Dialisis & Ibadah Solat
Proses dialisis akan mengambil masa yang lama. Oleh sebab itu, kesannya bukan sahaja kepada keletihan fizikal, bahkan mampu mempengaruhi kestabilan mental pesakit. Hal ini mungkin memberi kesan kepada pesakit untuk menunaikan solat kerana tempoh rawatan dialisis tersebut berkemungkinan melampaui waktu solat.
Contohnya, seorang pesakit mula menjalani rawatan dialisis pada jam 3.30 petang dan berakhir pada jam 7.30 petang. Di sini timbul beberapa persoalan untuk menunaikan solat Asar kerana ketika dialisis dilakukan, sebarang pergerakan besar tidak dibenarkan.
Cara penyelesaian yang utama ialah dengan berbincang bersama doktor yang merawat untuk menetapkan waktu rawatan pada waktu pagi supaya tidak menganggu waktu solat. Jika tidak boleh, penyelesaiannya boleh diperoleh melalui dua keadaan:
Pertama, seseorang itu boleh solat dalam keadaan duduk ketika proses rawatan dialisis dilaksanakan. Justeru, tidak perlu untuk menjamakkan atau menqadakan solat fardu Asar tetapi cukup dilaksanakan sekadar mengikut kemampuan.
Daripada Imran bin Hussein RA: Aku dahulu terkena buasir, lalu aku bertanyakan Rasulullah SAW tentang solatku, Baginda SAW bersabda:
صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ
Maksudnya: “Solatlah kamu secara berdiri, jika kamu tidak mampu, maka solatlah secara duduk. Jika tidak mampu (juga) maka solatlah di atas lambung (yakni baring mengiring).” (HR Imam al-Bukhari)
Kedua, jika tidak mampu melaksanakan solat ketika rawatan, pesakit boleh melakukan solat jamak taqdim bagi solat Asar dan Zohor, tanpa mengqasarkan solat kerana solat qasar hanya dilakukan sewaktu musafir. Ini kerana kita mengambil kira keadaan pesakit yang memang tidak mampu untuk menunaikan solat Asar selepas rawatan atau bimbang rawatan akan selesai selepas habis waktu Asar.
Secara tuntasnya, ibadah solat adalah wajib untuk dilaksanakan walau dalam apa keadaan sekalipun.
Sumber : http://perubatan.org/artikel/505-hukum-dialisis-dan-ibadah-yang-berkaitan-dengannya