Hulu Langat 15 & 16 September 2018 – Selaras dengan usaha membudayakan semangat kesukarelawan berasaskan ilmu serta menggalakkan libatsama komuniti dalam pengajaran dan pembelajaran, Pusat Kursus Kokurikulum dan Pembelajaran Servis (CCSL) sekali lagi bergerak aktif untuk menganjurkan program ‘UTM Community Engagement’ – Pembelajaran Servis Simenfero. Kali ini CCSL telah berkerjasama dengan Komuniti Dusun Tua bagi menjayakan program tersebut. Ianya dilaksanakan dengan tujuan untuk mengukuhkan budaya kesukarelawan berasaskan ilmu serta usaha libatsama dalam pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan komuniti.
Program perkongsian ilmu ini diketuai oleh Encik Aminudin bin Ali, Penyelaras Pembelajaran Servis Kursus Kokurikulum (CCSL) dan Encik Mohd Hazri Bin Ishak, Penolong Pensyarah selaku penasihat program dibantu oleh 6 orang staf dan 24 orang pelajar diploma UTMKL selaku fasilitator. Mereka telah mengajar dan membantu peserta dalam menghasilkan 4 set meja dan bangku simenfero, 5 buah planter box serta sebuah papan tanda untuk kegunaan Balai Raya, lokasi program tersebut. Program ini telah disertai oleh 52 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Antaranya, ada dari kalangan staf Malaysian Integrated Business Collage (MIB), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pelajar dari PERKID, pesara kerajaan, serta orang awam.
Di akhir program ini, majlis penutupan telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Dusun Tua, YB Tuan Edry Faizal bin Eddy Yusof di Balai Raya Batu 16, Kg. Dusun Tua. Sebelum itu, YB Dusun Tua juga turut menyampaikan sijil penyertaan kepada para peserta yang menghadiri program ini dengan jayanya.