Tenang di MSI, Berkhidmat di BCSI: Pagi yang Berbeza

Pagi itu, aku membuka mata dengan sedikit rasa berbeza. Biasanya, aku boleh sahaja terus ke meja kerja tanpa perlu bergegas, tetapi hari ini lain ceritanya. Jam menunjukkan pukul 7.15 pagi, dan aku sudah bersiap untuk ke Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim (BCSI). Ya, BCSI – bangunan yang menjadi pusat pentadbiran universiti, dan biasanya aku hanya ke sana jika ada urusan rasmi yang penting. Dan pagi ini, memang ada satu tugasan yang membuatkan aku perlu hadir tepat pada pukul 8.00 pagi.

Tugasnya? Aku telah dilantik sebagai salah seorang panel juri untuk Anugerah Inovasi Perkhidmatan (AIP) peringkat universiti. Program ini adalah salah satu inisiatif untuk mengenal pasti dan menghargai idea-idea inovatif yang dibawa oleh staf universiti dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan. Sebagai seorang yang sudah tiga tahun berturut-turut terlibat, aku cukup familiar dengan format dan keseriusan program ini. Namun, setiap tahun, ia tetap membawa kegembiraan dan cabaran yang berbeza.

Perjalanan pagi itu tenang. Jalanan belum sesibuk biasa, mungkin kerana masih awal. Aku memandu perlahan, menikmati udara pagi yang masih segar. Laluanku ke BCSI membawaku melintasi kawasan Masjid Sultan Ismail (MSI). Dan wow, pemandangan pagi di MSI sungguh menenangkan. Cahaya matahari pagi menyinari kubah dan menaranya, memberikan kesan lembut dan damai. Kawasan sekitarnya masih lengang, hanya beberapa kenderaan yang lalu lalang. Aku sempat memperlahankan kereta, hanya untuk menghargai seketika ketenangan yang terpancar dari situ.

Dalam kesibukan tugas sebagai panel, kadang-kadang kita lupa untuk berhenti sejenak dan menghargai moment-moment kecil seperti ini. MSI pagi itu mengingatkanku bahawa di sebalik kesibukan, ada ketenangan yang boleh kita cari jika kita mahu. Aku tersenyum sendiri, merasa seolah-olah alam sedang memberikan semangat untuk hari yang penting ini.

Sampai di BCSI, aku terus menuju ke Dewan Senat. Tempat yang sama di mana setiap tahun Konvensyen AIP diadakan. Dewan yang penuh dengan sejarah dan suasana formal, tetapi pagi ini ia terasa lebih mesra kerana sudah biasa. Aku disambut oleh rakan-rakan panel yang lain – beberapa sudah kenal, ada juga yang baru pertama kali terlibat. Kami saling bertukar senyum dan sapa, sebelum duduk di meja panel yang telah disediakan.

Sebagai panel, tanggungjawab kami adalah untuk menilai setiap penyertaan yang dipersembahkan. Setiap tahun, aku sentiasa kagum dengan kreativiti dan komitmen rakan-rakan staf universiti. Mereka tidak hanya melakukan tugas harian, tetapi juga berfikir di luar kotak untuk mencipta sesuatu yang lebih baik, lebih efisien, dan lebih bermakna. Dari inovasi teknikal sehingga penambahbaikan proses, setiap penyertaan membawa cerita dan usaha yang unik.

Tahun ini adalah tahun ketiga aku terlibat. Sudah tiga tahun aku melihat sendiri bagaimana semangat inovasi ini terus hidup dan berkembang. Tapi di sudut hati, aku mulai terfikir – mungkin tahun depan sudah tiba masanya untuk memberi peluang kepada orang lain. Biarlah lebih ramai yang dapat mengalami pengalaman menjadi panel, merasai semangat dan keseronokan yang sama.

Program berjalan dengan lancar. Setiap pembentangan dinilai dengan teliti, dan perbincangan antara panel berlangsung dengan aktif dan terbuka. Aku merasa berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada proses yang tidak hanya mengenal pasti pemenang, tetapi juga mendorong budaya inovasi dalam universiti.

Pemenang AIP tahun ini akan diumumkan nanti pada Majlis Citra Karisma pada bulan Ogos. Acara yang pasti dinanti-nanti oleh semua, kerana ia bukan sekadar anugerah, tetapi pengiktirafan terhadap usaha dan dedikasi.

Dalam perjalanan pulang, aku melalui MSI sekali lagi. Masih tenang, masih damai. Aku berasa bersyukur kerana pagi ini bukan hanya tentang tugas, tetapi juga tentang moment ketenangan yang tidak disangka. Ia mengingatkanku bahwa dalam kehidupan yang pantas, kita perlu sekali-sekala memperlahankan langkah, menghirup udara segar, dan menghargai keindahan di sekeliling kita.

Hari ini, aku bukan hanya pergi ke BCSI sebagai panel. Aku pergi dengan hati yang lebih tenang dan minda yang lebih terbuka, berkat detik-detik singkat di MSI. Dan mungkin, itulah yang membuatkan pagi ini berbeza – bukan hanya kerana tugas, tetapi juga kerana journey-nya.