Archives for December 24, 2019

OBJECTIFYING WOMEN – ANTARA DUA DUNIA

Kita seringkali mendengar pelbagai rencana dan artikel yang disiarkan di dalam media terutama sekali daripada barat yang mengatakan bahawa golongan Muslim seringkali bersifat ‘oppressive’ terhadap wanita. Memang benar dan terbukti kebenarannya di beberapa negara Arab mengenai isu pemanduan, hak asasi dan lain-lain. (saya rasa sekarang dah makin elok – minta rakan-rakan clarify kepada saya mengenai isu larangan wanita untuk memandu dan lain-lain di negara Arab dulu dan kini).

Akan tetapi, tuduhan bersifat generalisasi ini menyamakan kesemua orang islam di dunia. Orang barat menyangka bahawa masyarakat kita, iaitu orang Islam yang tinggal di Asia Tenggara juga sama sahaja dengan negara Arab. Asalkan Islami, begitulah tanggapannya.

Mereka menyangka pemakaian tudung untuk menutupi rambut seseorang perempuan itu bersifat oppressive. Mereka membuat kenyataan bahawa kita memaksa anak-anak kecil di Malaysia ini untuk bertudung. Mereka menyangka perbuatan ini tidak berperikemanusiaan memandangkan cuaca di Malaysia ini panas.

Mereka menyangka mana-mana muslimah yang tidak bertudung akan dihalau keluar daripada rumah (disowned) dan sangkaan demi sangkaan ini sudah tentu mereka percayai kerana bukan sahaja media mereka memainkan peranan penting untuk brainwash masyarakat mereka, bahkan filem yang dikeluarkan juga bersifat sedemikian. Lihat sahajalah berapa banyak filem Hollywood menjadikan orang Islam sebagai penjahat, pengganas dan kononnya ingin membunuh dan membuat onar di negara mereka.

Realitinya, merekalah yang bersifat oppressive. Mereka menjadikan wanita sebagai satu objek. Objek untuk menarik perhatian lelaki. Ring girl, pole dancer dan actresses seperti Megan Fox dalam siri The Transformers dijadikan satu tarikan kepada penonton daripada segi bentuk badan yang kononnya Hot. Saya merasakan beberapa filem terutama sekali arahan Michael Bay ini bukan lagi bersifat sebagai satu filem box office, sebaliknya sejenis soft porn.

Apakah rating mereka daripada segi audiens? Ya, PG-13 di mana budak-budak yang meminati transformer ini sendiri yang disangkakan merupakan sejenis alat mainan secara tidak langsung boleh menyebabkan mereka tercebur ke lembah pornografi walhal, mereka tiada niat pun untuk menonton filem berbaur pornografi itu sendiri.

Akan tetapi, jika anda rasa itu sudah cukup teruk, mari kita lihat siri Toddlers and Tiaras yang menjadikan kanak-kanak perempuan sebagai seorang beauty pageant.

Dalam filem ini, kita dapat lihat betapa oppressive dan manipulative nya ibu-ibu yang mana anak mereka menyertai siri realiti televisyen yang dipenuhi kontroversi dan amat teruk. Kemudian, siri sampah sebegini dijadikan sebagai salah satu rancangan yang dipaparkan di seluruh dunia menerusi “The Learning Channel” (nama lama) atau TLC.

Walaupun mendapat kutukan masyarakat di seluruh dunia, siri ini bertahan sehingga 7 musim, +-13 episod per musim. Tidakkah memakaikan baju ibarat model orang dewasa dan memakaikan, solekan sebegitu tebal terhadap kanak-kanak itu merupakan satu bentuk eksploitasi terhadap kanak-kanak? Mereka mengatakan di Amerika Syarikat itu sendiri, ramai orang mencemuh dan mengkritik rancangan sebegini rupa, namun, sudah tentu terdapat ramai peminat dan penonton rancangan ini memandangkan masakan tidak siri cerita ini bertahan sehingga 7 musim?

Apa yang kita boleh jangkakan terjadi kepada kanak-kanak yang dijadikan sebagai beauty pageant ini apabila mereka meningkat dewasa? Apakah kesan psikologi dan trauma yang bakal mereka rasakan kelak?

Lihat sahajalah gambar yang saya letakkan di sini di sebelah kiri merupakan seorang kanak-kanak yang dijadikan model untuk tudung (kredit gambar – Danisha Collection) dan di sebelah kanan pula, salah seorang kanak-kanak yang merupakan peserta kepada rancangan Toddlers and Tiaras (kredit kepada T&T Facebook page).

Dah lihat gambar tersebut? Daripada sini, bolehlah kita fikirkan gambar yang mana satu bersifat oppressive terhadap kanak-kanak perempuan.

Malangnya, baru-baru ini terdapat banyak paparan yang dilakukan oleh orang Malaysia sendiri yang menjadikan muka anak lelaki mereka sebagai satu tempat untuk mereka ‘berlatih’ kemahiran solekan. Ada yang budak lelaki ini di pakaikan tudung dan dikongsikan pula wajah mereka secara awam. Apa yang mereka fikirkan? Satu teguran yang dilakukan secara peribadi menerusi messenger dibalas keras dan mula mengatakan kita ini ‘tidak tahu apa-apa’ kerana kita tidak mempunyai anak.

Kecelaruan mental terhadap jantina dan seks (sexual orientation) pada kanak-kanak yang kini mula terjadi di barat kita dapati mulai menembusi negara kita. Tiada pemantauan dan tiada undang-undang terhadap individu yang mengeksploitasikan anak-anak mereka yang dikatakan sebagai ‘satu bentuk gurauan’ atau ‘just for fun’.

Fikir-fikirkanlah.

Credit: Ilzanno Sharky

RAWAK – FAMILY PLANNING MENYEKAT REZEKI DARIPADA ALLAH?

Setiap kali saya berbincang mengenai family planning, pasti kita akan mendapat soalan sebegini;

Anak itu kan rezeki yang dikurniakan oleh Allah, kenapa kita nak sekat pula?

Okay, the fact that somebody yang bertanya itu percaya kepada Allah (seorang muslim), maka dia mempercayai bahawa Allah yang memberi rezeki kepada hambanya.

Jadi, adakah anda rasa kita sebagai hamba, mampu menyekat pemberian rezeki dengan cara family planning ini? Sudah tentu tidak.

Perkara sama seperti perlakuan kita dalam kehidupan seharian, di mana, kita hanya mampu merancang, tuhan yang bakal menentukan.

Dalam aspek perancangan keluarga ini, sudah tentu kita boleh merancang untuk mendapatkan yang terbaik untuk anak-anak kita, baik dari segi makan minum, akademik, keadaan hidup yang kondusif untuk menjadikan mereka seorang yang berguna dalam masyarakat. Tetapi, walau apapun perancangan yang kita lakukan, keputusan akhirnya terletak di tangan tuhan.

Jadi, konsep di mana perancangan keluarga ini menyekat rezeki yang dikurniakan oleh Allah itu tidak tepat. Kalau memang dah rezeki kita, buatlah apa pun, kita masih akan dapat juga pemberiannya.

MEDICAL FACT 2

Tahukah anda, mengikut kepada kajian sains berskala besar (cross-sectional study) yang dilakukan di Al-Qassim, Saudi Arabia, mereka mendapati bahawa terdapat perkaitan di antara golongan yang menghafal Al-Quran dengan status kesihatan mereka.

Kajian ini mendapati bahawa untuk mana-mana orang yang menghafal Al-Quran melebihi 10 juz, terdapat pengurangan untuk mereka menghidapi penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, kencing manis dan penyakit kemurungan. Kajian ini melibatkan 400 orang subjek yang berumur melebihi 55 tahun.

Walaupun mekanisma dan perkaitan tersebut masih lagi berada di dalam siasatan dan akan dilakukan kajiannya kelak, namun, kita boleh ambil pengajaran yang penting di sini bahawa sebenarnya, ilmu agama dan sains perubatan saling berkait. Bukan itu sahaja, kebanyakkan prinsip-prinsip dan rawatan perubatan moden sebenarnya berasaskan daripada hasil kajian ilmuwan dan saintis-saintis Islam tersendiri.

Justeru, masyarakat seharusnya dinasihatkan untuk tidak memisahkan diantara ilmu agama dan ilmu sains perubatan kerana kedua-dua ilmu ini sebenarnya bergerak secara sejajar dan berkait rapat diantara satu sama lain. Itulah sebabnya pengamal-pengamal perubatan Islam yang berdaftar tidak akan mempunyai apa-apa masalah sekiranya seseorang pesakit yang berada di bawah rawatannya ingin mendapatkan rawatan dariapda pegawai perubatan bertauliah di hospital juga pada masa yang sama.

Pautan asal kertas kajian
https://journals.sagepub.com/…/fu…/10.1177/2050312117740990…&

Kredit – Sage publications
– Ilzanno Sharky

POLIO

Berkenaan isu penyakit Polio yang telah muncul kembali di Malaysia tu, ia boleh menyebabkan kelumpuhan otot, termasuk otot pernafasan. Ia boleh menyebabkan kecacatan kekal serta kematian.

Jika anak kalian dah berumur 5 bulan ke atas dan ambil imunisasi seperti dalam Jadual Imunisasi Kebangsaan(NIP), maka tak usah risau. Anak kalian dah terlindung, kerana telah menerima vaksin IPV iaitu pelalian terhadap penyakit polio.

Siapa yang perlu risau?

Anak-anak yang belum atau tidak menerima lagi IPV, serta individu yang mempunyai imuniti yang rendah (pesakit kanser, penghidap penyakit kronik, dsb)

Bagaimana nak kurangkan risiko jangkitan polio pada golongan ini?

Risiko dapat dikurangkan dengan memastikan semua individu yang tidak mempunyai apa-apa halangan kesihatan, untuk mengambil vaksin IPV. Lebih ramai ambil, lebih rendah risiko penularan polio.

Jika ada antara kalian yang tiada halangan, tetapi terlepas daripada mengambil pelalian terhadap polio ni, maka boleh ambil segera. Diingatkan, polio boleh menyebabkan kecacatan kekal dan kematian.

Doktor, tapi kan kes polio terkini tu di sebabkan “vaccine-derived-polio-virus”. Maknanya virus tu datang dari vaksin polio, kan?

Ya, benar. Namun, perlu difahami 3 perkara ini:

1. Perkara seperti ini hanya akan terjadi jika liputan vaksinasi adalah rendah (<95%). Mudah kata, jika ramai yang tak ambil vaksin polio.

2. Mereka yang ambil pelalian terhadap polio, terlindung daripada jangkitan. Mereka yang tak ada pelalian yang mudah diserang polio.

3. Virus dari vaksin yang menyebabkan jangkitan ini berasal dari vaksin OPV(oral polio vaccine). Malaysia dah tak guna OPV. Kita dah lama beralih ke IPV.

Pendek kata, jika seseorang individu ambil IPV, InsyaAllah individu terlindung dari polio, dan rendah risiko menyebarkan ia kepada orang lain.

Semoga kita semua dapat jalankan tugas masing-masing dalam membasmi semula penyakit polio ini dari Malaysia.

Credit: Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan

LINDUNGI ANAK ANDA DARI KANSER HATI

“Kalaulah wujud vaksin untuk HIV, aku jamin, berebut ibu bapa nak vaksinkan diri dan keluarga diorang, biarpun diorang tak de faktor risiko untuk kena HIV”

Ini yang saya pernah sebut pada Dziehan Mustapa

Petang tadi, saya buat home visit ke satu rumah pesakit kanser hari (hepatocellular carcinoma) akibat jangkitan hepatitis B kronik. Dia berusia lebih 50an, dan waktu dia kecil, tiada vaksinasi untuk mencegah Hepatitis B.

Kasihan pesakit ini. Kalau lah ada vaksin waktu itu, mungkin tidak begini keadaannya.

Namun sekarang ni, antivaksin ambil mudah perkara ini. Sanggup tolak suntikan vaksin untuk anak baru lahir. Dengan alasan, kononnya anak dia tak akan kena Hepatitis B.

Dia salah dan tak sedar bahaya Hepatitis B.

Bahayanya Hepatitis B (1):

1. Ia lebih mudah berjangkit daripada HIV. Sama seperti HIV, Hepatitis B boleh menyebabkan jangkitan sepanjang hayat dan menjangkiti orang lain.

2. Ia bukan sahaja boleh berjangkit melalui hubungan kelamin, malah boleh hidup di permukaan barang yang kena bendalir badan seperti darah dan air liur sehingga 7 hari lamanya. Sebab itu mereka yang tinggal Bersama pesakit Hepatitis B digalakkan mengambil vaksin.

3. Jangkitan sewaktu bayi amat bahaya. Jika dijangkiti sebelum usia 1 tahun, risiko menjadi pembawa kronik setinggi 90%. Jika dijangkiti antara usia 1-6 tahun, risiko menjadi pembawa kronik setinggi 30%. Secara umum, 95% dari dewasa yang dijangkiti boleh melawan jangkitan tanpa menjadi pembawa kronik.

4. Pembawa kronik akan sentiasa berupaya menjangkiti ahli keluarga mereka kelak.

5. Pembawa kronik juga berisiko menjadi penghidap kegagalan hati dan kanser hati. 1 dari 4 bayi yang dijangkiti sewaktu kecil akan pendek jangka hayatnya akibat kanser hati.

6. Setakat ini, tiada ubat yang berkesan untuk merawat pembawa Hepatitis B kronik.

Vaksin Hepatitis B memang berkesan!

Selepas pengenalan vaksin HepB pada 1989, insiden Hepatitis B di Malaysia menurun (1). Boleh lihat graf di link rujukan. Pada 1998, graf menunjukkan peningkatan insiden HepB kerana pengesanan kes melalui saringan pekerja asing. Dengan intervensi dari KKM, insiden menurun kembali. Ini bermakna jika tidak disaring, kita tidak tahu siapa yang ada Hepatitis B.

Sanggupkah anda membahayakan bayi anda dengan menolak vaksin ini? Vaksin ini terbukti melindungi dari jangkitan Hepatitis B kronik dengan keberkesanan setinggi 95% (2). Anda tidak tahu bila masa anak anda boleh terkena jangkitan kerana ia bukan sahaja berjangkit melalui hubungan kelamin.

Jika anak anda dijangkiti, dia boleh mendapat kanser hati dan dia boleh menularkan jangkitan pada keluarga dia pabila dia dewasa kelak. Waktu itu, apa jawapan anda pada mereka?

Credit: Dr. Amirul Amzar

FAKTA RAWAK : KESAN COBRA

Tahukah anda, terminologi ‘Kesan Cobra’ atau Cobra Effect merujuk kepada satu jenis keputusan untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang berakhir dengan menjadikan masalah tersebut lebih teruk khususnya dalam bidang ekonomi dan politik.

Hal ini terjadi di India semasa pemerintahan koloni British. Dalam usaha untuk mengurangkan jumlah ular tedung (Cobra) yang berbahaya kepada masyarakat, kerajaan British memberi bayaran (reward) kepada mana-mana pihak yang berjaya menangkap ular ini yang diserahkan kepada mereka (ala-ala tikus atau burung gagak dalam beberapa majlis perbandaran di negara kita).

Akan tetapi, akhirnya, kerajaan mereka terpaksa menghentikan bayaran tersebut setelah mereka mendapat tahu bahawa ada rakyat yang ‘menternak’ dan membiakkan ular tedung untuk diserahkan kepada mereka semata-mata untuk mendapatkan wang. Sebagai tanda protes tindakan kerajaan itu, ‘pembiak’ ular tedung ini kini melepaskan ular-ular ini dan masalah ini berakhir dengan peningkatan jumlah ular tedung di negara mereka.

Terdapat banyak kes yang sama berlaku seperti kes tikus di Vietnam, kes nyamuk, tikus, lalat dan burung pipit di China dan babi hutan di Georgia, Amerika Syarikat.

Credit: Ilzanno Sharky

JANGAN PUSING KEPALA BABY

JANGAN PUSING KEPALA BABY

Jangan duk main-main pusing baby tu. Saya sendiri tak berani nak pusing baby songsang. Kena rujuk pakar kesihatan wanita (obstetrik), hanya depa yang pandai, mahir dan layak untuk pusing baby songsang. Tetapi itupun ada syarat-syarat yang ketat.
.
Kalau belum cukup bulan, sahih pakar tak akan buat. Banyak kesan buruk. Antaranya lahir pramatang, pecah ketuban awal, uri tertanggal dari peranakan (abruptio), perdarahan, peranakan pecah dan risiko bayi mati amat tinggi.
.
Pakar obstetrik yang buat biasanya apabila umur bayi tu 37 minggu dalam perut. Tetapi ingat, pakar obstetrik pun buat di bilik khas hospital. Dilengkapi dengan kemudahan canggih. Pantau keadaan bayi dan si ibu. Bukan pakai hentam pusing sahaja tanpa persediaan.
.
Ada tok bidan kampung yang boleh buat? Saya tidak beri jaminan. Sebab pusing baby songsang ni semuanya melibatkan teknikaliti. Bidan atau pakar obstetrik yang nak pusing baby tu wajib tahu kat mana kedudukan uri dalam peranakan. Wajib juga tahu apa jenis kedudukan bayi songsang, samada songsang lipat kajang atau bersila. Kalu jenis bersila susah nak pusing. Dan banyak lagi persediaan yang wajib dilakukan.
.
Beberapa keadaan yang dilarang keras untuk pusing baby:
* Si ibu pernah dibedah czer atau sudah diberi tarikh czer.
* Sudah berlaku perdarahan sebelum bersalin
* Bentuk peranakan yang cacat atau secara keturunan, struktur peranakannya berlainan dengan wanita normal lain.
* Sudah berlaku pecah air ketuban
* Kehamilan kembar
* Kedudukan baby tidak menentu. Sekejap kepala kat tepi, kejap kat bawah, kejap lintang dan kejap kat atas.
* Baby kecil atau besar tak ikut usia kandungan sebenar
* Baby cacat
* Air ketuban terlalu sedikit.
* Keadaan baby dan ibu tak stabil.
.
Jangan mudah-mudah je hulur perut tu kepada sesiapa yang bukan pakar bab ni. Saya beri nasihat ni sebab pernah dengar seorang ibu hamil yang nak pergi pusing baby songsang dia kat bidan kampung sebelah. Sepatutnya dia jumpa doktor pakar sebab mempunyai sejarah czer. Tetapi dia sengaja nak ngelat, tak nak jumpa pakar dan nak pusing baby tu. Bahaya betul.
.
Akhirnya baby dia mati sebelum sempat lahir ke dunia. Songsang tak berubah pun. Dia beranak pramatang, kaki bayi keluar dulu berjuntaian kat rumah. Lama juga nak sampai kat hospital kalau begitu keadaannya. Menyesal tak sudah walau mungkin baby itu dijamin Syurga.
.
Lain kali fikir dulu sebelum buat tindakan melulu.

Credit: Dr. Suhazeli Abdullah

MABUK AIR

“Dr Zek! Ada pesakit wanita berumur 22 tahun sawan kat redzone. Patient baru masuk, doktor. Cepat-cepat,” ujar seorang penolong pegawai perubatan bertugas di zon merah.

Ketika itu aku baru nak mula makan malam di pantri zon merah. Tanpa berlengah, aku terus berlari ke zon merah.

Didapati seorang pesakit wanita berbadan agak besar anggaran berat badan dalam 100kg tak sedarkan diri, mata membeliak keatas, kekejangan otot (tonic clonic) dan mulutnya berbuih. Dikatakan pesakit ini sawan sejak beberapa jam lalu.

Intravenous Valium sudah diberikan. Pesakit masih lagi sawan.

“En Hafiz (bukan nama sebenar)! Tolong saya untuk intubation pesakit ni. Tolong saya siapkan barang-barang beserta tiub saiz 7,” permintaan aku kepada penolong pegawai perubatan.

“Baik.” Balasnya ringkas.

“Siapkan sekali difficult intubation kit kita. Susah nak intubate ni. Patient ‘besar’, short neck jugak,” sambungku dalam keadaan cemas.

“Nanti saya siapkan, doktor.”

Suasana di zon merah agak tegang ketika itu. Sudah tentu susah untuk lakukan intubasi keatasnya dengan saiz seberat 100kg lebih.

“Ahh! Aku akan lakukan! Aku mesti kena yakin” – hanya bermonolog untuk nak sedapkan hati sendiri.

Pesakit tersebut terpaksa dimasukan tiub ke dalam trakea untuk bantuan pernafasan.

Alhamdulillah, akhirnya kami berjaya melakukannya. Kami melakukan demi untuk menstabilkan pesakit tersebut.

Imbasan CT scan otak dilakukan ke atas pesakit menunjukan otaknya bengkak (cerebral edema). Paras sodium dalam darahnya pula sangat rendah iaitu 115 (paras normal sodium 135-145).

Aku tertanya-tanya apa puncanya. Lalu aku temui suami pesakit untuk dapatkan cerita lebih lanjut.

“Isteri encik ada ambil apa-apa ubat selain dari ubat hospital?” Soalku.

“Takde, doktor. Tapi isteri saya ada join program nak kuruskan badan. Mereka ada bagi tips suruh minum air 6-8 liter sehari. Dah seminggu dia minum gitu,” jelas suami pesakit.

Aku agak terkejut tips mengarut yang diberikan oleh so call ‘health advisor’ dari program entah apa-apa.

Kini aku tahu pesakit tersebut mengalami cerebral edema (bengkak otak) akibat dari ‘water intoxication’ (mabuk air).

Guys! Water intoxication is real!

Minum air kosong (plain water) dengan banyak takkan menguruskan badan. Ia memudarat badan akibat dari water intoxication atau dalam bahasa Melayu mabuk air.

Mabuk air (Water intoxication) adalah disebabkan oleh pengambilan air kosong secara BERLEBIHAN dalam masa yang singkat. Kondisi ini menyebabkan paras garam sodium dalam darah menjadi rendah atau dipanggil hypervolemic hyponatremia.

Ia terjadi apabila pengambilan air berlebihan dari kemampuan ginjal untuk membuang air.

Sebab utama water intoxication selain dari kisah di atas adalah:

1) Minum air BERLEBIHAN semasa senaman/bersukan
2) Diabetis yang tidak terkawal
3) Ubat-ubatan yang menyebabkan kering bibir dan dahaga
4) Primari polydipsia atau psychogenic polydipsia

Tanda-tanda mengalami water intoxication adalah:
1) loya
2) muntah
3) keletihan
4) tahap kesedaran menurun
5) sawan
6) koma

Kesan utama bahaya water intoxication adalah brain/cerebral edema (bengkak otak) yang boleh menyebabkan tahap kesedaran menurun dan sawan. Akhir sekali boleh koma.

Minum air kosong terlebih banyak akan menyebabkan garam sodium dalam darah dicairkan oleh air dengan cepat. Keadaan ini akan menyebabkan diluted hyponatremia.

Hyponatremia menyebabkan kepekatan osmolariti extracellular (luar sel) rendah berbanding intracellular (dalam sel) maka air akan bergerak dari luar sel ke dalam sel otak melalui proses osmasis. Kemudian seseorang itu akan mengalami brain edema/bengkak otak yang menyebabkan dia sawan. Lebih buruk lagi akan koma.

Oleh itu pengambilan air dalam sehari seperti yang dicadangkan iaitu 8 gelas sehari atau jika terasa dahaga untuk seorang dewasa yang normal.

Minum air mencukupi bukan berlebihan. Sederhana dalam segala hal.

Nak kurus bukan dengan tips yang bukan-bukan tapi hanya dengan senaman secara berkala dan mengambil diet yang seimbang saja.

Credit: Dr. Ahmad Zakimi Abdullah

GARIS PANDUAN PENJAGAAN KESIHATAN SEMASA BANJIR

Banjir adalah keadaan di mana air telah naik melebihi paras bahaya dan diisytiharkan banjir oleh pihak berkuasa.

Masalah-Masalah Yang Berlaku Semasa Banjir:

—Lemas
—Terdedah kepada kecederaan
—Terkena renjatan elektrik
—Terdedah kepada jangkitan taun, cirit-birit dan demam kepialu

Tindakan Yang Perlu Anda Lakukan Semasa Banjir:

—Pindah ke pusat pemindahan apabila diarahkan
—Jangan biarkan kanak-kanak bermain air banjir
—Elakkan meredah jalan raya yang ditenggelami air
—Matikan semua punca bekalan elektrik
—Tidak menyentuh dawai elektrik yang terjatuh di kawasan banjir

Bagaimana Kita Boleh Menjaga Kesihatan Ketika Berada Di Pusat Pemindahan?

—Sentiasa minum air yang telah dimasak
—Makan makanan yang dimasak sahaja
—Elakkan memakan makanan mentah seperti ulam
—Jangan makan makanan yang terdedah
—Jaga kebersihan diri dan kawasan sekeliling
—Cuci tangan sebelum makan dan selepas ke tandas
—Guna tandas yang sempurna
—Buang sampah di tempat yang betul
—Dapatkan suntikan vaksin mengikut nasihat doktor
—Dapatkan rawatan segera sekiranya mengalami cirit-birit atau muntah-muntah

Credit: Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan

BUNUH DIRI

Kesan terbesar di dunia ini untuk seseorang itu maut akibat membunuh diri bukan akan terjadi kepada diri mangsa sahaja semata-mata.

Sebaliknya, kesan kematian akibat membunuh diri akan meninggalkan kesan psikologikal yang mendalam terutama sekali kepada ahli keluarga terdekat dan sahabat handai.

Natijahnya kadangkala menjadi terlalu besar sehingga menyebabkan seseorang yang melalui proses untuk menerima perkhabaran berita tentang kematian seseorang dan ditambah pula dengan proses berkabung boleh menyebabkan mereka terjerumus kepada penyakit mental yang akan dibawa untuk selama-lamanya.

Justeru, marilah kita bertindak sekarang. Terapkanlah otak kita dengan ilmu pengetahuan mengenai penyakit mental. Sokonglah mana-mana individu yang berasa waswas untuk menerima rawatan daripada pakar psikiatri untuk mereka terus-menerus mengikuti rawatan yang ditetapkan.

Rawatan psikiatri bukan semata-mata dengan ubat-ubatan, kaunseling dan psychotherapy sahaja, sebaliknya, sokongan ahli keluarga dan sahabat terdekat, serta jiwa pesakit sendiri yang mempunyai tekad untuk sembuh merupakan satu jenis ‘rawatan’ yang terbaik.

Maka, wujudkanlah suasana yang kondusif dan aman untuk para pesakit bagi membolehkan mereka mempunyai iltizam untuk sembuh dan mengubah kehidupan mereka di samping rawatan yang berterusan daripada pakar psikiatri.

Salah satu kata-kata yang saya ingat sehingga kini yang diberikan oleh seorang ketua jabatan pembedahan di Hospital Serdang adalah:

“Don’t waste your life”.

Maka, bertekadlah dan berusahalah untuk pulih. Pengisian rohani juga merupakan unsur yang amat penting dalam usaha untuk mencapai kesembuhan. Apabila kehidupan dah menjadi semakin stabil, mempunyai pekerjaan dan keluarga tersendiri, maka, gunakanlah peluang yang ada untuk membantu insan-insan yang memerlukan, terutama sekali kepada pesakit yang mempunyai penyakit mental yang sama dengan kita.

Bunuh diri merupakan satu komplikasi terburuk boleh berlaku kepada seseorang pesakit, dan kini dikira sebagai satu bentuk kegagalan dalam masyarakat dan healthcare yang tidak boleh diterima lagi.

PS – Kini, 1 per 3 masyarakat mempunyai penyakit mental pada sesuatu masa di dalam kehidupan mereka.

Kredit imej – Sukuroifoundation

Rujukan
https://www.researchamerica.org/…/nimh-director-suicide-rat…

#mddgad #suicideawareness #suicide

Credit: Ilzanno Sharky