Archives for March 2021

Panduan Pemilihan Jenis Jack Earphone dan Microphone – Part 2

Baik, setelah kita tahu tentang jenis-jenis penyambung earphone dan microphone yang ada di pasaran, maka kita perlu tahu juga tentang jenis-jenis terminal yang ada pada komputer, laptop dan hp kita. Ini adalah supaya semua peralatan kita berfungsi dengan baik sewaktu digunakan.

contoh port terminal pada laptop

Untuk laptop dan phone, rasanya tiada masalah sangat, kerana kebanyakan laptop dan phone hanya ada satu sahaja terminal untuk jack 3.5 mm. Sekiranya hanya ada satu terminal, maka kita boleh gunakan mana-mana jenis earphone samada satu garis, dua garis, mahu pun tiga garis. Kesemuanya pasti boleh berfungsi dengan baik. Ini kerana terminal pada laptop atau phone tersebut sememangnya telah dilengkapi dengan fungsi microphone, audio kiri, dan audio kanan. Maka tiada masalah dalam pemilihan jenis jack.

Namun keadaan agak berbeza sedikit dengan terminal pada komputer desktop. Ini kerana terdapat banyak port jack 3.5 mm di komputer desktop. Ini kerana selalunya komputer desktop ini mempunyai kemampuan serta potensi untuk dinaiktaraf kepada keupayaan yang lebih baik berbanding komputer riba. Sekiranya terdapat lebih dari satu port pada komputer desktop tersebut, maka jack 3.5 mm jenis tiga garis tidak boleh digunakan, dan sekiranya digunakan, dikhuatiri salah satu microphone atau earphone tidak dapat berfungsi dengan baik. Ini disebabkan port tersebut telah mengasingkan fungsi microphone dan earphone melalui litar yang berbeza. Biasanya terdapat panduan warna pada port tersebut. Merah jambu untuk microphone (dua garis), hijau untuk bunyi stereo (dua garis), dan biru untuk bunyi mono (satu garis). Sekiranya port ini disambung dengan jack yang bukan pasangannya, maka ianya tidak dapat berfungsi dengan baik.

contoh port terminal pada computer desktop

Jelas kan? Rupanya ada teknik dalam menggunakan peralatan-peralatan tersebut. Tidak boleh disambung sembarangan sahaja, kerana port-port yang ada pada setiap peranti itu pun berbeza-beza fungsinya.

Jadi, macam mana caranya nak menggunakan jack tiga garis kepada port dua garis? Macam mana nak pastikan microphone dan earphone yang berasingan, boleh digunakan pada satu port yang sama? Maka, saya share satu lagi teknik untuk selesaikan masalah-masalah ini.

Untuk menggunakan microphone dan earphone jack tiga garis kepada terminal yang berasingan, maka kita boleh gunakan splitter. Splitter pula ada dua jenis, iaitu splitter jenis “jantan” dan splitter jenis “betina”. Splitter jenis “jantan” akan ada tiga garis pada jack nya manakala splitter jenis “betina” mempunyai dua garis pada jacknya. Splitter-splitter ini boleh didapati dengan mudah di mana-mana kedai aksesori komputer dengan harga yang murah. Gunakan splitter yang sesuai mengikut keperluan, dan pastinya microphone dan earphone anda dapat digunakan dengan sempurna.

contoh splitter jens betina
contoh splitter jens jantan

Bagaimana pula sekiranya kabel microphone dan earphone kita tidak cukup panjang? Baik, untuk mengatasi masalah ini, kita boleh gunakan kabel extension yang boleh di dapati dengan mudah di pasaran. Semasa membeli kabel ini, pastikan pemilihannya adalah sesuai dengan penggunaan, samada dua garis atau tiga garis.

Harus diingat juga bahawa kabel extension yang terlalu panjang akan memberi kesan terhadap kualiti microphone dan earphone yang digunakan. Tahap kepekaan terhadap kedua peralatan ini akan berkurangan. Sebaiknya, pilih kabel extension yang bersaiz satu meter sahaja. Sekiranya lebih dari satu meter, maka kualiti bunyi akan terjejas sedikit teruk.

contoh kabel extension

Ada banyak lagi teknik tentang setting microphone dan earphone pada komputer desktop. Tapi apa yang saya kongsikan ini, adalah perkara asas yang perlu kita tahu dalam menyediakan sistem audio yang sesuai untuk aktiviti online. Perkara asas ini, kalau kita faham dengan baik, maka kita boleh perkembangkan lagi penggunaannya mengikut kreativiti masing-masing. Harapan saya, semoga ilmu yang dikongsi ini memberi menafaat buat semua. Akhir kata, semoga berjumpa lagi dalam posting yang lain, dan terima kasih kerana membaca. TQ!

Panduan Pemilihan Jenis Jack Earphone dan Microphone – Part 1

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Hari ini tergerak pula hati ini untuk menulis dan berkongsi satu cerita berkenaan penggunaan earphone dan microphone untuk meeting online. Maklumlah, sekarang ini kan musim online. Taklimat buat online, gathering buat online, seminar buat online, kursus buat online, konvokesyen pun ada yang buat online, dan bermacam lagi aktiviti yang dahulunya kita buat secara fizikal, tapi sekarang semuanya dibuat secara online.

Baik, kalau nak buat aktiviti online, tool atau equiptment asas yang perlu ada adalah seperti handphone. Tapi kalau nak nampak profesional sikit, kita guna komputer, atau lebih tepat lagi, komputer riba atau laptop. Bagi mereka yang gunakan handphone atau laptop, mungkin tiada masalah sangat, sebab handphone dan laptop ini sememangnya telah dilengkapi dengan camera, microphone, dan speaker. Namun, bagi mereka yang bekerja dengan menggunakan komputer konvensional atau desktop, macam mana nak setting peralatan ini ya? Haa, inilah yang saya nak kongsi hari ini. Tapi kali ini kita cerita pasal earphone dan microphone sahaja tau. Tentang setting camera, kita cerita dalam tajuk yang lain.

contoh earphone dan microphone yang mempunyai dua terminal berasingan

Pernah tak anda sambungkan earphone yang siap ada microphone tu, sambung pada komputer. Kemudian sistem tidak detect sound atau microphone? Maksudnya, salah satu antara earphone atau microphone tu tidak berfungsi.. tapi kemudian, anda sambung pula earphone yang sama pada handphone, dan ia berfungsi dengan baik pula. Hurm..

Kemudian ambil pula satu microphone yang lain, sambung pada phone, namun tiada bunyi. Kemudian sambung pula microphone yang sama pada komputer, berjaya pula. Dan masalah-masalah lain yang seumpamanya? Pernah tak? Mesti pernah kan?

contoh earphone dan microphone yang mempunyai terminal bergabung

Haa… mungkin ramai yang tidak tahu. Sebenarnya ada rahsia di sebalik semua ini. Mari saya share sedikit info.

Ok, sebenarnya saiz jack atau terminal penyambung yang digunakan untuk dipasang pada kebanyakan komputer atau handphone itu adalah jenis  jack 3.5 mm. Ada banyak jenis saiz jack di pasaran. Antaranya 6.35 mm, 3.5 mm. 2.5 mm, usb, micro usb, type C, dan sebagainya.. Namun untuk earphone dan microphone yang biasa digunakan bersama laptop atau handphone, kebiasaannya adalah jenis jack 3.5 mm.

jenis-jenis saiz jack

Kalau hendak cari earphone dan microphone jenis jack 3.5 ini, dengan kualiti yang baik, maka lihatlah pada warna di terminalnya. Ada 2 jenis, iaitu jenis yang gold plated, dan jenis biasa. Jenis biasa itu berwarna silver. Kalau kita beli jenis yang gold plated, harganya agak mahal sikit berbanding yang biasa. Tapi kualitinya lebih baik berbanding jenis yang biasa. Sebabnya adalah gold plated itu sendiri. Untuk makluman, emas adalah konduktor atau pengalir elektrik yang paling baik sekali.

jack jenis gold plated dan jenis biasa

Kemudian, jenis 3.5 mm ini pula terbahagi kepada beberapa jenis. Ini yang ramai orang tidak tahu. Sebab itu la kadangkala bila kita pasang peralatan ini pada laptop atau handphone, maka earphone dan microphone kita tidak berfungsi dengan baik.

tiga jenis jack 3.5 mm

Jenis yang pertama adalah jenis satu garis. Cuba lihat pada terminal jack tersebut, dan kita akan nampak ada satu garis hitam di atas terminal tersebut. Jenis satu garis ni juga disebut jenis dua pole. Bahasa saintifiknya pula dipanggil jenis TS iaitu Tip dan Sleeve. Setiap satu pole itu mewakili terminal bunyi, dan terminal ground. Terminal bunyinya pula menggabungkan bunyi kiri dan kanan, yang mana jenis sebegini dipanggil bunyi jenis mono.

jack satu garis

Jenis yang kedua pula adalah jenis dua garis. Jenis dua garis ini mengandungi tiga pole yang mana ianya juga disebut sebagai TRS iaitu Tip, Ring dan Sleeve. Setiap pole mewakili bunyi kiri, bunyi kanan, dan ground. Jack jenis dua line ini bole menghasilkan bunyi stereo yang mana bunyi kiri dan kanan diasingkan.

jack dua garis

Manakala jenis yang terakhir pula adalah jenis tiga garis. tiga garis ini juga dikenali sebagai jenis empat pole yang mewakili atau disebut juga sebagai TRRS iaitu Tip, Ring, Ring, dan Sleeve. Setiap pole mewakili bunyi kiri, bunyi kanan, ground, dan microphone. Jenis tiga garis ini adalah jenis yang paling sesuai dan banyak digunakan pengguna.

jack tiga garis