Latar Belakang Akademik

Nama penuh beliau ialah Mohammad Naqib bin Hamdan. Dilahirkan pada tahun 1988. Beliau memulakan persekolahan di Sekolah Rendah Ibn Khaldun, Jalan Kebun, Klang (1994-2000). Selepas tamat UPSR, beliau meneruskan pengajian di Institut al-Qur’an Kuala Lumpur, Taman Tun Dr. Ismail, KL (2001), seterusnya menyambung semula di tempat lama iaitu di Sekolah Menengah Ibn Khaldun, Jalan Kebun, Shah Alam (2002-2005).

Selepas tamat SPM, beliau memulakan pengajian di utara tanah air, iaitu di Beseri, Perlis, bertempat di Ma’had at-Tarbiyyah al-Islamiyyah (2006-2007). Dengan keputusan yang memberangsangkan bagi peperiksaan STAM, beliau menerima biasiswa pengajian dari Pusat Zakat Selangor untuk menyambung pengajian di Universiti al-Azhar, Dumyat pada tahun 2008-2012. Pada tahun 2013, beliau telah meneruskan pengajian Sarjana di Darul Ulum, Universiti Kaherah. Namun, atas beberapa kekangan, pengajian tersebut tidak dapat diteruskan.

Pulang ke Malaysia, beliau tidak menunggu lama dan terus mendaftar di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya sebagai mahasiswa Sarjana pada tahun 2014. Tamat sahaja pengajian peringkat Sarjana, beliau meneruskan kembara ilmu di tempat yang sama, dengan penyelia yang sama, iaitu Dr. Mohd Anuar Ramli sebagai mahasiswa Doktor Falsafah (PhD). Selepas menempuh pelbagai ujian, akhirnya beliau berjaya menyempurnakan pengajian peringkat PhD pada tahun 2018.