi memastikan tulisan jawi berkembang sesuai dengan perkembangan bahasa Melayu. Bahkan terdapat tokoh dari luar negara yang secara khusus mendalami tulisan jawi seperti Prof Dr Kang Kyoung Seok dari Korea Selatan yang menguasai tulisan jawi.
Berbanding tulisan rumi, tulisan jawi mempunyai keistimewaan tersendiri. Misalnya dari aspek kesenian, tulisan jawi mempunyai citra seni yang lebih halus dan mendalam. Tulisan jawi yang diolah melalui seni khat menjadi satu simbol keindahan yang mempunyai keunikan tersendiri. Keindahan ini adalah satu tradisi unggul yang perlu dipertahan dan diperluaskan bukan sahaja kepada orang Melayu, bahkan juga kepada mesyarakat lain dalam negara.
Sejarah panjang tulisan jawi dapat menggambarkan betapa ia adalah satu bentuk tulisan yang penting dan mempunyai pengaruh yang sangat meluas. Tulisan jawi telah lama bertapak dan menjadi tulisan utama bahawa Melayu sebelum tulisan rumi diperkenalkan. Ia selari dengan perkembangan ilimu melalui kedatangan Islam seawal abad ke-10. Melalui proses pendidikan dan penyebaran ilmu, tulisan jawi menjadi sangat terkenal dan digunakan dengan sangat meluas di Alam Melayu.
Sejarah panjang
Penggunaannya boleh dilihat dalam dokumen-dokumen awal seperti Hukum Kanun Melaka pada kurun ke-15 dan undang-undang lain selepas itu. Bahkan lebih awal dari itu, tulisan jawi tercatat jelas dalam Batu Bersurat Terengganu dengan tarikh yang terpahat pada batu itu iaitu 4 Rejab 702 Hijrah iaitu pada tahun 1303 Masihi. Kandungan batu bersurat itu amat unik kerana ia berteraskan bahasa Melayu dengan beberapa istilah Arab dan Sanskrit.
Penggunaan tulisan jawi juga boleh dilihat dalam penulisan buku-buku di alam Melayu. Seorang pengkaji kitab Melayu klasik, Ahmad Juhairi mencatatkan bahawa terdapat kira-kira 16000 manuskrip Melayu dalam tulisan jawi disimpan di muzium dan perpustakaan luar negara seperti di London, Leiden, Singapura, Jakarta, Lisbon dan Berlin. Manuskrip ini diterbitkan bermula sekitar abad ke-12 dan berakhir selepas munculnya zaman penggunaan meluas mesin cetak pada abad ke-19.
Dari sudut pemerintahan, tulisan jawi menjadi tulisan rasmi kerajaan-kerajaan Kesultanan Melayu sama ada di Semenanjung Tanah Melayu, mahupun Kesultanan Sulu di Filipina, Patani, Brunei dan kerajaan-kerajaan awal di Indonesia. Jika diteliti dokumen perjanjian, surat menyurat dan catatan pengisytiharan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan Melayu, hampir semuanya menggunakan tulisan jawi. Tegasnya, tulisan jawi adalah tulisan yang mempunyai sejarah panjang dan banyak berjasa dalam membangunkan tamadun negara.
Terus relevan
Kedatangan British dan pejajah lain sebelumnya tidak memadamkan penggunaan tulisan jawi. Bahkan di saat kemerdekaan diisytiharkan, tulisan jawi memainkan peranan yang penting kerana dokumen pengisytiharan kemerdekaan ditulis dalam tulisan jawi. Simbol dan jata negara juga mempunyai slogan yang dicatat dalam tulisan jawi.
Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Bahasa Melayu mempunyai dua tulisan iaitu tulisan rumi dan tulisan jawi. Kedua-dua tulisan ini perlu diterima oleh rakyat sebagai tulisan kepada bahawa kebangsaan. Oleh yang demikian, kempen untuk menolak penggunaan tulisan jawi yang ditetapkan oleh kerajaan merupakan satu bentuk provokasi yang bercanggah dengan semangat patriotisme dan bertentangan dengan perlembagaan.
Walau pun dasar semasa kerajaan mengutamakan tulisan rumi berbanding tulisan jawi, ia tidak bermakna tulisan jawi tidak lagi diiktiraf sebagai tulisan rasmi kepada bahasa kebangsaan. Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan 1963 (Akta 32) menyebut bahawa tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan rumi, dengan syarat bahawa ini tidak menghalang tulisan Melayu, yang dikenali dengan nama tulisan jawi, bagi bahasa kebangsaan. Peruntukan seksyen 9 ini jelas menunjukkan bahawa tulisan jawi adalah tulisan bagi bahasa kebangsaan. Oleh itu ketetapan kerajaan untuk mengunakan tulisan jawi dalam papan tanda, atau dalam buku teks tidak boleh dihalang atau ditolak oleh mana-mana pihak.
Identiti negara
Selain itu, perlu dingat juga bahawa setiap negara mempunyai identiti dan jatidiri. Setiap warganegara tanpa mengira latar belakang kaum dan agama perlu menerima identiti dan jatidiri negara. Identiti dan jatidiri negara boleh dikenalpasti melalui dokumen undang-undang asas seperti perlembagaan dan juga simbol-simbol rasmi seperti bendera dan jata negara. Ia juga diungkapkan melalui dokumen penting negara seperti pengisytiharan kemerdekaan, mata wang dan lain-lain.
Dari sudut ini, kita dapati tulisan jadi adalah sebahagian daripada identiti dan jatidiri negara. Ia terdapat dalam jata negara, dokumen pengisytiharan kemerdekaan, wang kertas dan lain-lain. Bahkan kedudukannya sebagai salah satu tulisan kepada bahasa kebangsaan menjadikan tulisan jawi terpahat kukuh sebagai salah satu identity dan jatidiri negara.
Oleh yang demikian, tidak keterlaluan untuk kita katakan bahawa tulisan jawi boleh menjadi faktor perpaduan sebagaimana kita mengharapkan bahasa Melayu dapat menyatukan rakyat Malaysia. Aspek kesenian yang ada pada tulisan jawi sepatutnya membuka hati semua pihak untuk menerima keindahan tulisan jawi untuk dihayati oleh pelbagai kaum dalam negara. Oleh itu, usaha memperkenalkan tulisan jawi dalam buku teks bahasa melayu adalah satu langkah yang tepat dan wajar dipertahankan oleh rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian dan keharmonian.