Salam Aidil Adha 1438H

1. Alhamdulillah, marilah sama-sama kita merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Ta’ala kerana dengan limpah rahmat dan kasihNya, kita sekali lagi diizinkan untuk meraikan Hari Raya Aidil Adha pada 10 Zulhijjah 1438 H ini. Marilah kita penuhi Aidil Adha ini dengan memperbanyakkan lafaz takbir, tahmid, tasbih, tahlil, mendirikan solat sunat hari raya dan melaksanakan atau bersama membantu pelaksanaan ibadah Qurban.
2. Saya mengajak diri saya dan warga UTM untuk kita berusaha menghayati dan mengambil ibrah daripada Ibadah Haji dan Ibadah Korban untuk diaplikasikan dalam kehidupan dan tanggungjawab kita seharian. Sebagai warga UTM, renungilah semangat dan roh perjuangan Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Ismail A.S sebagai satu teras dalam menyempurnakan segala amanah dalam memacu kecemerlangan UTM dan menjayakan aspirasi pendidikan tinggi negara menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) demi kemakmuran sejagat.
3. Buat ahli keluarga, rakan-rakan dan warga UTM yang telah terpilih sebagai tetamu Allah di Bumi Suci Makkah Al Mukarramah, kami di tanah air mendoakan kesihatan dan kesejahteraan saudara dan saudari semua, dapat melaksanakan segala ibadah dengan sempurna dan dikurniakan haji yang mabrur serta pulang ke Malaysia dengan sebaiknya. Panjatkanlah juga doa untuk kesejahteraan dan kejayaan UTM dan seluruh warganya.
4. Akhir kata, Saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Adha 1438H kepada seluruh warga UTM yang beragama Islam.
5. Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Wahid Omar
UTM Vice-Chancellor

Speak Your Mind

*