Dialisis ketika Puasa
Menurut fatwa yang dikeluarkan oleh beberapa ulama semasa seperti Dr. Yusuf al-Qaradawi, ulama Mesir yang terkenal dalam dunia Islam, Dr. Ali Qurah Daghi iaitu Pensyarah Fekah dari Universiti Qatar dan Syeikh al-Sadahan, Ahli Majlis Fatwa dari kerajaan Arab Saudi: Amalan mencuci darah melalui mesin hemodialisis bagi pesakit buah pinggang tidak membatalkan puasa, tetapi diharuskan bagi mereka berbuka dan menggantikannya di hari lain.
Hal ini kerana, proses dialisis tidak dikategorikan sebagai makan atau minum. Proses dialisis juga menggunakan darah sendiri dan kebiasaannya tiada penambahan zat semasa dialisis. Adapun sebahagian ubat yang diberi semasa dialisis seperti Heparin juga tidak membatalkan puasa.
Begitu juga jika dialisis dilakukan melalui perut (peritoneum), ia juga tidak akan membatalkan puasa. Cecair yang masuk ke dalam perut hanyalah dialysate yang mengalir melalui perut dan menyerap toksin daripada badan. Oleh itu, sah berpuasa ketika menjalani rawatan dialisis dan pesakit tidak perlu menqadakan kembali puasanya.
Walaupun begitu, pesakit dibenarkan berbuka puasa kerana rawatan mencuci darah ini lebih berat daripada berbekam. Sebahagian pesakit mengalami keletihan yang amat selepas dialisis. Pesakit sebegini dibenarkan berbuka dan menggantikannya pada hari lain.
Sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat 185,
شَهۡرُ رَمَضَانَ الَّذِىۡٓ اُنۡزِلَ فِيۡهِ الۡقُرۡاٰنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَ بَيِّنٰتٍ مِّنَ الۡهُدٰى وَالۡفُرۡقَانِۚ فَمَنۡ شَهِدَ مِنۡكُمُ الشَّهۡرَ فَلۡيَـصُمۡهُ ؕ وَمَنۡ کَانَ مَرِيۡضًا اَوۡ عَلٰى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنۡ اَيَّامٍ اُخَرَؕ يُرِيۡدُ اللّٰهُ بِکُمُ الۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيۡدُ بِکُمُ الۡعُسۡرَ وَلِتُکۡمِلُوا الۡعِدَّةَ وَلِتُکَبِّرُوا اللّٰهَ عَلٰى مَا هَدٰٮكُمۡ وَلَعَلَّکُمۡ تَشۡكُرُوۡنَ
Maksudnya: “Barangsiapa yang sakit atau dalam keadaan bermusafir maka gantilah (puasanya) pada hari yang lain sebanyak jumlah yang ditinggalkannya itu. Allah menghendaki kemudahan bagi kamu sekalian dan tidak menginginkan kesulitan.”
Jika pesakit memilih untuk berbuka, Dr. Yusuf al-Qardhawi menegaskan: Pesakit berkenaan hendaklah menqadakan puasa yang ditinggalkannya. Jika tidak berupaya disebabkan sakitnya berterusan, pesakit perlu membayar kifarah iaitu memberi makan seorang miskin bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan. Jika sesorang pesakit itu tidak mampu membayarnya, tertangguhlah ke atasnya kifarah tersebut hingga dia mampu membayarnya.
Namun, jika pesakit itu memilih untuk terus berpuasa pada hari ia menjalani rawatan itu, maka puasanya sah dan tiada sebarang halangan.
Konklusinya, berpuasa di bulan Ramadan adalah wajib, tetapi kelonggaran diberikan kepada mereka yang sakit dan tidak mampu. Jika pesakit dialisis berpuasa, puasanya adalah sah. Namun, pesakit dialisis yang memilih untuk berpuasa perlu berbincang dengan doktor sebelum menjalani ibadah puasa. Ini adalah penting untuk memastikan tidak berlaku komplikasi buruk semasa pesakit menjalankan ibadah puasa.
(Sumber : http://perubatan.org/artikel/505-hukum-dialisis-dan-ibadah-yang-berkaitan-dengannya)