JANGAN PUSING KEPALA BABY

JANGAN PUSING KEPALA BABY

Jangan duk main-main pusing baby tu. Saya sendiri tak berani nak pusing baby songsang. Kena rujuk pakar kesihatan wanita (obstetrik), hanya depa yang pandai, mahir dan layak untuk pusing baby songsang. Tetapi itupun ada syarat-syarat yang ketat.
.
Kalau belum cukup bulan, sahih pakar tak akan buat. Banyak kesan buruk. Antaranya lahir pramatang, pecah ketuban awal, uri tertanggal dari peranakan (abruptio), perdarahan, peranakan pecah dan risiko bayi mati amat tinggi.
.
Pakar obstetrik yang buat biasanya apabila umur bayi tu 37 minggu dalam perut. Tetapi ingat, pakar obstetrik pun buat di bilik khas hospital. Dilengkapi dengan kemudahan canggih. Pantau keadaan bayi dan si ibu. Bukan pakai hentam pusing sahaja tanpa persediaan.
.
Ada tok bidan kampung yang boleh buat? Saya tidak beri jaminan. Sebab pusing baby songsang ni semuanya melibatkan teknikaliti. Bidan atau pakar obstetrik yang nak pusing baby tu wajib tahu kat mana kedudukan uri dalam peranakan. Wajib juga tahu apa jenis kedudukan bayi songsang, samada songsang lipat kajang atau bersila. Kalu jenis bersila susah nak pusing. Dan banyak lagi persediaan yang wajib dilakukan.
.
Beberapa keadaan yang dilarang keras untuk pusing baby:
* Si ibu pernah dibedah czer atau sudah diberi tarikh czer.
* Sudah berlaku perdarahan sebelum bersalin
* Bentuk peranakan yang cacat atau secara keturunan, struktur peranakannya berlainan dengan wanita normal lain.
* Sudah berlaku pecah air ketuban
* Kehamilan kembar
* Kedudukan baby tidak menentu. Sekejap kepala kat tepi, kejap kat bawah, kejap lintang dan kejap kat atas.
* Baby kecil atau besar tak ikut usia kandungan sebenar
* Baby cacat
* Air ketuban terlalu sedikit.
* Keadaan baby dan ibu tak stabil.
.
Jangan mudah-mudah je hulur perut tu kepada sesiapa yang bukan pakar bab ni. Saya beri nasihat ni sebab pernah dengar seorang ibu hamil yang nak pergi pusing baby songsang dia kat bidan kampung sebelah. Sepatutnya dia jumpa doktor pakar sebab mempunyai sejarah czer. Tetapi dia sengaja nak ngelat, tak nak jumpa pakar dan nak pusing baby tu. Bahaya betul.
.
Akhirnya baby dia mati sebelum sempat lahir ke dunia. Songsang tak berubah pun. Dia beranak pramatang, kaki bayi keluar dulu berjuntaian kat rumah. Lama juga nak sampai kat hospital kalau begitu keadaannya. Menyesal tak sudah walau mungkin baby itu dijamin Syurga.
.
Lain kali fikir dulu sebelum buat tindakan melulu.

Credit: Dr. Suhazeli Abdullah