“Kalaulah wujud vaksin untuk HIV, aku jamin, berebut ibu bapa nak vaksinkan diri dan keluarga diorang, biarpun diorang tak de faktor risiko untuk kena HIV”
Ini yang saya pernah sebut pada Dziehan Mustapa
Petang tadi, saya buat home visit ke satu rumah pesakit kanser hari (hepatocellular carcinoma) akibat jangkitan hepatitis B kronik. Dia berusia lebih 50an, dan waktu dia kecil, tiada vaksinasi untuk mencegah Hepatitis B.
Kasihan pesakit ini. Kalau lah ada vaksin waktu itu, mungkin tidak begini keadaannya.
Namun sekarang ni, antivaksin ambil mudah perkara ini. Sanggup tolak suntikan vaksin untuk anak baru lahir. Dengan alasan, kononnya anak dia tak akan kena Hepatitis B.
Dia salah dan tak sedar bahaya Hepatitis B.
Bahayanya Hepatitis B (1):
1. Ia lebih mudah berjangkit daripada HIV. Sama seperti HIV, Hepatitis B boleh menyebabkan jangkitan sepanjang hayat dan menjangkiti orang lain.
2. Ia bukan sahaja boleh berjangkit melalui hubungan kelamin, malah boleh hidup di permukaan barang yang kena bendalir badan seperti darah dan air liur sehingga 7 hari lamanya. Sebab itu mereka yang tinggal Bersama pesakit Hepatitis B digalakkan mengambil vaksin.
3. Jangkitan sewaktu bayi amat bahaya. Jika dijangkiti sebelum usia 1 tahun, risiko menjadi pembawa kronik setinggi 90%. Jika dijangkiti antara usia 1-6 tahun, risiko menjadi pembawa kronik setinggi 30%. Secara umum, 95% dari dewasa yang dijangkiti boleh melawan jangkitan tanpa menjadi pembawa kronik.
4. Pembawa kronik akan sentiasa berupaya menjangkiti ahli keluarga mereka kelak.
5. Pembawa kronik juga berisiko menjadi penghidap kegagalan hati dan kanser hati. 1 dari 4 bayi yang dijangkiti sewaktu kecil akan pendek jangka hayatnya akibat kanser hati.
6. Setakat ini, tiada ubat yang berkesan untuk merawat pembawa Hepatitis B kronik.
Vaksin Hepatitis B memang berkesan!
Selepas pengenalan vaksin HepB pada 1989, insiden Hepatitis B di Malaysia menurun (1). Boleh lihat graf di link rujukan. Pada 1998, graf menunjukkan peningkatan insiden HepB kerana pengesanan kes melalui saringan pekerja asing. Dengan intervensi dari KKM, insiden menurun kembali. Ini bermakna jika tidak disaring, kita tidak tahu siapa yang ada Hepatitis B.
Sanggupkah anda membahayakan bayi anda dengan menolak vaksin ini? Vaksin ini terbukti melindungi dari jangkitan Hepatitis B kronik dengan keberkesanan setinggi 95% (2). Anda tidak tahu bila masa anak anda boleh terkena jangkitan kerana ia bukan sahaja berjangkit melalui hubungan kelamin.
Jika anak anda dijangkiti, dia boleh mendapat kanser hati dan dia boleh menularkan jangkitan pada keluarga dia pabila dia dewasa kelak. Waktu itu, apa jawapan anda pada mereka?
Credit: Dr. Amirul Amzar