Berita Harian
15 Februari 2020

http://www.bhplus.com.my/rencana/muka10/2020/02/655781/undang-undang-sivil-iktiraf-fatwa

(MENAMATKAN PERTIKAIAN ISU ‘BIN ABDULLAH’)

Kita amat berharap agar isu ‘bin Abdullah’ dapat diselesaikan dengan baik selepas keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini. Isu ini sebenarnya berkaitan hak ibu orang Islam untuk menisbahkan anaknya dengan seseorang lelaki yang diperakui oleh ibu berkenaan sebagai bapa kepada anak itu, walau pun lelaki itu bukan bapa yang sah menurut undang-undang Islam.

Menurut prinsip Islam, seseorang anak hanya boleh di’bin’kan dengan bapanya yang sah menurut hukum syarak. Secara umumnya undang-undang Isam menganggap anak yang lahir kurang dari tempoh enam bulan selepas perkahwinan sebagai anak yang tidak sabit nasabnya dengan suami kepada ibunya. Prinsip ini boleh dilihat di dalam fatwa-fatwa di peringkat Persekutuan dan negeri, dan juga undang-undang keluarga Islam misalnya seksyen 110 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984.

Namun, prinsip ini tidak diterjemahkan dalam bentuk undang-undang pendaftaran kelahiran yang terdapat dalam Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA). Dalam aspek ini, akta ini hanya membuat peruntukan yang menepati budaya dan agama bukan Islam. Inilah antara punca berlakunya pertikaian dan kes mahkamah.

Selama ini, pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terpaksa melaksanakan prinsip Islam melalui arahan-arahan pentadbiran bagi memastikan proses pendaftaran anak-anak orang Islam menepati kehendak syarak. Pihak JPN bertindak berasaskan rujukan fatwa-fatwa, terutamanya ketetapan Muzakarah kali ke-57, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.

Dalam muzakarah fatwa kali ke 57 ditetapkan bahawa:

a. Anak Tak Sah Taraf ialah: Pertama, anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan. Dan kedua, anak dilahirkan kurang dari 6 bulan 2 lahzah (saat) mengikut Takwim Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh). �

Muzakarah fatwa juga memutuskan bahawa anak tak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut. Oleh itu, mereka tidak boleh pusaka mempusakai, tidak menjadi mahram dan tidak boleh menjadi wali.

Amalan ini berjalan lancar tanpa pertikaian sehinggalah masalah ini dibawa ke mahkamah dalam kes yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan baru-baru ini.

Kes ini melalui perjalanan panjang dari Mahkamah Tinggi yang membuat keputusan selari dengan ketetapan JPN, diikuti Mahkamah Rayuan yang menyebelahi pemohon, dan yang terakhir Mahkamah Persekutuan yang kembali menyebelahi JPN.

Kes ini menjadi perhatian kerana ia bukan sahaja berkaitan isu pendaftaran nama anak, bahkan juga berkaitan kedudukan fatwa dalam sistem perundangan negara.

Dari sudut pelaksanaan, Mahkamah Persekutuan mengambil jalan tengah yang mampu memberikan kebaikan kepada semua. Dari satu sudut, mahkamah melarang anak berkenaan di’bin’kan dengan bapa biologi kerana ia bertentangan dengan prinsip nasab dalam Islam. Tetapi mahkamah juga meminta agar nama anak itu tanpa ‘bin Abdullah’ perlu kekal.

Pengguguran ‘bin Abdullah’ tidak memberikan kesan besar kepada prinsip syarak kerana ketetapan ‘bin Abdullah’ untuk anak adalah soal ijtihad sesuai dengan maslahah semasa. Dalam hal ini, pihak berkuasa agama wajar memberikan pilihan penyelesaian yang dinamik bagi mengimbangi antara ketegasan hukum berkaitan nasab anak tidak sah taraf, dan prinsip Islam yang mengutamakan sikap menutup aib sesama manusia termasuklah anak-anak tidak sah taraf.

Dari sudut prinsip, Mahkamah telah membuat keputusan yang jelas bahawa Seksyen 13A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) tidak terpakai bagi pendaftaran kelahiran anak orang Melayu kerana orang Melayu tidak menggunakan nama keluarga. Oleh itu, anak-anak orang Islam tidak boleh dibin atau dibinti dengan seseorang yang bukan bapa yang sah menurut hukum nasab dalam Islam.

Secara keseluruhannya keputusan Mahkamah Persekutuan ini adalah baik dari sudut memastikan beberapa prinsip Islam berkaitan larangan penisbahan anak luar nikah kepada bapa biologi dapat dikuatkuasakan.

Apabila seksyen 13A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) tidak terpakai bagi pendaftaran kelahiran anak orang Islam, bermakna orang Islam dihalang daripada menamakan anak luar nikah dengan bapa biologi. Pendirian mahkamah mengaitkannya dengan undang-undang berkaitan mengenai pewarisan harta pusakan di bawah Seksyen 111 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003 juga amat dialu-alukan.

Bagi menyelesaikan masalah ini secara lebih konkrit, kita mencadangkan agar pihak kerajaan segera meminda Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) bagi memasukkan peruntukan khusus berkaitan penamaan anak orang Islam sesuai dengan ketetapan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia berkaitan hal berkenaan.

Peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 13A yang ada hari ini hanya sesuai untuk orang bukan Islam. Oleh yang demikian, pindaan ini amat penting dan perlu dilaksanakan secepat mungkin bagi mengelakkan pertikaian dalam perkara yang spesifik seperti ini. Isu ini sebenarnya tidak terlalu kompleks jika ia diselesaikan melalui pindaan akta berkenaan.

Selain itu, mahkamah juga mengiktiraf kedudukan fatwa sebagai salah satu sumber dan rujukan undang-undang sivil jika ia diwartakan secara sah. Mahkamah menyebut secara jelas bahawa, pandangan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan atau sesuatu fatwa itu akan menjadi undang-undang dan mengikat di sisi perundangan jika ia diwartakan.

Kita amat berharap agar kes ini menjadi pengajaran kepada semua pihak dari sudut memahami kepentingan prinsip syarak diserap dalam sistem undang-undang yang ada. Proses mengintegrasi hukum syarak dalam undang-undang Persekutuan seperti akta-akta dan kanun-kanun amat penting agar keadilan dapat terlaksana dengan baik untuk semua rakyat. Kita berharap pihak berkuasa mengambil tindakan proaktif bagi mengelakkan konflik seperti ini berulang pada sama hadapan.

DR MUHAMMAD FATHI BIN YUSOF
Pusat Polisi Perdana,
Fakulti Teknologi dan Informatik Razak
Universiti Teknologi Malaysia
14 Februari 2020